Monday, November 26, 2007

Kita & Ilmu

Salam perjuangan buat semua….

Sudah lama tidak menulis sesuatu di dalam blog ini,mana tidaknya…sibuk dengan macam-macam hal. Itu dan ini..namun kesibukan tersebut tidak mematahkan semangat ana untuk menuntut banyak lagi ilmu yang mesti ada dalam diri bagi menghadapi medan yang sebenarnya. Cukup banyak ilmu yang mesti dicari dan dikaji. Setiap dari kita,hendaklah memperhatikan setiap gerak geri serta kejadian yang yang diciptakanNya untuk menambahkan lagi rasa cinta kepada Maha Pencipta. Sesungguhnya dengan menuntut ilmu menjadikan hambaNya bertambah kerdil dikalangan manusia,bukannya bertambah bongkak dan sombong dengan ilmu yang dikurniakan kepadanya.Bahkan,setiap ilmu yang dikurniakan Allah kepada kita,semestinya kita merasakan takut pada Allah bukannya mendabik dada dihadapan manusia. Dikalangan ulama-ulama murabbi pun,apabila mereka ditambahkan ilmu oleh Allah,betapa takutnya mereka dengan setiap ilmu yang dikurniakannya… kerana semakin bertambah ilmu didada…semakin besar tanggungjawabnya… serta akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan setiap ilmu diberikan kepada kita. Tersangatlah malang,jika kita ditambah ilmu oleh Allah,namun hati kita penuh bongkak,hasad dengki,melakukan maksiat,sering mengadu domba,mengumpat,mengeji sesama saudara,memperlekehkan yang lain…bayangkan,betapa jijiknya orang yang diberi ilmu oleh Allah dengan banyaknya tetapi dalam hatinya penuh busuk,penuh berpra sangka buruk…merasakan diri lebih mulia daripada orang lain dan sebagainya.al’iyazubillahiminzalik…

Jika pada hari ini,kita mempunyai sifat-sifat keji tersebut…buanglah jauh-jauh…hindarilah ia…usah simpan didalam diri...bimbang ianya akan merosakkan hati,akal,nafsu serta diri yang mana akibatnya kita sendiri dipandang hina oleh manusia..lebih bahaya lagi,kita juga dipandang hina oleh Allah swt dan para maalikat yang berada diseluruh pelusuk alam… Biarlah kita dipandang hina oleh manusia dek kerana kita melakukan amalan-amalan soleh serta membuat kerja-kerja Islam,tetapi jangan kita dipandang hina oleh manusia sekiranya kita melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar.

Justeru itu,ana menyeru pada diri ana yang serba dhaif ini…tuntutlah ilmu…janganlah malas dalam menuntut ilmu...tersangatlah besar tanggungjawab pada diri sendiri,keluarga serta masyarakat…lihatlah dunia sekarang,manusia sudah tidak pandai membezakan dosa dan pahala…neraka dan syurga…manusia sudah tidak takut lagi pada Tuhan…manusia sering meletakkan diri mereka kedalam lembah kemaksiatan dah kehinaan…manusia terlalu cintakan dunia dan takutkan mati…manusia takut nak tegakkan kebenaran…manusia takut nak berjuang…manusia juga sering mencipta berbagai alasan untuk meyelamatkan diri daripada kesusahan yang sementara…manusia juga sering mencipta perbalahan dan persengketaan…dan lebih teruk lagi,manusia juga sudah lupa bahawa mereka sebenarnya diciptakan dan dijadikan dari setiitis air mani yang hina…

Muhasabahlah dirimu sentiasa…

Wallahu A’lam Bissowab…

Adakah kau lupa?



Adakah kau lupa
Kita pernah berjaya
Adakah kau lupa
Kita pernah berkuasa

Memayungi dua pertiga dunia
Menrentas benua melayar samudera
Keimanan juga ketaqwaan
Rahsia mereka capai kejayaan

Bangunlah wahai anak bangsa
Kita bina kekuatan jiwa
Tempuh rintangan perjuangan

Gemilang generasi yang silam
Membawa arus perubahan
Keikhlasan hati dan nurani
Ketulusan jiwa mereka berjuang

Sejarah telah mengajar kita
Budaya Islam di serata dunia
Membina tamadun berjaya
Merubah mengangkat maruah

Sunday, November 18, 2007

Sebuah Lagu Tentang Perjuangan









Lagu yang mengingatkan ana ketika mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA 05') di IKIP Kuantan sebelum ana meyambung pengajian ke Mesir.Sebuah lagu tentang perjuangan,di mana lagu ini jika dihayati mampu menaikkan roh semangat jihad kita menentang puak-puak Yahudi Laknatullah.Seringkali ana pasang lagu ini semasa KIBA dahulu...sekadar untuk menambahkan kalimat-kalimat bahasa Arab..rindu plak rasanya untuk kembali belajar di KIBA..best!!...

Salam kejayaan!!!...


Tuesday, November 13, 2007

Tahniah rakyat Malaysia!

Islam membenarkan demonstrasi, 12 nokhtah perhatian
Oleh : Ustaz Abdul Ghani Shamsudin


Berhimpun dan mengadakan demonstrasi; menunjuk perasaan secara aman adalah salah suatu tindakan yang sah dari segi syara dan undang-undang untuk menyatakan penentangan terhadap kemungkaran. Ia suatu pendekatan yang berkesan untuk menyerlahkan pengaruh dan kuasa kebenaran.

Dengan itu orang yang zalim akan kembali sedar menginsafi kesalahan diri mereka. Hukum asal berhimpun secara aman dan berdemonstrasi adalah harus .

Tapi kalau dirujuk kepada 'Maqasid al Syaria'ah' ia mungkin menjadi 'Mandub' atau sunnah. Malah ia mungkin beralih kepada hukum wajib seandainya tidak ada cara lain untuk menegur dan membetulkan kemungkaran kecuali dengan cara keluar beramai-ramai berhimpun dan berdemonstrasi di padang terbuka atau di jalan raya .

Hal seperti ini pernah dilakukan oleh golongan ulama tersohor sepanjang sejarah. Setakat yang kita tahu tidak ada ulama yang membantah mereka. Berhimpun dan berdemonstrasi adalah salah satu yang memberi petanda dan ukuran terhadap pandangan massa rakyat .

Demonstrasi juga memperkasa kecenderungan rakyat ke arah mempertahankan kebenaran.

Salah satu aras penanda utama yang menyerlahkan sifat kejantanan dan kelelakian ialah keupayaan seseorang menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah tirani yang zalim dan korup. Hal ini akan lebih nyatadan berkesan lagi jika dilakukan oleh rakyat seluruhnya .

Suara dan teriakkan ribuan para demonstran di jalan raya melaungkan kebenaran di berbagai pelusuk kota dan desa pastikan akan menyerlahkan kesepaduan tekad dan kekuatan umat membanteras kejahatan . Menyuarakan isu kebenaran dan membenarkan yang hak adalah suatu kewajiban moral ; malah dia adalah syiar agama.

Seandainya menyatakan kegembiraan justeru ketibaan hariraya dan menghimpunkan umat untuk berhari raya itu sunat termasuk menghimpunkan orang yang tidak wajib atau sunatpun mereka bersolat ; demi meramaikan majlis keraian orang orang Islam; sebagai menyatakan keceriaan dan kegembiraan dengan kedatangan hari raya maka apatah lagi berhimpun dan menunjukkan rasa solidariti dan simpati kepada mangsa kekejaman dan kezaliman yang telah dilakukan terhadap mana-mana manusia di dunia ini.

Sama ada rumah mereka telah dirobohkan atau maruah mereka telah dicabuli mahupun kerana pembunuhan terhadap anak dan isteri mereka. Kepentingan dan Keabsahan Demonstrasi Memandangkan masih ramai kalangan yang jahil dan keliru terhadap pandangan agama Islam terhadap demonstrasi ini maka di sini kita akan tampilkan dalil sunah daripada Sirah Rasul dan perspektif Islam terhadap hal ini berdasarkan asas dan kaedah yang difahami oleh ulama dan amalan mereka; baik pengucapan mahupun perbuatan.:

Pertama: Dari Sudut Kesannya Terhadap Lawan Lawan atau musuh akan tersentak dengan perbuatan itu dan ini akan menyebabkan mereka kembali merenung dan memikirkan kesilapan mereka. Ini mungkin menyebabkan mereka insaf dan tidak jadi melakukan kejahatan atau kezaliman.

Kaum Quraisy pada zaman dahulu tekejut dan dikejutkan oleh keberanian Rasululluh yang tampil berdemo dalam satu gelombang demontrasi pertama dengan dua ketumbukan yang satu dikepalai oleh Hamzah dan satu lagi diketuai oleh Saidina Omar Ibnu al Khattab.

Inilah suatu demonstrasi pertama dalam Islam; di mana kekuatannya ditampilkan secara aman tanpa peperangan dan maruah Islam diproklamir tanpa konfrantasi.

Kedua: Demonstrasi Adalah Bukti Penolakan Terhadap Kemungkaran Kalau berlaku kekejaman atau pembunuhan terhadap mana mana rakayat yang tidak berdosa maka kita wajib tampil menyatakan bantahan samaada dengan kuasa mahupun dengan yang lain.

Namun kalau tidak ada kuasa maka sekurang-kurangnya dengan lidah dan perkataan. Tapi kalau lisanpun sudah menjadi kelu dan tidak terkata maka sekurang-kurangnya penolakan kemunkaran itu dilakukan dengan hati .( dan itu adalah selemah-lemah iman). Rasulullah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka ia wajib merubahnya dengan tangan (kuasa) jika ia mampu.

Kalau dia tidak mampu maka sekurang-kurangnya dengan lidah. Kalau tidak mampu juga maka sekurang-kurangnya dengan hati dan itu adalah petanda selemah-lemah iman. Ibnu Hajar dalam kitab beliau Fathu al Bari mengatakan: Wajib melaksanakan amr ma'ruf bagi yang berupaya meskipun ianya mungkin berbaur maksiat.

Kerana pada umumnya ia akan diganjari terhadap perlaksanaan amr makruf itu; lebih-lebih lagi jika ia masuk dalam kategori ketaatan. Manakala dosa kecil maksiat yang dilakukan olehnya mungkin akan diampunkan oleh Allah atau sebaliknya. Akan tetapi bagi orang yang berpendapat sebaliknya; yang mengatakan amr makruf tidak wajib hanya kepada sesiapa yang tidak pernah melakukan maksiat maka itu bermakna seolah-olah menutup pintu sama sekali untuk terlaksananya amr ma'ruf .

Lebih-lebih lagi jika tidak ada cara lain untuk menentang kemungkaran kecuali dengan perbuatan itu.

Ketiga: Demonstrasi Memamirkan Kekuatan Umat Islam Sebelum ini kita telah maklum bahawa Rasulullah pernah keluar bersama sahabat berdemontrasi untuk memaparkan suara , kekuatan dan ramainya bilangan umat Islam ketika itu ; meskipun hal ini hasil desakan para sahabat baginda .

Selaras dengan itu adalah pandangan Syaikh Abdul Rahman Abdul Khaliq. Beliau menerangkan: Demonstrasi ada disebutkan sebagai salah satu cara yang diambil oleh Rasulullah untuk mengenengahkan kekuatan Islam dan sebagai salah satu cara dakwah.

Ini berlandaskan hadith bahawa kaum muslimin keluar beramai-ramai setelah Omar mengisytiharkan dirinya menganut agama Islam berdasarkan arahan Rasul dengan dua barisan . Satu barisan diketuai oleh Hamzah R.A. dan satu lagi diketuai oleh Omar.

Teriakan mereka terdengar bagaikan deru kisaran tepung sehinggalah mereka masuk dalam masjid. Pada pengamatan saya tindakan tersebut semata-mata kerana mahu menunjukkan kekuatan (suara kebenaran) Versi hadith tersebut pernah diriwayatan oleh Abu Na'im dalam Kitab al Hilyah dengan sanad yang dihubungkaitkan dengan Ibnu Abbas.

Di mana diriwayatkan Saidina Omar berkata: Wahai Rasulullah , bukankah kita dipehak yang benar; sama ada semasa kita hidup atau kita mati?. Bahkan jawab Rasulullah. Kamu di pehak yang benar; samada ketika kamu hidup atau kamu mati. Maka aku pun meningkah : Kalau begitu mengapa kita harus menyepikan diri (bersembunyi) Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran engkau mesti keluar menampilkan diri .

Lalu kami keluar bersama baginda dalam dua barisan para penunjuk perasaan. Hamzah mengepalai satu barisan dan aku mengepalai satu barisan. Demonstrasi ini gegap dengan teriakan bagaikan bunyi alat kisaran tepung (yang besar) sehinggalah kami sampai dan masuk dalam masjid. Dia berkata lagi :

Kemudian aku dapati kaum Quraisy menoleh kepada ku dan kepada Hamzah dengan pandangan muram dan sugul. Mereka merasa kecewa dan frustrasi yang tidak pernah mereka alami sebelumnya. Sejak daripada itu Rasululah member i nama jolokan kepada ku sebagai Omar al Faaruq. Kerna Allah telah menyerlahkan perbezaan antara kebenaran dan kebatilan dengan (pengislaman) diriku.(Lihat Hilyatul Aulia Juz 1 hal:40 dan Fathul Bari Juz 7 Hal:59}

Keempat: ImageSemangat Perundangan Islam Membenarkannya Syariat Islam banyak mengandungi syiar amalan dan slogan yang menyerlahkan menifestasi kekuatan, pengaruh dan dakwah Islam itu sendiri.

Umpamanya solat berjamaah, solat Jumaah, solat dua hariraya dan sebagainya. Rasulullah sendiri memerintahkan agar kaum wanita samadan yang berhaidh atau anak dara keluar menghadiri solat hari raya samaada di masjid atau di tempat lapang dengan alasan yang beliau sebutkan :

Mereka hendaklah melihat( meramaikan) majlis kebaikan dan seruan dakwah Islam kaum muslimin. Antara kebaikan yang mereka saksikan ialah ramainya bilangan orang Islam dan bagaimana mereka beramai-ramai menampilkan syiar-syiar Islam.

Baginda juga pernah mengutus para utusan yang ramai dan ketumbukan perang yang matlamat utama baginda di sabalik pengiriman utusan tersebut ialah untuk mempamirkan kekuatan umat .

Sebab itu baginda pernah berkata kepada Usamah R.A. "Bawa (tentera berkudamu) memijakkan kakinya di bumi Balqa."

Kelima: Demonstrasi Pada Asasnya adalah Harus Demonstrasi adalah satu tatacara atau wasilah. Oleh itu hukumnya adalah hukum yang berstatus wasilah.'Al Asl fi al Wasaail al Ibahah.' (Hukum wasilah – pada dasarnya – adalah harus )

Oleh itu kalau ada pun perkara pelanggaran kecil yang dilakukan ketika itu maka hukumnya adalah mengikut hukum al Maqasid .

Perkara yang dimaksudkan oleh orang Islam ketika melaksanakan kegiatan seperti ini ialah menyatakan dan mendambakan kebenaran, menolak kezaliman , mendedahkan kejahatan golongan tirani . meniup semangat orang ramai menggalakkan mereka bertindak untuk menegur dan membanteras kejahatan.

Oleh itu demonstrasi boleh mengukuhkan kesepaduan pendirian dan solidariti sesama umat.

Keenam: Demonstrasi Memperkasa dan Menggerakkan Massa Umat Menghadapi Kuasa Tirani. Pada suatu ketika ada seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah tentang perangai buruk jiran tetangganya (sehingga menyusahkan ketenteraman hidupnya sebagai jiran) .

Baginda berkata kepadanya; Keluarkan barangan rumah tangga saudara di luar rumah. Diapun mengeluarkan barangan rumahnya di luar rumah. Ini menyebabkan setiap orang yang lalu lalang di situ bertanya .Lalu dia menerangkan sebab musabbabnya.

Maka orang yang lalu lang di situpun ikut mengutuk perbuatan jahat jiran tersebut. Orang berkenaan tidak tahan lalu pergi menemui Rasulullah . Rasulullah bertanya apa masaalah saudara. Dia menceritakan kepada baginda bahawa orang ramai mengutuknya .

Baginda menjawab . Allah mengutuk saudara lebih awal daripada orang ramai mengutuk anda. Orang itu menjawab . Kalau begitu aku taubat dan tidak akan mengganggu ketenteraman jiranku. Ia pulang menemui jiranya dengan berkata. Angkatlah barangan masuk ke rumah saudara semula saya berjanji tidak akan menyakit suadara lagi ( sebagai jiran).

Ketujuh; Demonstrasi Dalam Zaman Modern Ini Adalah Sebahagian Daripada Wasilah Perjuangan Media informasi, sama ada tulisan , imej , video, demontrasi dan sebagainya adalah sebahagian daripada 'kempin raya' untuk memenangkan sesuatu agenda perjuangan atau peperangan.

Sebab itu kalau kita meneliti gerak kerja Zionist dalam hal ini kita akan dapati betapa gerakan mereka begitu rapi, banyak dan berpengaruh untuk menjuari perjuangan mereka. Peperangan media begitu gencar sekarang terhadap umat Islam.

Informasi Barat , Amerika khasnya sengaja menggelapkan berita berita kebangkitan dan demonstrasi orang Islam menentang penindasan mereka, kecuali berita yang membayangkan keburukan dan kemunduran Islam maka itu akan mereka paparkan seluas-luasnya .

Penampilan media mereka sampai kepada pembuat keputusan dan pengendali kuasa politik umat , Mereka sedar betapa seriusnya peranan informasi termasuk demonstrasi dalam menggegarkan sendi pemerintahan diktator dan penguasa yang zalim di dunia ini . Massa rakyat akan segera menyahut dan bertindak atas kebejatan mereka .

Ia adalah permulaan kepada kesedaran yang akan meniupkan semangat perjuangan umat. Kalaulah tidak kerana kesedaran pehak tertentu tentang peranan demonstrasi ini dalam menggerakkan dan menimbulkan kesedaran massa sudah pasti mereka tidak akan merubah sikap atau sudah pasti golongan penzalim tidak akan mengurangkan kezalimannya kerana adanya demo-demo menentang kezaliman mereka.

Umat Islam tidak kurang memiliki kesedaran seperti ini. Mereka tidak sepatutnya tinggal diam seribu bahasa membiarkan kejahatan dan kezaliman berlaku terus menerus terhadap diri dan rakyat . Mereka wajar tampil menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam berbagai bidang hidup demi kesejahteraan bangsa dan keselamatan negara mereka .

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang muslim adalah saudara orang muslim yang lain. Ia tidak wajar menyerahkan orang muslim yang lain (untuk dizalimi) atau membiarkannya (dizalimi)." Prinsip ini juga berlaku terhadap sesama manusia dan sesama warga negara .

Kelapan: Kalau Ada Fatwa Yang Mengharamkan Demonstrasi Maka Ia tunduk Kepada Perubahan Keadaan Namun ada juga segelintir yang terpengaruh dengan fatwa kumpulan Tariqat atau Tasauwuf tertentu yang mengharamkan perbuatan demonstrasi kerana terpengaruh dengan pendapat syaikh mereka yang agak terhad pemikiran mereka . Terhadap golongan ini mereka wajar bertaqwa kepada Allah .

Mereka tidak harus terbelenggu dalam minda terhad Syaikh-Syaikh mereka . Mereka tidak sepatutnya mengikut – begitu sahaja - secara membuta tuli . Yang benar atau al haq lebih wajar dipatuhi berbanding figure atau orang tertentu; betapapun besarnya mertabat orang berkenaan. Para Syaikh yang baik itu mungkin terpengaruh pada isu dan masa tertentu .

Manakala latar belakang isu berkenaan telah berubah dan tidak wujud lagi sekarang.Fiqh leluhur silam atau Fiqh Salafi sentiasa dinamis menurut keperluan dan tuntutan lingkungan.

Sebab itu fatwa mereka boleh berubah dengan perubahan situasi. Kalau Salafi difahamkan sebagai period masa lampau maka dia telah berlalu dengan ciri khasnya. Kalau al Salafi itu dihubungkaitkan dengan Manhaj atau methode maka tentulah ia manhaj yang responsive terhadap perubahan lingkungan dan zaman. Kini adalah zaman ilmu dan akal .

Sesungguhnya menurut Rasulullah adalah selaras dengan tuntutan kontemprori atau al Muasarah yang didambakan oleh orang sekarang. Manhaj yang baik ialah manhaj yang sentiasa responsive dengan bijak terhadap perkembangan situasi dan kondisi semasa. Ia bukan manhaj yang beku dan statis.

Kesembilan: Hujjah Amalan Para Ulama Sepanjangan sejarah para alim ulama ramai yang telah meluahkan perasaan dan pandangan mereka melalui demontrasi aman tanpa dipersalahkan oleh ulama yang muktabar. Di Kuwait, algeria, Mesir dan Syam.

Ulama seperti Rashid Redha Rahimullah pernah turut berdemo untuk mengeluarkan penjajah Perancis dari tanah air mereka . Ulama Azhar pernah keluar beramai-ramai berdemo menentang penjajah Inggeris pada tahun 1919 dan baru baru ini menentang regim tirani di Mesir.

Tiada seorang ulama pun mengeluarkan fatwa mengharamkannya. Malah Sami Budha Burma pun turut tampil berdemo untuk menuntut keadilan dan demokrasi dalam Negara mereka.

Kesepuluh: Demonstrasi Parameter Denyutan Keperihatinan Massa Tunjuk perasaan aman adalah petanda hidupnya keperihatinan massa rakyat; baik kafir mahupun muslim pada zaman ini. Kita tidak akan dapat mengesan pandangan rakyat terhadap golongan atau parti yang memimpin mereka yang memerintah dengan sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan kepentingan rakyat melainkan dengan gerakan massa seperti ini yang mendedahkan golongan mana yang tidak setuju dan golongan mana pula yang bersekongkol.

Demonstrasi aman seperti ini bukan perkara baru dalam sebuah negara maju seperti Britain, Amerika dan lain-lain. Dalam Negara tersebut semua jentera negara – termasuk polis dan pegawai trafik - memberi laluan, kerjasama dan melindungi para penunjuk perasaan aman berkenaan.

Kesebelas: Hasil Demonstrasi Ialah Umat Berjaya Mengatasi Sebahagian Kemusykilan Hidup Mereka Demonstrasi besar-besaran di berbagai pelusuk dunia telah menghasilkan buahnya yang positif di beberapa buah negara sepanjang sejarah.. Yang terakhir ialah dapat kita lihat kejayaan demonstrasi rakyat Afrika selatan sehingga berhasil memerdekakan negara mereka.

Di Indonesia rakyat berjaya meruntuhkan kekuasaan Suharto yang korup dan digantikan dengan pemerintahan era reformasi golongan Orde Baru. Di Yugoslovia rakyat yang berdemonstrasi secara besar-besaran berjaya menjatuhkan Slobodan Milosonich dan mengembalikan maruah dan kehurmatan bangsa mereka dari dilumuri kehinaan dan kebejatan regim yang korup. Malah dalam banyak lagi negara negara lain kita melihat kejayaan demonstrasi rakyat mengubah nasib mereka; samada sebahagian atau keseluruhan sosok dan wajah kehidupan mereka.

Keduabelas: Demonstrasi Perlu Demi Mempertahankan Kebenaran di Samping Menentang Kebatilan dan Kezaliman Keluar beramai-ramai menobatkan kebenaran, menumpaskan kebatilan adalah suatu hak yang sah .

Amalan ini juga diperakukan oleh Allah untuk menunjukkan penentangan serta penolakan terhadap amalan munkar . Sebab itu Allah memerintahkan agar perlaksanaan hudud diperlihatkan kepada segolongan orang ramai . Allah juga memerintahkan supaya umat keluar beramai-ramai menyambut hari raya , bahkan beginda Rasulullah menggesa rakyat agar ikut serta mengucapkan pamitan kepada rombongan mujahid dan pejuang Islam yang akan bergerak ke medan tempur atau menyambut kepulangan mereka ketika mereka kembali dari medan perjuangan.

Baginda pernah memamirkan kekuatan dan kehebatan ketumbukan tentera Islam kepada Abu Sufian agar dia tidak berani bertempur dengan ketumbukan berkenaan. Sebelum itupun Rasulullah pernah menyuruh umat Islam yang menunaikan tawaf di Mekah agar melakukannya dengan tangkas , berlari anak sambil mendedahkan bahagian bahu dan lengan (Kaedah al Raml dalam tawaf) sebagai petanda keperwiraan , kecekatan dan kesiapsiagaan umat Islam untuk berjuang .

Perincian perkara ini boleh dirujuk dalam huraian mengenai bab Haji atau Umrah. Seandainya kita semua sebagai bangsa dan rakyat yang merdeka - enggan melahirkan sikap penentangan kita terhadap kejahatan , penipuan , rasuah dan kezaliman yang berlaku serta tindakan pengkhianatan dan menghakis kemerdekaan dan maruah umat yang dilakukan oleh pehak-pehak tertentu; dengan cara yang berkesan maka apakah lagi yang ada dari sifat kejantanan dan dakwaan kemerdekaan kita sebagai umat yang bermaruah.

Jelas daripada hujah di atas bahawa melahirkan sikap dan menunjuk perasaan atau berdemonstrasi secara aman adalah suatu yang dibenarkan dalam Islam; bahkan pernah diamalkan oleh para leluhur di zaman silam dan malah menjadi amalan bangsa-bangsa yang bertamadun, bermaruah dan merdeka.

Semoga Allah memberikan kita semua keyakinan dan keberanian untuk merubah nasib umat dan rakyat. Semoga bangsa, warga dan rakyat Malaysia amnya bebas dan merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.

p/s : Sudah tiba masanya,untuk rakyat merubah kerajaan yang sedia ada.Bosan..meluat..apabila melihat gelagat pimpinan UMNO yang bermuka-muka dengan rakyat...hipokrit...!!! Hari ini,menteri-menteri duduk rumah mewah bagaikan berada dalam Istana...rakyat pula menanggung kesusahan...mana tidaknya,harga minyak petrol naik...harga barang keperluan naik...menteri-menteri mengaut keuntungan...disuruh pula rakyat berjimat cermat...sedangkan mereka bermewah-mewah dengan membazirkan duit rakyat...

Pemimpin UMNO pemimpin yang bongkak dan sombong..Cukup meluat melihat pemimpin yang sebegini... "Ya Allah,kurniakan kami pemimpin yang adil lagi bertaqwa dalam melaksanakan segala amanahMu,bukanlah mereka dari golongan yang fasik serta mengingkari janjiMu"

Sunday, November 04, 2007

Tazkirah Tuan Guru kepada Presiden UMNO

Ucapan Tok Guru Nik Aziz di ECER
Tazkirah Mursyidul Am PAS
kepada Presiden Umno

Bismillahir Rahmanir Rahim "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran."
(Maksud Surah An Nahl: Ayat 90).


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera


Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia dan isteri; Yang Amat Berhormat Dato' Sri Adnan bin Haji Yaakob Menteri Besar Pahang;
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Idris bin Jusoh Menteri Besar Terengganu;
Yang Amat Berhormat Dato' Haji Abdul Ghani Othman Menteri Besar Johor;
YB Dato' Seri Mohd. Effendi Norwawi Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet; Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen
Serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri; Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan-Kerajaan Negeri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Alhamdulillah. Dengan seizin Allah S.W.T., sekali lagi kita dapat menghirup udara nyaman pada hari ini. Ini menandakan betapa kita masih terus dilimpahi nikmat dengan rahmat dan inayah dari-Nya untuk sama-sama menyaksikan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi Negeri Kelantan.


Sesungguhnya pelancaran ini boleh dijadikan titik tolak ujian keikhlasan kedua-dua belah pihak dalam berkongsi anugerah Allah S.W.T. yang dilimpahi-Nya kepada kita semua baik di Kelantan atau negara Malaysia pada amnya yang sama-sama kita kasihi selama ini.


Bahkan, ia adalah detik bersejarah yang mengesahkan lagi penerusan wujudnya jalinan kerjasama akrab sekian lama khususnya sejak 17 tahun negeri ini diperintah oleh Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini.


Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan nanti tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda. Kapal boleh berlayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat Ilahi.
Dalam semangat ini, mewakili Kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan, izinkan saya mengalu-alukan kedatangan YAB Dato' Seri Perdana Menteri.


YAB Dato' Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian,


Tugas pemimpin laksana dasar Allah


Ayat Al-Quran yang baru saya baca dalam muqadimmah tadi biasanya dibaca di atas mimbar Jumaat, saya membacanya pada hari ini di atas mimbar masyarakat. Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah Allah kita disebut pemimpin dan rakyat.
Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar Allah manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan dasar-dasar Allah. Setelah 17 tahun saya diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Kelantan dengan dasar Al-Quran Nul Karim sebagai Kalamullah, termasuk ayat yang saya baca sekejap tadi, petang ini saya dan Kerajaan saya seakan-akan terasa akan adanya perubahan baru.


Saya sedang berada di sebuah pentas buat pertama kalinya dengan pemimpin negara. Alangkah manisnya hidup kiranya insan yang sengaja diciptakan Allah Azzawajalla dengan berlainan watak dan kerenah ini boleh patuh kepada ketetapan azali sejak Nabi Adam alaihissalam lagi.
Firman Allah S.W.T. ada membawa maksud berbunyi


"Dan Kami berfirman: turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan. Kemudian (Adam dan Hawa) menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Kami berfirman: "turunlah kamu semua dari Syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati."
(Surah Al-Baqarah: Ayat 36 - 38).


Mudah-mudahan langkah penyatuan pentas ini akan memulakan jalur-jalur gemilang yang sungguh-sungguh sebagai ganti kepada jalur-jalur hitam selama 17 tahun sebelum ini.


YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian,


Saya sempat juga mengikuti senarai projek-projek raksasa yang ada terkandung di dalam pelan induk yang disebut-sebut akan menelan perbelanjaan berjumlah RM112 bilion ini. Antara lain ia akan memuatkan sebuah Universiti yang telah beberapa kali dilancarkan, Lebuh Raya Pantai Timur, Jeti di Tok Bali dan usaha untuk menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai pusat penerbangan untuk rantau Asia Tenggara, termasuklah keinginan yang kuat untuk memunculkan satu kelas perdagangan dan perindustrian bumiputera.


Alhamdulillah, semua cadangan ini telah lama dikenalpasti dan menjadi sebahagian dari Pelan Jangka Panjang Pembangunan Strategik Negeri Kelantan yang telah kami dokumenkan dan tandatangani sejak 2 Mei 2000; kira-kira 7 tahun yang lalu.


Bahkan memahami pembahagian dan pengkhususan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui 2 rancangan lima tahun yang telah kita lalui. Projek-projek cadangan ini telah dikemukakan kepentingannya untuk diberikan perhatian Pusat dari masa ke semasa.
Mungkin kerana kesuntukan kewangan, ia tidak diberikan perhatian. Kali ini Kerajaan Negeri wajar berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana telah sudi mengiktiraf apa yang kami kenalpasti sebagai projek-projek mustahak selama ini dan akhirnya telah diberikan perhatian.


Pastikan pelan ECER realistik bukan hipokrasi


Menyentuh tentang peruntukan yang mencecah RM112 bilion untuk ECER, RM177 bilion lagi untuk Koridor Utara dan RM47.6 bilion lagi di Wilayah Pembangunan Iskandar, rakyat menjadi sedikit kagum dengan jumlahnya.


Semakin hairan mereka apabila duit yang diisytiharkan ini boleh menjangkau Rancangan Malaysia ke 9, 10 dan boleh pergi sejauh RMK sebelas. Apapun, jika duit ini memang ada dan tidak menjadi masalah, maka kita perlu mengucapkan sebesar-besar syukur. Alhamdulillah, syabas.


Dalam banyak buku ilmiah, saya ada juga terbaca bahawa sesuatu pelan yang berkesan ialah pelan yang dapat diterima tanpa curiga oleh kumpulan sasar.


Ciri pelan yang berjaya juga ialah pelan yang dapat dilaksanakan. Biasanya pelan pembangunan yang baik harus bertolak dan bermula dari bacaan mengenai senario ekonomi dunia semasa yang teliti berasaskan unjuran yang tepat mengenai turun naik harga petrol, emas dan lain-lain komoditi yang utama.


Realiti dan waqi' persekitaran yang berubah ini biasanya akan menentukan pula angkubah-angkubah yang memungkinkan sebuah pelan yang realistik itu dapat diisytiharkan.
Saya berandaian, semua aspek ini telah diambil kira dalam segenap segi sehingga ia tidak menjadi sebuah impian dan bukan sekadar 'satu lagi pelan'. Sememangnya indah untuk berada sekadar di alam mimpi kerana ia mengasyikkan:


Anak Cina memetik selasih
Anyam rotan dibuat timba
Tiada yang indah dalam berkasih
Mimpikan bulan jatuh ke riba .


Dalam banyak hal, apa yang mustahak ialah pelan yang dapat menghasilkan kenyataan.
Siapalah yang tidak bergembira untuk mendengar janji yang akan datang dalam ratusan bilion ringgit. Ini lebih-lebih lagilah apabila janji itu dipenuhi. Sudah banyak kita saksikan betapa janji yang indah kadang-kadang boleh menjadi musuh besar apabila ia gagal dipenuhi. Kebocoran, siling runtuh, rasuah dan pecah amanah, inflasi dan hipokrasi adalah antara musuh-musuh bersama yang boleh menghambat cita-cita murni.


Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER


YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian,


Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita masih tidak diberi perhatian dalam ECER, saya masihlah memandang kepentingannya sebagai sesuatu yang bersifat mendesak.


Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri. Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu, kami masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok.


Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk. Dengan penuh susah payah Allah S.W.T. telah ratusan jutaan tahun memeram, mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak bumi. Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan tindak balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan segala ehsan menyimpan lalu menganugerahkan bumi Kelantan dan laut Kelantan dengan bahan semahal ini.


Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat 'terlepas pandang' dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pelan induk pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini.


Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami dipunggah dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa didaratkan di pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh.


Dalam feqah Islam, telah lama ditulis "hukmul fa il wal khu roji wa rriqaz". Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh dipindah zakat itu ke tempat lain kecuali terlebih dahulu diagih-agihkan kepada al mustahiqiin tempatan.


Ini adalah hukum Allah dan Rasul. Tak disempurna di dunia oleh pihak al-umara', ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak.


"Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya."
(Surah Ad-Dukhaan: Ayat 40).


Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, kita telah meluluskan penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan Kubur, Tumpat, khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas di Joint Development Area (JDA) dengan Thailand dan Vietnam, di luar pesisir pantai Kelantan.


Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan.
Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita mengetepikan sentimen politik bersifat kepartian. Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu' ini sebagai perkara bersama untuk dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama. Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani persefahaman ini bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996 dahulu.


Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah 'pelan indah' yang tidak menjadi hingga sampai ke hari ini. Pembinaan modal insan tidak berjaya kecuali dengan tarbiyah Islam
YAB Dato' Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian.


Dalam hubungan Kelantan yang telah dikenalpasti sebagai Pusat Pembangunan Modal Insan berteraskan ilmu pula, saya bermohonlah untuk memberikan sedikit peringatan.

Mustahil insan itu boleh dibina tanpa agama. Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan roh. Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, adanya taat dan maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis, adanya hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya Neraka.
Ini soal asas yang tiada khilaf. Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi'in dan wali-wali zaman berzaman.


Jika Kelantan mahu diiktiraf sebagai pangkalan terpenting modal insan, maka kita jangan abaikan aspek pembinaan roh. Elemen rasuah, dedah, dadah, belasah dan menolak hukum Allah adalah manifestasi kekacauan fikrah.


Betapa kacau bilaunya acuan dan tertib tarbiyyah kita yang telah dirangka oleh negara selama ini.


Ikut cara kami bangunkan negara bersama Islam


Untuk itu, mari kita cuba menjadi lebih ikhlas dengan cuba sama-sama memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia untuk kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras dengan prinsip asal 'ubudiyyah' sejak asal kita semua dijadikan.
Bagi kami di Kelantan, kita telah lama mengisytiharkan konsep 'Membangun Bersama Islam', berasaskan dakwah bil hikmah wal mauizotul hasanah.


Dalam rangka konsep ini, kami memuatkan prinsip ubudiyyah yakni semua orang wajib kembali kepada pengabdian yang tidak berbelah bahagi kepada Allah S.W.T.


Bagi mereka yang belum Islam, mereka diajak untuk hidup dalam kesedaran ketuhanan. Kami juga memuatkan prinsip mas'uliyyah yakni bekerja dengan penuh sedar bahawa setiap manusia tanpa mengira pangkat, bangsa dan budaya akan disoal jawab oleh Allah Taala sendiri tanpa sebarang jurubahasa.


Manakala Itqan yakni bekerja dengan penuh berkualiti untuk menghasilkan apa sahaja nilai amalan dan aktiviti dari jenis yang terbaik. Seluruh sekolah milik Kerajaan Negeri Kelantan telah dan sedang merangka dan melaksanakan kurikulum dan kokurikulum untuk menggunakan ruang lingkup kesedaran yang keseluruhannya berteraskan ketaqwaan kepada Allah Robbuljalil.


Dalam semangat pesan memesan (Watawa soubilhaq watawa soubissobr), alangkah tepatnya jika pelan pembinaan insan yang termuat dalam ECER ini mampu dengan jujur membuat pengisian-pengisian yang semurni ini.


Jika tidak, percayalah walau secemerlang manapun pelan pembinaan insan kita, tanpa agama, rakyat akan hidup sebagai insan yang bermentalitikan haiwan kerana dia cuma takutkan polis dan BPR, undang-undang, tali gantung dan peraturan dan dia akan hidup dan mati dalam kekeliruan.


Di sana nanti dia akan terpinga-pinga dalam suasana yang salah menyalah "maka, berkatalah pengikut kepada pemimpin dan pemimpin kepada pengikutnya" sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran Nul Karim. (Sila semak dan tadarrus sendiri maksud Surah Al-Baqarah dari Ayat 166 hingga 167).


Menyentuh tentang tumpuan pertanian yang khabarnya hanya akan diberikan tumpuan yang sangat minimum oleh Pelan Wilayah Timur ini, saya kira sekali lagi kami perlu membuat teguran.


Sejak dari dahulu, Kelantan dikenali sebagai negeri pertanian. Apa erti mengisytiharkan istilah-istilah seperti "halal hub" atau Jelapang Makanan Negara jika perhatian ke atas sektor ini sekadar bersifat batuk di tangga? Sekali lagi saya mengharapkan sesuatu yang lebih singnifikan dapat dilakukan ke arah pembetulan ini.


Mari bermuafakat elak ganggu Kelantan


YAB Dato' Seri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Sudah lebih 17 tahun kita menjalin hubungan kesetiakawanan dalam ikatan konsep persekutuan. Setakat yang saya ingat, tidak pernah satu kalipun lagi terganggu sebarang projek yang diluluskan oleh Pusat di Kelantan baik kecil mahupun besar mengalami gangguan atau dihalang oleh Kerajaan Negeri.


Melalui permuafakatan dan rundingan, ia sentiasa disambut oleh kami dengan penuh keterbukaan. Bagaimanapun beradablah ketika melangkah. Bukankah ini Wilayah Timur. Setiap rumah ada tuannya. Masuk berpintu. Keluar bertangga. Kadang-kadang, ya. Terasa juga.


Makan sirih berpinang tidak
Buah keranji atas perahu
Singgah tidak kenang pun tidak
Sampai hati buat tak tahu


Hanya inilah kali pertama saya diberi kesempatan untuk berucap di majlis yang dihadiri oleh YAB Dato' Seri Perdana Menteri. Apapun jua, syukurlah. Saya mengucapkan Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.


Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pelancaran ini.


Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT, MENTERI BESAR KELANTAN DI MAJLIS PELANCARAN PEMBANGUNAN WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR (ECER) PADA 17 SYAWAL 1428/29 OKTOBER 2007, JAM 2.30 PETANG DI KOMPLEKS SEKOLAH-SEKOLAH WAKAF MEK ZAINAB, KOTA BHARU, KELANTAN)


p/s : Ini adalah ucapan yang tulus mulus dari pemimpin yang benar-benar takutkan Allah. Kalaulah semua pemimpin UMNO ikhlas nak membantu rakyat,ana fikir semua rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman damai hari ini.Tapi.....rupa-rupanya tidak....
Oh Malaysiaku....


Hakikatnya yang berlaku sekarang,penipuan demi penipuan....rasuah demi rasuah...pemimpin yang makan duit rakyat...zakat serta bantuan untuk pelajar agama yang berada luar negara ditarik....mahasiswa tempatan ditakutkan dengan AUKU....kes jenayah,rogol,dan bunuh semakin meningkat....Semuanya adalah angkara pemimpin UMNO yang gilakan kuasa,duit,pangkat dan juga harta


Sekian...Wallahu A'lam..

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...