Saturday, April 12, 2008

Apa yang sedang dikau fikirkan?


Sudah hampir 3 tahun saya tidak menjejakkan kaki ini ke bumi Malaysia. Hasrat hati untuk pulang bercuti tahun ini terpaksa dtangguhkan atas beberapa faktor. Doakan saja dipermudahkan pada masa-masa akan datang. Rindu pada tanahair sudah tidak terkata. Rindukan pada keluarga dan teman-teman membuatkan saya bercadang untuk pulang bercuti ke Malaysia pada tahun ini. Ramai kawan-kawan saya di Malaysia, asyik bertanyakan hal hendak pulang bercuti ke Malaysia. Namun perancangan Allah tiada siapa yang boleh menghalang.

Didalam benak fikiran sudah terfikir banyak perkara dan aktiviti yang hendak dilaksanakan. Jika diizinkan pada masa akan datang untuk pulang bercuti ke Malaysia, saya akan menghabiskan banyak masa dan waktu bersama-sama dengan keluarga. Saya juga akan menemui dan menziarahi teman-teman yang sudah sekian lama saya tidak mendengar khabar mereka. Dan paling pastinya, rindu saya terhadap sekolah lama saya pasti terubat apabila dapat bertemu dengan wajah-wajah pendidik yang telah mendidik saya sehingga saya dapat belajar di bumi Anbiya' ini.

Sesungguhnya kesan didikan ketika di Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan dan Kuliah Al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar cukup kuat dan memberikan kesan yang cukup mendalam kepada saya hingga hati ini masih lagi terikat padanya ketika di bumi Mesir ini. Nah, pastinya di Mesir ini lebih hebat dan banyak cabaran yang terpaksa dilalui. Dua perkara yang menjadi kunci kehidupan disini adalah sabar dan istiqamah. Tanpanya, saya yakin kita tidak mampu bertahan menghadapi ujian yang penuh pancaroba.

Saya mesti belajar dan terus belajar. Doakanlah segalanya dipermudahkan. Semoga pengorbanan yang dilakukan ini diterima oleh Allah swt.


No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...