Wisma Seri Melaka, 1.1.11; Umum mengetahui apa yang sedang dialamai oleh Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dengan kehadiran Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam.
Kehadiran yang disambut dengan rasa penuh gembira oleh semua anak-anak Melaka yang berada di Mesir tiba-tiba bertukar menjadi kesedihan apabila Y.A.B. Datuk Seri telah mengumumkan satu perkara diluar jangkaan kami ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis di kediaman rasmi TYT Y.Bhg Prof. Madya Dr. Fakhruddin Bin Abdul Mukti bertarikh 28.12.2010 dengan menyatakan persatuan anak-anak Melaka yang sedia ada iaitu BKKIMM akan ditukar dengan persatuan baru yang diberi nama Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) serta pengiktirafan kepada BKKIMM akan ditarik semula.
Turut hadir dalam majlis tersebut kesemua delegasi Kerajaan Negeri Melaka serta pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) juga pegawai-pegawai Education Malaysia (EM). Lebih menyedihkan lagi, BKKIMM dituduh sebagai satu persatuan yang hipokrit.
Bagi saya, perkataan ini sebenarnya bukan lahir dari hati yang mulia Y.A.B. Datuk Seri bahkan telah didoktrin oleh ‘individu’ yang mempunyai hasat dengki kepada wadah dan wahdah anak-anak Melaka yang sudah sekian lama terbina. Saya yang turut hadir dalam majlis tersebut terus menyebarkan perkara ini melalui SMS dan YM kepada beberapa orang sahabat yang tidak bersama kami dalam majlis tersebut dan meminta untuk disebarkan kepada seluruh ahli BKKIMM.
Alhamdulillah, rupa-rupanya sensitiviti ahli BKKIMM mula bangkit ibarat hati meraka telah dijentik dengan isu ini sehingga menyebabkan ahli BKKIMM mula memberontak setelah sekian lama mereka membawa hasrat Kerajaan Negeri Melaka yang inginkan mahasiswa-mahasiswi Mesir bersama dengan kemajuan negeri Melaka.
Berlalu beberapa hari dalam menghadapi isu ini, dan melihat kepada setiap dimensi, BKKIMM telah menetapkan satu pendirian hasil harapan seluruh ahli BKKIMM agar BKKIMM terus dipertahankan di atas satu tujuan dan matlamat iaitu tidak ingin melihat wadah dan wahdah ini dihancurkan oleh ‘tangan’ yang di kawal oleh minda penjajah.
Sekian lama hubungan BKKIMM dengan Kerajaan Negeri Melaka terbina sebaiknya, ‘individu’ berminda penjajah tersebut datang dengan penuh hasat dengki melihat kesatuan ini.
Berdasarkan mafhum ayat 103 daripada surah Ali Imran, semestinya kita berpegang teguh kepada tali Allah swt dan jangan sesekali kita berpecah-belah. Untuk apa perkara ini direalisasikan? Tidak lain dan tidak bukan, bagi melaksanakan satu perintah Allah swt. menerusi ayat selepasnya yang bermaksud:
“Hendaklah ada dikalangan kamu satu ummah yang menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh ke arah yang ma’ruf dan mencegah daripada melakukan kemungkaran dan merekalah orang-orang yang berjaya”
Wadah dan wahdah anak-anak Melaka melalui BKKIMM yang sekian lama terbina telah berusaha sedaya upaya melaksanakan perintah Allah swt. melalui ayat 104 surah Ali Imran. Justeru, usaha bagi menghancurkan wadah dan wahdah ini oleh ‘individu’ tersebut perlu diperangi sekuat mungkin oleh semua ahli BKKIMM.
Untuk apa ‘individu’ tersebut menghancurkannya? Bagi saya, ia semata-mata bagi melenyap dan membenamkan usaha murni ini. 34 tahun BKKIMM berusaha menyatukan anak-anak Melaka di Mesir, 4 bulan kedatangan ‘beliau’ cuba menghancurkan kesatuan ini serakus dan seghairah nafsunya. Tidak hanya setakat itu, ‘beliau’ berusaha menafikan kejayaan yang bakal terhasil dengan kesatuan ini kerana janji Allah itu pasti benar bagi mereka yang mengumpul kekuatan ummah dalam menyeru ke arah kebaikan dan menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari melakukan kemungkran dan merekalah orang-orang yang berjaya.
Di hujung ayat 104 surah Ali Imran, Allah swt. menjanjikan kejayaan bagi mereka yang melaksanakan tuntutan-NYA kalau tidak di dunia, di akhirat pasti sekali.
Justeru saya bagi pihak BKKIMM mengajak seluruh ahli BKKIMM bersatu hati dalam mempertahankan konvensi wadah dan wahdah ini. Bagi pihak pimpinan BKKIMM, kami akan terus berusaha agar pengiktirafan BKKIMM daripada Kerajaan Negeri Melaka diperoleh semula. Komitmen dan kesatuan kita semua bakal menghasilkan kejayaan yang gemilang satu hari kelak.
Insya Allah. Kita terus berdoa sekerap mungkin agar pihak Kerajaan Negeri Melaka menerima semula kesatuan anak-anak Melaka di bawah satu persatuan iaitu Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir.
Wa Allahu Ta’la A’lam.
Harman Bin Hassan
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2010/2011.
Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
No comments:
Post a Comment