Tuesday, June 15, 2010

Belasungkawa Buat Allahyarham Ustaz Hassan Shukri

"Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah, mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan. Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan Alhamdulillah makin bertambah baik. Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan.” - Allahyarham Ustaz Hassan Shukeri ~ Al-Fatihah









Monday, June 14, 2010

Gerakan Mahasiswa : Berani Atas Dasar Kefahaman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan bagi sekalian makhluk. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Keberanian merupakan akhlak yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai salah satu sifat orang mukmin. Berani yang dimaksudkan oleh Islam ialah berani menyatakan kebenaran serta berani untuk mencegah kebatilan.

Tetapi malangnya, sesetengah mahasiswa Islam tidak memahami konsep sebenar keberanian yang diajar oleh Islam. Mereka berani menyatakan kebenaran, tetapi tidak berani mencegah kebatilan yang berlaku di sekeliling. Kemudian mendabik dada bahawa mereka adalah golongan tarbiyah.

Mereka berani serta lantang untuk berhujah dan berdebat, tetapi tidak berani untuk melakukan dengan perbuatan. Kemudian mendabik dada bahawa mereka adalah golongan ilmuan. Inilah antara penyakit yang menimpa kelompok yang mengaku bahawa mereka adalah aktivis Islam.

Melihat kepada realiti syakhsiah mahasiswa Islam yang berlaku, PMRAM berusaha untuk mengembalikan identiti akhlak islamiyah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Berdasarkan Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010, sifat berani yang ada pada mahasiswa Islam bukanlah berani yang kosong tetapi BERANI ATAS DASAR KEFAHAMAN.

Sebagai mahasiswa Islam, kita sepatutnya berani menyatakan kebenaran pada perkara yang hak serta berani mencegah kebatilan pada perkara yang salah. Allah SWT sengaja menjadikan sejarah terdahulu sebagai kamus panduan untuk membentuk corak kehidupan di masa hadapan.

ZAMAN RASULULLAH SAW

Jika kita mengimbau kembali sejarah di zaman penurunan wahyu, Nabi Muhammad SAW mengumpul kekuatan para sahabat seramai 313 orang untuk menuju ke Medan Badar demi untuk mengambil kembali harta umat Islam yang dirampas oleh kaum musyrikin Mekah ketika berlakunya penghijrahan.

Keberanian yang ditunjukkan oleh Baginda SAW serta para sahabat demi semata-mata menjaga hak umat Islam yang dirampas. Walaupun kekuatan tentera musyrikin seramai 1000 orang, namun perkara tersebut sedikit pun tidak melunturkan keberanian mereka untuk mendapatkan kembali hak umat Islam kerana mereka adalah golongan yang FAHAM.

PEMERINTAHAN KHULAFA' YANG PERTAMA

Dengan sifat berani dan tegas yang ada pada Saidiana Abu Bakar As-Siddiq RA, beliau memerangi golongan yang enggan membayar zakat dengan melaksanakan hukuman bunuh. Walaupun hukuman tersebut ditegur oleh Saidina Umar Al-Khattab RA, tetapi Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA tetap bertegas kerana beliau FAHAM tentang kehendak dan maksud sabda nabi SAW

"Aku disuruh untuk memerangi manusia sehinggalah mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Apabila mereka melaksanakan semua itu, maka terselamatlah darah dan harta mereka daripada aku melainkan dengan hak Islam dan hisab mereka terserah kepada Allah SWT." (Al-Bukhari dan Muslim)

Beliau melontarkan satu persoalan kepada Saidina Umar Al-Khattab RA sebagai jawapan bagi soalan yang ditanya. "Adakah kamu membezakan antara golongan yang murtad dengan mereka yang menafikan hukum pembayaran zakat?."

SELEPAS KEJATUHAN KHILAFAH ISLAMIYAH

Keberanian dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyebabkan kefahaman masyarakat tentang gerakan Islam semakin subur. Walaupun diuji dan ditimpa dengan pelbagai mehnah dan rintangan, tetapi beliau tetap istiqamah dalam meneruskan risalah Rasulullah SAW kerana FAHAM yang ada dalam diri beliau.

Kalaulah bukan dengan kefahaman yang jelas, keberanian yang membara di peringkat awal akan terpadam sedikit demi sedikit. Dan saya yakin, kefahaman yang tidak diterapkan dalam keberanian akan membuahkan hasil natijah yang tidak sempurna.

PENGALAMAN DIRI

Sehingga kini banyak kisah dan pengalaman yang saya lalui mengajar untuk sentiasa berwaspada dalam melakukan sebarang tindakan. Berapa ramai di kalangan rakan-rakan seperjuangan yang bersemangat dan berani suatu ketika dahulu, kini menyendiri tidak mahu terlibat dengan gerakan Islam atau gerakan mahasiswa.

Berapa ramai di kalangan abang-abang yang memberi tarbiyah kepada adik-adik, kini bersalahan dengan apa yang mereka ucapkan suatu ketika dahulu. Sifat berani seperti inilah yang PMRAM istilahkan sebagai 'berani kosong'.

Selaku mahasiswa Islam, sifat berani yang kita tonjolkan adalah berdasarkan kefahaman. Bukanlah hanya semangat semata-mata. Semangat kerja yang membara tanpa kefahaman akan tidak akan membuahkan istiqamah dalam tindakan. Akhirnya berputus asa dengan sifat berani yang ditunjukkan.

Kefahaman yang mendalam tanpa semangat bekerja tidak akan merubah keadaan mahasiswa sekitarnya. Bahkan golongan inilah yang seringkali mempertikai gerak kerja yang dilakukan oleh aktivis Islam. Sifat seperti ini akan menyebabkan timbulnya penyakit dalam gerakan mahasiswa.

Justeru sifat berani yang seringkali PMRAM laungkan adalah BERANI ATAS DASAR KEFAHAMAN kerana inilah sebenarnya identiti akhlak islamiyah yang diajar oleh Rasululllah SAW kepada umatnya. Inilah unsur yang akan melahirkan sifat istiqamah dalam jiwa aktivis Islam.


KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH
Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Saturday, June 12, 2010

Generasi Kemenangan Yang Dinanti-Nantikan

Bersama Syeikh Rahimuddin Nawawi

Alhamdulillah, dunia pelik ini telah sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada aku. Aku menginsafi setiap apa yang berlaku disekeliling. Terasa kerdilnya diri ini. Meskipun terasa payah melalui jalan getir ini, akan ku teruskan jua meneruskan perjalanan yang penuh sukar ini.

“Jadilah orang yang berjiwa besar…”


Ungkapan ini seolah-olah mencabar betapa pentingnya untuk menjadi seorang yang berjiwa besar serta istiqamah dalam meneruskan agenda dakwah yang tidak pernah henti. Bukan mudah untuk menjadi seorang kaderisasi yang akan menjulang panji Islam. Sebagaimana natijah dan kesannya yang disebut al-Qardhawi “generasi kemenangan yang dinanti-nantikan”.

Layakkah kita digelar “generasi kemenangan yang dinanti-nantikan” sedangkan gerak kerja dakwah kita masih lagi malas dan culas? Sedangkan generasi hari ini sangatlah jauh dari manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Sangatlah jauh dari generasi yang pernah dilahirkan suatu ketika dahulu, generasi Sultan Muhammad al-Fateh! generasi Salahuddin al-Ayyubi!

Mereka semua berjiwa besar dan berani. Mereka semua mempunyai jiwa pejuang yang berani mengorbankan diri untuk Islam. Mereka tidak culas dalam menunaikan hak-hak mereka kepada Allah.

Tiba-tiba kita hari ini, generasi banyak melakukan maksiat dan sering banyak tidur, mendabik dada dan mengaku “akulah pejuang Islam itu”. Tidak malukah!

Generasi hari ini ramai yang pengecut dan penakut. Bakhil untuk menafkahkan tenaga untuk Islam. Malas untuk menggabungkan tenaga dan diri untuk perjuangan Islam. Layakkah digelar “generasi kemenangan yang dinanti-nantikan”.

Berdentum dentam kita sebut pasal perjuangan Islam. Masing-masing hendak menjadi hero dan merasakan diri hebat. Namun, kadang-kadang bila solat subuh jemaah di Masjid, kita masih lagi dibuai mimpi indah syaitan. Ya Allah! Maafkan hambamu ini! Aku sering lupa dan alpa dengan nikmat yang Kau curahkan selama ini.

Ya Allah! Kami ingin menjadi pendakwah, tetapi kami sering melakukan maksiat dan dosa kepadaMu. Kami ingin menjadi ulama amilin, namun kami sering culas dalam menunaikan amanah yang Kau berikan kepada kami. Kami ingin menjadi pejuang, tetapi kami sering memberikan alasan yang pelbagai. Kami ingin menjadi mujahid, tetapi jiwa kami masih lagi dibelenggu nafsu.


Aku sedang menghitung bilahan hari-hariku untuk Islam, masa dan tenagaku untuk Islam, wang ringgit dan hartaku untuk Islam, keringat dan letihku untukku Islam. Mampukah aku?

Andainya aku tersilap langkah, tegur dan nasihatilah aku…. Aku yang kerdil dan hina…

"Kekuatan Pejuang Islam Adalah Dengan Pertemuan Sesama Sahabat Seperjuangan"


KAHERAH, 11 Jun – Tiada pertemuan yang lebih indah iaitu apabila bertemu di atas sebuah nama perjuangan. Semalam, telah berlangsung satu majlis di antara pimpinan PMRAM Pusat di Pejabat PMRAM. Majlis yang dinamakan “Satukan Hati Gerakkan Dakwah” itu berlangsung selepas sahaja maghrib dimulakan dengan majlis berbuka puasa sesama pimpinan PMRAM.

Majlis yang turut dihadiri oleh Penasihat PMRAM dan mantan Badan Pengurus PMRAM memberikan seribu satu makna dalam menggemblengkan lagi kekuatan dalam memacu sebuah gerakan mahasiswa di bumi Mesir.

Majlis tersebut diteruskan dengan solat maghrib berjemaah, bacaan Qunut Nazilah, dan solat sunat Hajat. Seterusnya, majlis diteruskan dengan tazkirah ringkas oleh Saudara Mohd Adlan Mokhtarudin selaku Naib Presiden I yang merupakan Lajnah Dakwah & Pembangunan Insan PMRAM.

Seterusnya, majlis diserikan dengan ucapan Penasihat PMRAM, Saudara Abdul Mu’izz Muhammad. Di dalam ucapan, beliau banyak menerang dan menekankan aspek kesatuan hati di kalangan pimpinan, disiplin tentera Islam, konsep usaha dan tawakkal dalam Islam, meletakkan konsep dosa pahala dalam bekerja, ketentuan Qada’ dan Qadar serta ujian di dalam PMRAM.

“Kekuatan bagi pejuang Islam adalah pertemuan sesama rakan seperjuangan. Melihat dan memandang rakan seperjuangan yang satu fikrah merupakan satu nikmat yang terbesar. Memalingkan serta menjauhkan diri daripada sahabat-sahabat perjuangan adalah salah satu punca seseorang tersebut boleh lemah dan mudah berputus asa dalam berdakwah.” Ujar Mantan Presiden PMRAM 2009 itu dalam pertemuan semalam.

Dalam pertemuan majlis semalam, Presiden PMRAM Saudara Shahrizan Mohd Hazime turut memberikan ucapan ringkas. Beliau banyak mengingatkan pimpinan tentang kesibukan kerja persatuan yang bakal melanda selepas sahaja peperiksaan tidak lama lagi.

Di akhir majlis semalam, Saudara Hairul Nizam Mat Hussein yang merupakan Mantan Presiden PMRAM 2007 dan 2008 turut berkongsi pengalaman beliau di dalam PMRAM selama 5 tahun dengan pimpinan PMRAM yang hadir.

Sunday, June 06, 2010

Bayi Komplikasi Jantung, Pembedahan LE 50,000


Sumber : Laman Rasmi Web PMRAM

Derma Kilat : Bayi Memerlukan Kos Pembedahan Jantung LE 50,000

KAHERAH, 2 Jun – Berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, begitulah suatu ungkapan yang dialami oleh sepasang suami isteri yang baru sahaja menerima kehadiran seorang cahaya mata lelaki.

Dalam keadaan si ayah dan si ibu ingin menimang si cahaya mata dalam keadaan kegembiraan, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita bahawa bayi lelaki itu mempunyai masalah simptom komplikasi jantung yang memerlukan pembedahan yang cepat dan intensif. Muhammad Maazin Mufti, yang lahir pada 4 April lalu akan dibedah di Arab Saudi dan anggaran kos pembiayaan sebanyak LE 50,000. Bayi tersebut merupakan anak kepada Saudara Ahmad Mufti Hamdani, ahli Persatuan Pelajar Mahasiswa Indonesia (PPMI) yang merupakan lepasan Master di Sudan Pengkhususan Hadis.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) di bawah Lajnah Kebajikan & Kemanusiaan menyeru kepada seluruh ahli PMRAM di bumi Mesir ini agar dapat membantu dan meringankan beban yang ditanggung oleh pasangan suami isteri itu.

“Sebagai persatuan induk yang menaungi 20 PMRAM Cawangan di bumi Mesir ini, PMRAM menyeru kepada seluruh ahli untuk menggemblengkan kebajikan bagi membantu saudara seaqidah kita bagi mengurangkan beban yang di alami oleh beliau, mudah-mudahan dengan bantuan yang di hulurkan akan membantu kita di akhirat sana nanti, insya-Allah”, ujar Naib Presiden III Saudara Mohd Farkhan Mat Zin.

Beliau berharap dengan bantuan yang dihulurkan oleh seluruh mahasiswa di bumi Mesir ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban yang di alami oleh pasangan suami isteri tersebut.

Beliau yang ditemui selepas pertemuan dengan Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime dan Presiden PPMI Saudara Muhammad Taufik Muhammad Akhyar Rifki di Pejabat PMRAM semalam.

Sila hubungi : Saudara Mohd Farkhan Md Zain (Naib Presiden III Merangkap Lajnah Kebajikan & Kemanusiaan PMRAM) - (+20142900215) atau Saudari Nor Hasyimah Mohd Hassan (Unit Kebajikan & Kemanusiaan HEWI PMRAM) - (+20141344093) atau mana-mana Exco Kebajikan & Kemanusiaan PMRAM Cawangan masing-masing.

Tuesday, June 01, 2010

Konvoi Gaza : Solat Hajat Dan Qunut Nazilah Benteng Kita - Presiden PMRAM


KAHERAH, 1 Jun – Dunia hari ini sedang menyaksikan kekejaman tentera Zionis Israel. Kekejaman demi kekejaman telah dilakukan oleh pihak Yahudi itu sangat membimbangkan seluruh masyarakat dunia yang cintakan keamanan dan keadilan.

Namun, pada hari ini kebanyakkan pemimpin-pemimpin besar dunia seolah-olah membisu dan meredhai setiap perbuatan yang dilakukan oleh tentera Zionis Israel itu. Pencabulan hak asasi dan kemanusiaan itu wajar dikutuk oleh seluruh negara-negara Islam bahkan seluruh negara-negara yang cintakan kepada keamanan.

Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime ketika ditemui semalam, menyeru semua pihak agar memainkan peranan masing-masing serta menggesa kuasa besar dunia membuat sebarang tindakan kepada Israel.

“PMRAM juga mengecam Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia yang hanya membiarkan tindakan zalim yang dilakukan”

“Kita sentiasa bersama-sama dengan umat Islam diseluruh dunia yang inginkan keamanan serta menuntut keadilan, kita tidak akan berdiam dengan isu yang melanda umat Islam pada hari ini, kita optimis dengan kebangkitan Islam suatu hari nanti dan tanah suci Palestin pasti akan dibebaskan. Ini adalah janji Allah SWT kepada kita” ujar Presiden PMRAM.

Presiden PMRAM itu juga menyeru seluruh ahli PMRAM dan mahasiswa Islam yang berada dibumi Mesir agar melakukan Solat Hajat dan Qunut Nazilah sebagai benteng utama dalam menghadapi kezaliman.

Semalam menyaksikan beberapa buah BKAN menganjurkan Solat Hajat dan Qunut Nazilah iaitu Selangor, Johor dan juga Terengganu.

Konvoi Gaza : PMRAM Mengutuk Tindakan Kejam Zionis Israel

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) hari ini melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab dan kejam regim Zionis Israel yang menyerang armada kapal induk Mavi Marmara yang membawa misi kemanusiaan konvoi bantuan antarabangsa Gaza.

Serangan Israel yang dilancarkan pagi tadi menyebabkan sehingga kini 16 orang syahid dan 30 lagi cedera. Sehingga kini dilaporkan 9 orang warga Turki dan bakinya adalah dari negara Arab yang terkorban di dalam misi kemanusiaan terbesar ini.

Konvoi kemanusiaan Gaza-Freedom Fotilla untuk rakyat Gaza ini yang membawa 7 buah kapal dan membawa sejumlah besar aktivis sukarelawan yang terdiri daripada ulamak, ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, aktivis, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun.

Konvoi ini juga diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) yang membawa 10,000 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza. Selain itu, terdapat lebih daripada 50 buah negara menyertai konvoi terbesar ini. Bahkan, tiada sebarang bentuk persenjataan dibawa oleh sukarelawan konvoi walaupun tujuan untuk mempertahankan diri.

PMRAM mendesak dan menggesa Kerajaan Malaysia, anggota PBB, OIC, pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak bangkit mengutuk tindakan kejam Zionis Israel dan menuntut agar misi kemanusiaan terbesar ini dibenarkan masuk serta dapat menghantar bantuan ke bumi Palestin Gaza.

PMRAM juga menyeru kepada semua ahli PMRAM dan mahasiswa Islam di bumi Mesir agar melakukan Solat Hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan aktivis konvoi dan rakyat Palestin.

Mohd Faizzudin Ghazali
Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...