Wednesday, May 07, 2008

Al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Rizal

( Saya, Aizad kini di UIAM, Muhaimin kini di UM, Allahyarham Ust Rizal, Azrul kini di UIAM, Faizal kini di KIPSAS-UKM, Hafizi-Tidak pasti & Amir kini di UM, Hazwan Hafiz kini di Al Azhar (tiada dalam gambar/tukang ambil gambar-hehe,jangan jeles hazwan erk) - Gambar ini dirakam ketika saya dan kawan-kawan masih di tingkatan 4, selepas Majlis Solat Hajat Perdana sempena peperiksaan PMR, SMA, & SPM di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan)


Sudah 5 hari rohnya pergi menghadap illahi, seorang guru yang kami kasihi sudah menyahut seruan Allah terlebih dahulu. Pada 3hb lalu, saya menerima mesej dari seorang kawan yang mengkhabarkan Ust Rizal kemalangan dihempap pokok di Temerloh, yang pastinya bukan disebabkan kemalangan di jalanraya. Perasaan saya ketika itu tersentak sebentar apabila mendapat khabar bahawa Ust Rizal sudah kembali ke Rahmatullah. Untuk mendapat kepastian, saya menghubungi seorang guru saya dengan menghantar mesej untuk memastikan lagi kebenarannya. Benar! Arwah sudah pergi meninggalkan kami terlebih dahulu. "Innalillahirajiun", itulah ungkapan yang terpacul di mulut saya ketika itu. Sebak perasaan di ketika itu apabila mendapat tahu berita malang tersebut.

Fikiran saya kembali seketika di waktu alam persekolahan(1999-2003) , ketika itu Allahyarham merupakan warden asrama kami. Allahyarham sangat baik dengan pelajar-pelajar terutama penghuni asrama lelaki Al-Ihsan. Perwatakannya yang "sempoi" dan tegas membuatkan pelajar-pelajar mudah untuk membuat urusan dengan beliau. Hari ini, SMA Al-Ihsan sudah kehilangan seorang guru yang banyak berjasa kepada sekolah. Barangkali saya yakin, kawan-kawan saya juga semuanya terkejut serta merasai kehilangan beliau dan bagaikan tidak percaya atas apa yang berlaku.

Dan hari ini, saya menadah tangan dan bersyukur pada Allah swt kerana beberapa hari sebelum saya berangkat ke Mesir pada September tahun 2005, saya dapat bertemu dan menziarahi Allahyarham Ust Rizal dan semua guru-guru saya di SMA Al-Ihsan dan Kuliah Sultan Abu Bakar. Ketika itu, Allahyarham sempat menasihati saya supaya belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Tidak sangka, rupa-rupanya itulah pertemuan yang terakhir dengan Allahyarham. Saya akan mengingati segala kalam nasihat guru-guru saya dan akan mendoakan supaya dapat bertemu dengan mereka suatu hari nanti.

Semoga roh Allahyarham tenang dan ditempatkanNnya dikalangan mereka golongan orang-orang yang soleh dan beriman. Dan bagi kita, yang masih dapat menikmati kehidupan sementara ini pergunakanlah kehidupan dengan sebaik-baiknya. Kita juga akan menghadapi saat-saat kematian, cuma lambat ataupun cepat sahaja. Malah segala urusan ajal maut bukannya dibawah pengetahuan kita. Kita hanyalah manusia biasa sahaja, yang menentukannya adalah Allah swt. Bagi mereka yang sudah pergi, kita hanya mampu mendoakan kesejahteraan mereka agar rohnya tenang menghadap Illahi.

Al-Fatihah buat Allahyarham Ust Rizal.

~ Abu Fawwaz ~ Mesir ~

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...