Thursday, June 11, 2009

Bahtera Yang Selamat


KETIKA mana Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang mengungkapkan kata-katanya dalam ucapan penangguhannya dalam muktamar baru-baru ini bahawa PAS adalah bahtera yang selamat [KLIK DISINI], fikiran saya terus teringat pada sebuah kitab karangan Ad-Daeiah Ustaz Fathi Yakan iaitu “Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah”.

Antara yang disebut di dalam kitab tersebut mengenai rintangan perjuangan dalam kehidupan pendakwah dipetik daripada hadis (Hadith yang ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dari hadith Anas dalam tajuk : “Akhlak Yang Luhur”) :-

  • Orang mukmin yang dengki kepadanya
  • Orang munafiq yang benci kepadanya
  • Orang kafir yang memeranginya
  • Syaitan yang menyesatkan
  • Nafsu yang memberangsangkan

Kesemua rintangan ini berlaku di dalam jemaah Islam di Malaysia iaitu PAS, begitu juga di Palestin iaitu HAMAS, di bumi anbiya’ Mesir iaitu gerakan Ikhwanul Muslimin sendiri.

Dugaan-dugaan yang menimpa pada diri pendakwah terlalu banyak, sebab itulah Nabi berpesan kepada kita agar bersiap sedia dan berhati-hati menghadapi cabaran dan ujian yang sangat dahsyat dalam kehidupan yang penuh pancaroba.

Begitu juga di dalam kitab ini menghuraikan bahtera penyelamat untuk para daie yang mesti ada pada jiwa-jiwa mereka yang cintakan Islam. Sebab apa Ad-Daeiah Ustaz Fathi Yakan menekankan agar kita sentiasa menaiki bahtera yang boleh menyelamatkan manusia yang bakal saya sebutkan? Ini tidak lain dan tidak bukan kerana pertarungan memperjuangkan Islam sangatlah getir dan menakutkan. Andainya kita menaiki bersama bahtera tersebut, pastinya kita akan selamat. Akan tetapi, jika kita mengabaikan dan meninggalkan bahtera tersebut kita akan tenggelam dan sesat dalam mencari arah. Antara penyelamat untuk para daie adalah:-

  • Bahtera Makrifatullah
  • Bahtera Ibadatullah
  • Bahtera Zikrullah
  • Bahtera Al-Khauf Min Allah
  • Bahtera Muraqabatullah
  • Bahtera Hubullah
  • Bahtera Redha
  • Bahtera Hubbu Rasul

Sudah menjadi lumrah sesiapa yang ingin memperjuangkan Islam, pasti akan diuji, ditohmah, dicerca, diejek, dhina, dipijak-pijak malah ada yang dibunuh. Kerana nilai Islam itu adalah sangat tinggi, sebab itulah kadang-kadang para mujahid terpaksa membayar mahalnya nilaian Islam itu dengan bayaran darah.

Kitab ini sangat sesuai untuk diperbincangkan dalam konteks kita mahasiswa di bumi Mesir khususnya, dan mahasiswa Malaysia umumnya bagi merancakkan lagi perjalanan dakwah. Namun pada hari ini, rata-rata dialam kampus kitab-kitab yang berbentuk fikrah seperti ini semakin hari semakin dilupakan. Sebab itulah mahasiswa kita semakin hari semakin menjadi ‘merepek dan mengarut’ kerana mengabaikan tuntutan Illahi. Ada juga di kalangan kita kebanyakkannya sudah habis membacanya, namun dari segi praktikal dan amalannya ibarat sembang kencang atau sembang deras semata-mata.

Semoga kita digolongkan orang-orang yang ikhlas memperjuangkan agama Allah tidak kira dalam apa jua keadaan kita, samada kita suka ataupun tidak…samada dalam keadaan genting ataupun senang.

Semoga Allah juga meletakkan kita di dalam bahtera yang selamat, bahtera yang dipenuhi orang-orang beriman dan bertaqwa serta ikhlas berjuang menegakkan agamaNya.. Dan semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka yang ingin menghancurkan bahtera tersebut.

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...