Letih, penat, susah hati, putus asa, kecewa, sedih, tidak berhasil apa-apa…
Seringkali kita mendengar daripada mulut kawan-kawan tentang ungkapan sebegini. Sering benar…
Ungkapan biasa bagi seorang yang telah mewakafkan diri kepada perjuangan. Jangan diungkap selalu kalimah sebegini, kadang-kadang bila rakan seperjuangan mendengarnya dia akan pasti lemah, longlai, tidak berdaya, dan tidak bersemangat..
Ya, kawan-kawan adalah semangat daya juang..
Seseorang apabila telah mewakafkan diri kepada sesuatu perjuangan, jangan sesekali berniat untuk meloloskan diri. Berdosa. Sekali melangkah kehadapan, teruskan langkah tersebut. Usah sesekali berniat untuk melepaskan ‘ikatan’ rabitah perjuangan. Walaupun berbagai tribulasi dan mehnah terpaksa dilalui, jika kita yakin dengan apa yang kita lakukan, nescaya kebenaran dan kemenangan akan terbentang luas.
Derita kita adalah derita umat terdahulu. Mereka lebih merasai daripada apa yang kita rasa sekarang. Malah, lebih hebat dan begitu mencabar ujian yang datang.
Kepenatan kita pada hari ini bukanlah nikmatnya untuk kita, malah kepenatan yang kita alami ini adalah nikmatnya untuk generasi akan datang. Tohmahan, fitnah, kata-kata kesat, cercaan dan hinaan yang dilemparkan kepada para pendaie hari ini adalah perkara yang telah dialami oleh murabbi agung kita iaitu junjungan besar Rasulullah SAW. Masya-Allah, hebatnya dakwah Rasulullah SAW. Baginda sanggup dicerca oleh puak musyrikin Makkah.
Bukan senang kita hendak memegang ‘hati-hati’ mad’u kita. Sabar, doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal adalah ubat penenang dan benteng bagi pendaie.
Kadang-kadang bila masalah timbul, kita sering menyalahkan mad’u kita. Namun, sedarkah kita bahawa kita tidak mempunyai sebarang persiapan menghadapi mad’u kita. Dan kadang-kadang kita berlagak pandai. Ya! Kita berlagak pandai! Dimanakah thaqafah kita? Berapa banyakkah masa kita dengan kitab-kitab para alim ulama’? Bagaimanakah masa kita dengan ulama’-ulama’? Usrah? Pengajian Ilmu? Program-program tarbiyah dan thaqafah? Hanya sekelumit sahaja… Bagaimana pula hubungan kita dengan Allah? Masya-Allah, kadang-kadang amat jauh sekali hubungan kita dengan Allah…
Derita dan Perjuangan…
Firman Allah SWT :
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) , sehingga berkatalah Rasul dan orang-orangyang beriman yang ada besertanya. “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Surah Al-Baqarah ayat 214)
Sejarah menyaksikan derita perjuangan orang-orang terdahulu bermandikan darah, tohmahan, fitnah, serta banyak lagi. Ujian yang melanda adalah kaffarah untuk kita. Ianya sebagai satu ibtila’. Mehnah adalah untuk melatih kita menjadi orang yang sabar. Mehnah juga adalah culaan dan tapisan dari Tuhan untuk menunjukkan yang manakah hambaNya yang ikhlas atau berpura-pura berjuang. Mehnah juga adalah suatu jalan yang membuka kepada kita tentang kebenaran. Tanpa ujian dan mehnah bagaimana kita hendak menghadapi cabaran dan cubaan dari musuh suatu hari nanti. Kita bukan berada di alam retorik. Kita berpijak diatas tanah. Namun REALITI yang sebenar adalah menghadapi masyarakat suatu hari nanti.
Tidak bererti perjuangan kalau seandainya kita tidak pernah diuji. Fenomena yang mencelarukan dan kekusutan kefahaman bagi umat Islam juga adalah virus yang paling bahaya. Kesatuan kefahaman amat penting bagi kita, sebab itulah perpecahan umat Islam berlaku sehingga sekarang. Jaruman fitnah kuffar terhadap umat Islam mencucuk sehingga ke hari ini. Sakitnya kita rasai sehingga sekarang, hatta sesama kita pun bertelagah, bergaduh, dan ada yang sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri kerana berlainan fikrah dan bercanggah pendapat.
Sabarlah dengan ujian…
Ujian fitnah dan suka duka dalam perjuangan menjadikan pendaie benar-benar tabah dan sabar serta berani melalui liku-liku perjalanan dakwah ila Allah. Jangan sampai jemaah yang kita cerca pada hari ini adalah jemaah yang bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah. Istilah pengampu, pengecut, dayus, tidak berani berjuang, takutkan musuh sebenarnya tiada dalam kamus seorang pejuang.
Berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau kita berani musuh akan takut dengan kita. Tapi, kalau kita penakut, maka musuh sangat berani dengan kita. Ustaz Said Hawa sebut dalam kitabnya, 3 perkara yang menyebabkan orang meninggalkan medan amal Islami. Disebut jelas kepada kita, iaitu pemalas, pengecut, dan bakhil. Al-Iyazubillahiminzalik… Semoga kita tidak tergolong didalam 3 golongan yang disebut oleh Ustaz Said Hawa
Semoga kita beroleh rahmat dari Allah SWT, ittaqillah…
Fitnah itu sedang tidur, jangan dibangkitkan fitnah yang sedang tidur. Takutlah pada Allah. Semoga Allah membuka jalan yang terbaik untuk kita. Letakkanlah setiap kebaikan yang kita lakukan adalah untuk mendapat keredhaan Allah. Namun, MATLAMAT tidak menghalalkan cara kita. DAKWAH tidak menghalalkan fitnah yang kita lakukan.
Firman Allah SWT:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.
Surah Al-Hujurat ayat : 6
Wallahu A'lam..
No comments:
Post a Comment