Saturday, December 13, 2008

Bersama Menyelami Pengorbanan Anbiya'


Ingin menyaksikan suasana Hari Raya Aidil Adha di bumi Zagazig, Mesir anjuran Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig. Sila klik disini SHAHADAH 08'

Hari Raya Aidil Adha 1429 sudah pun berlalu, kini sudah 4 kali saya beraya di bumi anbiya'. Perasaan saya ketika beraya disini agak berbeza kalau hendak dibandingkan beraya di tanahair. Sayu dan sedih bila takbir raya bergema. Namun, itu semua adalah mengajar kita tentang erti pengorbanan. Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini. Setiap kali hari raya, saya tidak pernah melepaskan peluang menziarahi pusara saudara mara, menziarahi sambil mensedekahkan bacaan yasin dan tahlil. Rindu untuk menziarahi pusara mereka. Namun, saya tetap mendoakan mereka walaupun berada jauh diperantauan.

Ingin saya kongsikan disini suasana beraya di bumi Mesir khususnya di bumi Kuda Putih iaitu bumi Syarqiyah yang terletak jauh 80 kilometer dari Kota Kaherah. Suasana hari raya tahun ini agak meriah walau saya dirudung kesedihan dan kedukaan. Alhamdulillah, perjalanan program Sambutan Hari Raya Aidil Adha (SHAHADAH 08') berjalan dengan lancar walau disana terdapat berbagai kesulitan yang tidak dapat diceritakan. Namun, segalanya dapat diatasi. Pada malam raya Aidil Adha, mahasiswa Malaysia yang berada di bumi Zagazig juga sempat berkumpul bertakbir raya beramai-ramai di Dewan Dar As-Salam, bertakbir beramai-ramai membesarkan keagungan Illahi serta dapat menunaikan solat sunat tasbih serta mendengar Perutusan Hari Raya Aidil Adha oleh Tuan Presiden PMRAM.

Pada keesokkannya, lebih kurang jam 9 pagi selepas sembahyang raya beramai-ramai di Stadium Zagazig, pelajar Malaysia telah berkerumun di Salam Sidnawi berdekatan Dewan Dar As-Salam dengan membawa pisau masing-masing dengan bersiap sedia untuk melapah daging unta. Tahun ini, 3 ekor unta telah menjadi ibadah korban pada program raya kali ini. Agihan korban juga telah diagih kepada seluruh ahli Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig. Disebelah malam pula, sup unta telah menjadi hidangan buat mereka yang telah penat seharian melapah dan memotong daging unta.

Alhamdulillah, gembira hati melihat gandingan mahasiswa Al-Azhar dan bakal doktor/ah bersatu tanpa disana ada perbezaan atau gap, begitu juga dengan pelajar lama dan baru turun bersama-sama bagi membantu menjayakan ibadah korban pada tahun ini. Semoga dengan semangat yang ditunjukkan menjadi satu harapan besar buat ummah untuk melihat generasi hari ini mampu memikul semangat pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bertepatan dengan tema hari Aidil Adha peringkat Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig (DPMZ) iaitu "Bersama Menyelami Pengorbanan Anbiya".

Pada keesokan harinya iaitu pada hari raya yang kedua tanggal 9hb Disember 2008, barisan AJKT DPMZ 08/09 juga sempat mengadakan persembahan istimewa sempena hari raya Aidil Adha walaupun masing-masing agak kesibukan dengan tugas serta study. Moga-moga mesej yang disampaikan dalam persembahan pentomen AJKT tercapai maksud dan tujuan sebenar. Pada asalnya, pentomen tersebut ingin mengisahkan kisah pengorbanan seorang naqib selaras dengan pembawakan DPMZ pada tahun ini yang ingin untuk memperkasakan usrah dan tarbiyah, namun disaat-saat akhir ianya telah diubah kepada kisah pengorbanan seorang guru atau ustaz graduan Al-Azhar yang sanggup mendermakan kedua-dua mata kepada anak didiknya, disaat nafasnya yang terakhir ustaz tersebut telah sempat mewasiatkan untuk mendermakan kedua-dua mata kepada anak didiknya. Kisah ini berakhir dengan anak didiknya yang begitu sedih dan terharu kerana pengorbanan besar seorang ustaz.

Sebelum persembahan AJKT, majlis telah dialunkan dengan persembahan alunan burdah dan selawat yang telah dimonitor oleh Ustaz Husni Ginting, dan sebelum daripada itu lagi, majlis telah bermula dengan majlis perasmian SHAHADAH 08'. Terima kasih kepada wakil Badan Pengurus PMRAM yang turut hadir bagi memeriahkan suasana hari raya di bumi Zagazig iaitu Ustaz Syafiq Zulakifli, Ustaz Khusaini Yusof dan Ustaz Zuhaili Saiman. Pada kali ini juga, SHAHADAH 08' menyaksikan anugerah khas iaitu Anugerah Tadhiyah 08' yang telah diberikan kepada Ustaz Faizal Abd Rahman. Tahniah atas anugerah tersebut, terima kasih kerana banyak membantu Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig walaupun pada hari raya tersebut beliau telah demam. Semoga dengan anugerah tersebut menjadi contoh kepada kita bahawa tugas menjaga kesatuan bukanlah mesti syarat menjadi pemimpin, tetapi amanah tersebut adalah dipikul bersama. Antara penyampaian hadiah lain adalah penyampaian hadiah Bait Mithali bagi bulan November (rumah Ustaz Miqdad), Naqib Rakan Muslim Terbaik (Ustaz Azmil Asyraf), Ahli Rakan Muslim Terbaik (Ustaz Nik Saifullah) dan Futsal Smart Circle (usrah) Mahasiswa Perubatan. Rakan Muslim adalah nama baru bagi usrah DPMZ dan smart circle juga adalah nama bagi usrah Perubatan.

Semoga dengan majlis seperti ini dapat merapatkan lagi ukhwah dikalangan ahli DPMZ, tahniah dan terima kasih kepada seluruh Ahli Jawatan Kuasa Tadbir DPMZ, Penasihat DPMZ, Pengarah Program, seluruh adhoc pelaksana program, seluruh ahli Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig, Azhariyun mahupun pelajar Perubatan, tidak dilupakan kepada AJK-AJK Organisasi Perubatan Zagazig, para penyumbang dan kepada mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak.

Alhamdulillah, akhirnya tawaquf juga program DPMZ pada sesi ini meskipun sudah sekian lama program tawaquf iaitu pada 11 November 2008. Tumpuan saya kini lebih banyak kepada membaca dan menghafal kitab-kitab kuliah. Fasa ini saya akan bertarung dengan 6 madah iaitu Mantiq, Usul Khitobah, Ulum Al-Quran, Feqh, Syubhat Haula Hadis, dan Falsafah. Ya Allah, Engkau permudahkanlah urusanku. Janganlah menjadi satu fitnah buatku dalam memikul amanah ini. Jauhilah aku dari fitnah menjadi pimpinan.

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...