Tuesday, May 12, 2009

Mak, Selamat Hari Ibu!! Bah, Selamat Hari Lahir Ke-52!!

Siapa tahu disebalik wajah ini, tersimpan sejuta ketabahan dan kesabaran...

TANPA
ibu bapa, siapalah kita di dunia ini. Selaku sebagai seorang anak, wajib kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang anak. Ketahuilah sewaktu kita kecil dahulu, merekalah yang membela, mengasuh, mendidik, dan bersusah payah menjaga kita sehingga kita menjadi orang yang berguna dan pandai.

Sayugianya, bila kita sudah dewasa wajib bagi kita pula menjaga mereka. Inilah tugas dan kewajipan sebagai seorang anak. Janganlah pula kita selaku anak bersikap sombong dan derhaka kepada ibu bapa bila kita sudah dewasa, kelak meranalah hidup kita. Tiada keberkatan dalam hidup.

Sementara mereka berdua masih hidup, hargailah dan sayangilah mereka. Kenangilah jasa dan pengorbanan ayah dan ibu.

Akhir-akhir ini, terlalu banyak peristiwa dan berita yang cukup menggusarkan hati saya.

Pertama, sahabat baik saya di sekolah dahulu..iaitu.. Mohd Aizad Yahya.. memang saya cukup rapat dengan keluarganya. Ketika di zaman sekolah dulu dan sebelum berangkat saya ke Mesir pun, saya sering ziarah dan bertandang ke rumahnya di Felda Panching Utara. Dan sebelum berangkatnya saya ke Mesir, keluarganya sempat terutama ayah dan ibunya ziarah saya di rumah dan menghantar saya di Lapangan Terbang Kuantan. Memang, mereka cukup baik hatta melayan saya seperti anak-anak mereka. Mereka sangat memuliakan tetamu. Baru-baru ini, saya diberitakan dengan berita yang cukup menyedihkan. Ayahnya terlibat dengan kemalangan, dan Tuhan lebih terlebih dahulu menjemputnya pergi menghadapNya.

Memang agak sukar untuk saya menerimanya, agak terkejut bila diberitakan dengan pemergian arwah pakcik. Namun, kita sebagai manusia kena menerima qadha dan qadhar Tuhan dengan hati yang redha. Teringat saya ketika mana, saya menziarahi keluarganya, arwah pakcik beria-ria sangat membeli buah durian, layanan kepada saya bagaikan seorang ayah kepada anak. Bukan sahaja itu, kadang-kadang arwah juga sanggup memberikan wang saku sebagai wang belanja.

Kedua, peristiwa yang ingin saya kongsikan adalah seorang sahabat saya juga, Tajuddin Mat Zin. Sahabat ketika di KIBA (Kursus Intensif Bahasa Arab) dan di Mesir. Beliau takharruj di Ma’had Al-Azhar, Syoubra. Dan sudah pulang ke Malaysia beberapa bulan lepas, bayangkanlah baru sahaja hendak bersama-sama dengan ibu dan ayah tercinta… Allah dah uji dengan ujian yang sangat berat. Kedua-dua ibu dan ayah beliau terlibat dengan kemalangan. Lebih sadis lagi, kemalangan tersebut benar-benar berlaku di hadapan matanya.

Ketiga, peristiwa yang baru sahaja berlaku. Salah seorang sahabat saya juga, Faizal Abd Rahman berasal daripada Johor. Beliau berada di tahun akhir Usuluddin Syu’bah Tafsir, Al-Azhar. Jika di tahun akhir, pastinya jiwa berkobar-kobar dan bersemangat hendak pulang ke Malaysia. Namun, Allah memang hendak menguji ketabahan hambaNya. Apabila Allah hendak menguji hambaNya pasti Allah akan menarik salah satu nikmat daripada hambaNya. Allah lebih menyayangi ayahnya. Ayahanda tercintanya meninggal dunia akibat demam panas.

Semoga Allah merahmati dan menempatkan roh-roh mereka di tempat golongan orang-orang soleh.

Peristiwa diatas benar-benar menyentak jiwa saya yang masih mempunyai ibu bapa… Pesan saya kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah mereka selalu. Janganlah sesekali menyinggung dan menyakiti perasaan mereka. Berbaktilah kepada mereka selagi mana mereka masih hidup.

Teringat saya di zaman sekolah dulu, setiap kali baru lepas cuti dan ingin pulang ke asrama. Saya akan cium dahi mak dan ayah saya setiap kali berpisah. Tetapi, kali terakhir saya cium dahi mereka adalah 4 tahun yang lalu di airport Kuantan. Namun saya merindui untuk mencium dahi mereka. Dahi merekalah merupakan berkat bagi saya dapat belajar di bumi Anbiya’ ini. Terima kasih abah dan mak..

Mak abah…

Doakan anakmu disini berjaya di dalam setiap lapangan kehidupan, yang pastinya anakanda disini sangat merindui untuk menatap wajah kalian bedua. Hampir 5 tahun kita tak bersua dan bertemu. Jika diizinkan Tuhan, kita pasti akan bertemu suatu hari nanti. Cuma waktu dan ketika sahaja yang menentukannya. Selamat hari IBU emak (10 Mei 2005-hari-hari adalah hari hari ibu)… Selamat hari lahir ABAH yang ke-52 (12 Mei 2009)…

“Ya Allah, kau panjangkanlah usia kedua ibu bapaku, agar aku masih dapat lagi menatap wajah mereka, berkatilah usianya dan rahmatilah kehidupan mereka di dunia dan di akhirat..Amin ya rabbal a’lamin”

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...