Dari Hati Pejuang

LANGKAH BERMULA...

Sumber Petikan : Al-Banjari Online

Kempen seruan mengibarkan 'Jalur Memali' (dibawah) selama 3 hari mulai hari ini di blog. Berikan sokongan anda menentang kezaliman penguasa. Alfatihah untuk semua syuhada !

Sajak ini adalah karya seni Rahmat Haron, sebuah karya yang membuat jiwa menangis mengenangkan korban-korban jiwa pada syuhada Memali yang menentang penangkapan tanpa bicara.

[Dalam sejarah perjuangan melawan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Ibrahim Mahmud (yang dikenali dengan nama Ibrahim Libya) dan penduduk kampung Memali adalah antara mereka yang paling berani – dengan keras menentang penahanan tanpa bicara hingga derita raga dan jiwa serta terkorban kehilangan nyawa mereka. Maka pergilah mereka meninggalkan kita sebagai syuhada dan pengorbanan yang cukup besar sekali.]

Hari itu Selasa malang,
hari tujuh RabbiulAwwal tahun seribu empat ratus enam hijrah.
setelah malap cahaya lokap,
panjang kembara malam membawa gelap subuh menutup terang matahari, negara, seragam dan senjata mengepung para pejuang yang enggan menyerah, enggan ditahan tanpa kesetaraan, enggan ditangkap tanpa kesaksamaan hak manusia penjara tanpa bicara-warisan tuan penjajah mahu rakyat menjadi hamba.

sejahtera keadilan telah ditelan kebusukan huru hara rasuah. merekalah para pejuang menentang kezaliman haloba, tapi ketamakan kuasa tetap serakah nafsunya mentah kedarah para petani dan buruh mereka para pejuang kebenaran hanya penoreh getah

iya mereka hanya himpunan orang-orang kampung, para guru, merinyu malaria, bekerja sendiri, mekanik motorsikal, pemandu, penoreh getah, tapi mereka setia segar menghidupkan tanah air yang bukan milik mereka.

Tanah dan air yang telah dirompak bebal nasional, tanah dan air yang telah dijual bodoh nasional, Ibrahim Mahmud dan teman-temannya siap teguh iman perjuangan melawan perisai ampuh kekuasaan Iblis_Syaitan_Act - ISA.

ISA adalah jaminan selamat buat penguasa rakus menindas dan memeras penguasa pujanya Iblis kuasa penguasa sembahnya Syaitan rasuah penguasa berkuku besi pelindungnya ISA_Iblis Syaitan Act.

Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perompak zalim bertopeng alim, Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perusuh hak asasi rakyat,

Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan perasuah dan penyeleweng kuasa
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan kepura-puraan
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang Iblis dan Syaitan,
akur aturan perjanjian sesat mengekalkan kuasa sementara,

Pemerintah ketagihan kuasa
dadahnya wang dan harta
pemimpin khayal dengan serakah
erat sayangnya pada angkuh memaksa
rapat kasihnya pada sombong memeras
begitu dalamnya cinta kuasa memeluk timbunan harta kekayaan rakyat jelata .

ISA gari yang merantai kejujuran,
ISA tembok batu, jeriji besi, memisah kasih anak dan isteri, keluarga tercinta
ISA adalah tangisan
ISA adalah ketakutan

Tapi ISA bagi Ibrahim dan Memali adalah keberanian paling tinggi
perjuangan menolak pemenjaraan tanpa bicara
pengorbanan nyawa demi merdeka
dari menjadi hamba pemerintah yang gila kuasa
dan November adalah bulan cukup hitam, sembilan belas hari bulan tahun sembilan belas lapan puluh lima di Baling, siong kekuasaan Bangsat Nasional laparkan darah rakyat murba
ketabahan para pejuang cukup sabar teguh berdiri,
di balas kereta perisai dan senjata
Memali adalah sejarah melawan ISA
paling berani
merdeka semangat Ibrahim Libya dibalas peluru
gegak gempita tembakan
adalah sendu kesedihan

maka tumpahlah darah ke tanah air yang kegeringan
gugur empat belas orang pejuang
syahid menuntut keadilan
melawan penahanan tanpa bicara

akal penguasa putus budinya
dan dacing timbang berat sebelah tidak seimbang
rasa hati telah kabur, pudar dan terhakis
benang-benang kusut
fikiran hanyut
keyakinan tak dapat dikoyakkan kuasa
merah mengalir darah merdeka
korban ISA dan kekejaman negara
syahid para pejuang terpejam mata dalam sejahtera nafas keadilan
BN merampas kebahagian keluarga, mencabut nyawa suami dan ayah, para perempuan menjanda dan anak-anak yatim tidak berbapa



Mereka telah syahid:

1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.

Anda boleh juga membaca kisah Memali di blog Ustaz Nasruddin Tantawi, klik disini


Sahabatku,
Daerah kita daerah perjuangan,
Penuh dengan airmata dan mungkin juga darah,
Bumi berkat pernah menyaksikan perjuangan para mujahid,
Jihad, sabar, istiqamah, thabat sentiasa meniti dibibir murabbi,
Dikau peyambung risalah tercinta ini,

Sahabatku,
Perjuangan kita atas baiah setia,
Ilmu dan perjuangan landasan kita,
Walaupun langkah dan nafas kita kadang kala lemah,
Dikau penguat dimedan dakwah,

Sahabatku,
Biar kita rebah menyusuri perjalanan,
Biar kita getir mengharungi kesusahan dan kepayahan,
Namun perjuangan kita tiada noktahnya
Selamanya...

Sahabatku,
Hiasan duniawi pastinya palsu dan merugikan,
Sedarkan aku dengan amaran-amaran Allah,
Pujuklah aku dengan tarbiyah Pencipta
Ingatlah aku dengan kehebatan syurga,
Dorongilah aku menjadi daie mulia,

Sahabatku,
Teman itu kadangkala seperti penawar,
Itulah sumber kekuatan kita,
Adakalanya seperti racun,
Melemahkan kekuatan kita,

Tapi...
Aku sering berharap,
Mendapat sahabat yang sejati,
Dunia dan akhirat

Moga ukhwah kita selamanya...
Selamanya....

Perjuangan kita masih belum selesai..


Mohd Faizzudin Ghazali
Hayyu Asyir, Kaherah

8 : 51 malam



Satu dokumentari yang menarik wajib ditonton oleh kita bersama, dokumentari "The Arrival" versi Malaysia ini mempaparkan konspirasi Dajjal dalam menguasai dunia. Dokumentari yang sarat dengan fakta ini akan memberikan kesedaran kepada kita tentang betapa jahat perancangan yang dilakukan oleh Dajjal, Zionis, Illuminati dan pengikut-pengikut syaitan ini.

Sedar mahupun tidak, kita pada hari ini sedang dikawal oleh satu sistem dibawah mereka. Ayuh saksikan dokumentari "Satu Ketibaan", klik DISINI

Laporan Berita Malaysia Kini : KLIK DISINI

MSD Didakwa Gagal Program Pelajar Malaysia di Mesir

Dewan Pemuda PAS (DPP) pusat membantah tindakan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) Kaherah yang didakwa telah menggagalkan program pembacaan hadis Bukhari anjuran Persekutuan Melayu Arab Mesir (PMRAM) yang sepatutnya berlangsung di Pusat Persidangan Al Azhar (ACC) bulan lalu.

Nasrudin mendakwa, pengarah MSD Kaherah, Prof Dr Jamil Hashim telah menghantar surat kepada Syeikhul Al Azhar meminta program itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Apa yang paling malang, alasan yang digunakan oleh pihak MSD ialah PMRAM adalah ejen parti pembangkang Malaysia," kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu dijadual diadakan pada 16 hingga 19 Oktober di pusat tersebut yang mampu menampung sekitar 700 peserta.

Ekoran itu, katanya, program itu terpaksa dipindahkan ke Tingkat 5, Dewan Rumah Johor di Kaherah yang hanya mampu menampung sekitar 300 peserta yang antaranya terpaksa mengikut program itu di tangga dan kaki lima bangunan tersebut.

Nasruddin berkata, majlis perasmian program tersebut oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jumuah, terpaksa diadakan di sebuah gelanggang bola keranjang di situ.

Katanya, selain mufti Mesir, antara ulama hadis yang dijemput berucap ialah Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Jamal Farouk, Syeikh toha Dusuqi di Hubaisy, Syeikh Dr Yusri Rushdi Saiyyid al Hassani, syaikh Ahmad Hajain, Syeikh Dr Da'ad Jawish, Syeikh Asyraf Imam Masjid 6 Oktober dan Syeikh Usamah Mahmud al Azhari.

Nasrudin menyifatkan tindakan MSD itu sebagai taktik usang untuk memberi imej buruk dan tekanan kepada PMRAM agar tidak berfungsi sebagai sebuah badan kebajikan mahasiswa dengan baik dan berkesan.

Beliau juga mempersoalkan hak MSD untuk menganggu aktiviti PMRAM sedangkan ia sebuah badan kebajikan yang sah berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir.

Berikutan tindakan MSD itu, katanya, mahasiswa Universiti Al Azhar telah menubuhkan jawatankuasa khas, DESAK, untuk menuntut MSD memohon maaf secara terbuka dan kembali membersihkan nama baik PMRAM.

Mereka juga menuntut supaya Prof Dr Jamil dipanggil balik dan ditukar kerana didakwa gagal memainkan peranannya sebagai pengarah MSD yang sepatutnya membantu mahasiswa danbukannya "menghalang mereka menuntut ilmu".

"Paling ringan, Dewan Pemuda PAS mendesak supaya Prof Dr Jamil diberi amaran keras oleh pihak kerajaan agar ia menjalankan tugas sebagai pengarah MSD dengan penuh dedikasi tanpa menyusahkan mahasiswa dengan agenda dan tanggapan jahat mereka terhadap mahasiswa," katanya.

Nasrudin berkata, menuduh PMRAM sebagai ejen parti pembangkang bukan sahaja berniat jahat tetapi juga menggangu emosi mahasiswa di Mesir.

Malah, dakwanya, ia bukan perkara baru kerana sejak 1991, PMRAM sering diganggu oleh MSD dengan dituduh sebagai ejen pembangkang tanpa sebarang bukti.


Peristiwa drama kejar mengejar pencuri kain rentang DESAK pada 29 Oktober lepas memang mengejutkan. Tidak pernah tercatat dalam sejarah beberapa orang arab melarikan kain rentang menggunakan kereta safarah. Memang melucukan tetapi sebenarnya lebih memalukan!

Selepas itu, seperti biasa didendangkan lagu oleh Pengarah JPMK kain itu tidak dicuri tetapi sebaliknya diturunkan kerana melakukan provokasi, menyemai kebencian. Hakikatnya menggunakan lirik yang sama tetapi nada sentimental.

Saya cuba menelaah kalam fuqahak tentang takrif sebenar mencuri السَّرِقَةِ. Kenapa saya hanya merujuk kalam mereka tanpa merujuk Kamus Dewan atau Kamus Oxford dan lain-lain. Semua tahu jawapannya. Mari kita mengkaji pendapat para fuqahak dalam masalah ini.

Dicatatkan oleh Imam Khotib Syarbini (Mughni Muhtaj)

لُغَةً أَخْذُ الْمَالِ خِفْيَةً وَشَرعًا أَخْذُهُ خِفْيَةً ظُلْمًا مِنْ حِرْزِ مِثْلِهِ بِشُرُوطٍ تَأْتِي

Maksud : Mengikut bahasa ialah mengambil harta secara tersembunyi dan mengikut syara; ialah mengambilnya secara tersembunyi, zalim dari simpanan/jagaan seumpamanya dengan syarat-syarat mendatang

Menurut Imam Ibnu Qudamah Al-Hanbali (Mughni)

وَمَعْنَى السَّرِقَةِ : أَخْذُ الْمَالِ عَلَى وَجْهِ الْخِفْيَةِ وَالِاسْتِتَار


Maksud : Dan makna mencuri ialah mengambil harta secara tersembunyi dan tertutup.

Menurut Imam Kamal ibnu Humam Al-Hanafi dalam Fathu Qadir makna mencuri menurut syarak sama dengan maknanya menurut bahasa iaitu أَخْذُ الشَّيْءِ مِنْ الْغَيْرِ عَلَى وَجْهِ الْخُفْيَة

وَفِي الشَّرِيعَةِ هِيَ هَذَا أَيْضًا وَإِنَّمَا زِيدَ عَلَى مَفْهُومِهَا قُيُودٌ فِي إنَاطَةِ حُكْمٍ شَرْعِيٍّ بِهَا إذْ لَا شَكَّ أَنَّ أَخْذَ أَقَلَّ مِنْ نِصَابٍ خِفْيَةً سَرِقَةٌ شَرْعًا ….

Jadi memang perbuatan tersebut adalah MENCURI mengikut kefahaman saya. Istilah boleh ditukar ganti tetapi hakikatnya tetap MENCURI. Kesimpulannya mengambil harta orang lain tanpa izin dalam keadaan sembunyi adalah MENCURI. Walaupun ia tidak boleh dikenakan hukum hudud dengan sebab-sebab tertentu ia adalah satu jenayah apatah lagi menyalahkan kuasa dengan menggunakan kenderaan kerajaan.

Adakah dengan sebab provokasi kita boleh menghalalkan jenayah? Pendapat saya TIDAK. Saya amat mengharapkan Prof dapat mengemukakan dalil atau pendapat ulamak yang mengharuskan perkara tersebut. Sekurang-kurangnya selepas ini sekiranya Prof melakukan sebarang provokasi kita juga boleh menggunakan mazhab Prof untuk mengharuskannya.

Prof berkata lagi (mafhumnya) : Sekiranya seorang anak menyimpan gambar lucah ayahnya berhak untuk mengambil, merampas gambar tersebut tanpa izin.

Sememangnya Qias yang celaru. Mengqiaskan kain rentang dengan benda mungkar yang dipersetujui. Dalam kes gambar lucah bukan setakat ayah sesiapa sahaja berhak mengambilnya sebab ia merupakan mungkar yang wajib diperangi. Sekali lagi saya mengharapkan prof mendatangkan dalil bahawa tandatangan di kain rentang tersebut adalah perkara mungkar yang wajib diperangi.

Soalan saya APAKAH NILAI SEORANG AYAH YANG SANGGUP MEMFITNAH ANAK-ANAKNYA DAN MENIPU SYEKHUL AZHAR DAN PARA MAHASISWA?

Natijahnya Prof bersilat di gelanggang yang salah, bersilat di depan pelajar agama yang tahu hukum halal dan haram, di depan mahasiswa yang cerdik menilai salah dan silap.

Lagu JALAN DAKWAH ini, saya dedikasikan untuk sahabat saya yang masih terlantar di hospital.. Dr Syamsul Bakri.. Semoga beliau cepat sembuh..

JALAN DAKWAH


Dari barisan usrah
Dan dari umbi tarbiah
Muncullah sinaran fikrah
Islah terus meniti masa

Dari dewan selesa ke jalanan yangg berhaba
Pejuang keadilan dan penjulang kebenaran
Bersama Islam membina ummah
Usaha daulatkan syariah
Agar hidup penuh barakah

Di dalam sedih dan ketawa
Di dalam susah dan mewah
Tetap teguh iman dan takwa

Sehati sejiwa
Dulu kini selamanya
Walau apa yg melanda hadapi bersama

Ya Allah ya rabbi
Teguhkan iman kami
Moga tabah hati tak berbelah bagi

Berbekalkan Islam membina masyarakat
Mengukuh umat insan sejagat
Setiap mehnah pastinya ada hikmah
Berbaik sangka pada yg Esa.

Rasulullah contoh ikutan
Prinsip syura jadikan amalan
Korban masa tenaga kita
Dan fikiran perkasakan maruah kita


*Lagu JALAN DAKWAH boleh dengar disini

Sahabat-sahabat adalah cermin bagi kita, moga kita tetap dalam istiqamah..

Sukarnya daku untuk istiqamah. Mudah untuk kita menuturkannya, sukar untuk melaksanakannya. Berhati-hatilah dalam kita berbicara. Allah menilai setiap tutur kata kita. Semakin banyak bicara kita tentang perjuangan, semakin kuat Allah uji kita. Andai amalan dan ibadah kita kuat, ianya mampu menjadi pembenteng dalam kita menghadapi ujian dari Allah SWT.

Namun, seandainya kita lemah dan tidak menjaga ibadah kita, bila-bila masa sahaja kita akan jatuh tersungkur. Lebih-lebih lagi kalau maksiat kita banyak pada Allah SWT lagi susahlah untuk kita bangkit semula. Ubatnya adalah taubat. Taubat akan menyembuhkan hati yang sudah berkarat dengan maksiat.

Dari Abdullah bin Amru, ia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Setiap amal memiliki puncaknya dan setiap puncak pasti mengalami kefuturan (putus asa). Maka barang siapa yang pada masa futurnya (kembali) kepada sunnahku, maka ia beruntung dan barang siapa yang pada masa futurnya (kembali) kepada selain itu, maka bererti ia telah celaka” (HR Imam Ahmad dari sahabat Anshar)

Istiqamahlah... Kerana istiqamah akan menjadikan diri kita berani dalam menghadapi onar dan duri dalam kehidupan. Beristiqamahlah... Kerana istiqamah akan melahirkan ketenangan dalam jiwa. Beristiqamahlah.. Kerana istiqamah akan menjadikan kita optimis dan sentiasa beriltizam dalam perjuangan..

Semoga Allah memelihara jiwa kita dari sifat kefuturan. Moga-moga dengan dengan buah istiqamah, kita akan diberikan kemenangan dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.



Sumber : Abu Amirah As-Salimbari

Tok Guru, (Nik Abdul Aziz)

Semoga Allah memuliakan dikau Tok Guru…
Yang sesekali tertinggi suara pada anak didikmu, demi Islam…
Yang merendah diri bertemu muka dalam syura ukhuwwah…
Penuh ikhlas menarik kembali tutur bicara yang terlajak…
Sungguh! Hatimu sangat mulia…
Tokoh sepertimu seorang dalam berjuta-juta…
Semoga Allah melahirkan lagi ramai pemimpin sepertimu…
Kami bangga ber-Mursyid-kan Tok Guru…
Teruslah mendidik kami… teruslah menasihati kami…

Tuan Guru, (Abdul Hadi Awang)

Semoga Allah memuliakan dikau Tuan Guru…
Ketenanganmu dalam menghadapi kritikan…
Keteguhan jiwamu dalam menempuh badai fitnah…
Keterbukaan dan kelapangan dadamu adalah qudwah…
Serulah kami anda dikau terasa berkeseorangan…
Akan kami sahut panggilanmu dengan penuh kesetiaan…
Dikaulah tokoh Murabbi sepanjang zaman…
Dikaulah mujahid, mujtahid dan mujaddid kami…
Teruslah memimpin kami… teruslah membimbing kami…

Ustaz, (Nasharudin Mat Isa)

Semoga Allah memuliakan dikau ustaz…
Meninggalkan jawatan demi sebuah perjuangan…
Warisan Fadhil Noor dalam ketajaman usul fiqh…
Apa yang telah berlaku hanyalah ribut dan badai…
Yang memperkasakanmu dalam meneruskan warisan kepimpinan…
Dikau benar, dalam memilih untuk senyap dan berdiam…
Walaupun dikau berhak bersuara selaku pimpinan pilihan ramai…
InsyaAllah, gigih menjejaki teladan 2 Tok dan Tuan Guru…
Dikaulah pemimpin masa hadapan…

Tok Guru, Tuan Guru dan Ustaz,

Terima kasih kerana dengan izin Allah, telah merungkaikan kami…
Dari belitan jejaring fitnah yang sangat meresahkan ini…
Kalian adalah qudwah dalam ukhuwwah dan kesetiaan…
Buat kalian, terimalah bai’ah ini ;
WalLahi, Wabillahi, WatalLahi,
Kami dengan ini sesungguhnya berjanji setia..
Untuk dengar dan taat kepada kalian…
Pada perkara yang kami suka atau tidak…
Dalam keadaan kami cergas atau malas..
Selama mana bukan pada perkara-perkara maksiat…

SUNGGUH! BAHTERA INILAH YANG PALING SELAMAT



Abd Qadir Jailani berpendapat bahawa manusia terbahagi kepada 4 bahagian:-

Manusia yang tidak mempunyai ucapan dan hati, mereka ini sangat suka berbuat maksiat, menipu serta tolol. Mereka ini harus kita berhati-hati, janganlah bergaul dengannya, kerana mereka adalah orang-orang yang bakal diseksa.

Manusia yang mempunyai lidah namun tidak mempunyai hati. Manusia ini perkataannya penuh berisi hikmah dan ilmu akan tetapi tidak mengamalkannya, ia mengajak manusia supaya taat kepada Allah, akan tetapi ia sendiri mengingkarinya. Manusia seperti ini hendaklah dijauhi supaya kita tidak terpedaya oleh ucapan lidahnya sehingga tidak ikut serta untuk berbuat maksiat dan tidak terkena bau busuk hatinya.

Manusia yang mempunyai hati, akan tetapi tidak mempunyai lidah. Mereka ini adalah orang Mukmin yang dirahsiakan Allah dari pengetahuan makhlukNya, Allah memelihara aib dirinya, hatinya mendapat pancaran cahaya Illahi, sehingga ia tahu bahaya atau akibat bergaul dengan sesama manusia yang mempunyai ucapan yang kotor. Mereka ini adalah termasuk golongan wali-wali Allah, yang sentiasa dipelihara dalam lindungan Allah SWT serta memiliki segala kebaikan. Maka bergaullah dengan mereka, nescaya kamu akan dicintai oleh Allah SWT.

Manusia yang belajar, mengajar dan mengamalkan ilmunya. Mereka ini adalah orang mempunyai pengetahuan tentang Allah SWT serta ayat-ayatNya. Allah menganugerahkan ilmu-ilmu yang luar biasa kepadanya dan Allah memberikan kelapangan dadanya untuk menerima ilmu-ilmu itu. Terhadap manusia ini, hendaklah kamu takut berbuat salah dengannya, menjauhinya dan menerima nasihat-nasihat yang diberikannya.

"Madah Tarbiyah Melayari Perjuangan", hanya tinggal kenangan...


Terasa begitu berat sekali untuk mengubah sesuatu perkara. Saya mengambil terlalu lama untuk berfikir bagi mengubah template blog ini. Hari ini blog saya sudah berubah wajah. Hampir 2 tahun dengan warna hitam dihiasi warna kuning.

Namun hari ini, saya berani mengambil keputusan untuk mengubahnya. Walaupun agak sukar untuk membuat keputusan, tetapi saya cuba untuk memberanikan diri. Rupa-rupanya bukan mudah untuk kita meninggalkan sesuatu yang kita benar-benar sayang. Ya, blog pada hari ini adalah sebahagian daripada kehidupan saya. Dengan ber'blog'lah kita menyatakan isi hati kita.

Saya ingin belajar untuk menjadi penulis produktif, kerana saya ingin menjadikan menulis adalah sebuah habit (kebiasaan) bukan potensi. Saya tersentuh dengan kata-kata "Sebaik-baik manusia adalah memberikan manfaat kepada orang lain".

Saya berharap dengan wajah baharu ini, semangat saya pun baharu. Tajdid..

Semoga dengan usaha yang secicip ini, akan bermanfaat buat ummah hari ini.


MESKIPUN PMRAM pada hari ini menerima tekanan yang cukup hebat dari pelbagai pihak, namun kesatuan PMRAM cukup utuh dan ampuh dalam menghadapi sebarang tekanan dan ancaman dari luar. Moga-moga Allah memelihara PMRAM sebagaimana Allah memelihara Baitul Ka'abah, sesungguhnya cubaan untuk menghancurkan kesatuan ini akan dibalas dengan azab yang sangat dahsyat di akhirat kelak. Saya mendoakan juak-juak yang cuba menghancurkan PMRAM akan diberikan hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT.

Entri ini ditulis kerana penulis sangat kesal dan sedih dengan tindakan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) yang cuba mengagalkan program Majlis Pembacaan Kutub Sittab Bersama Masyaikh Al-Azhar di Azhar Conference Center pada 17hb-20hb Oktober ini. Sama-samalah kita mendoakan serta melakukan solat hajat supaya program tersebut akan berjalan dengan baik.

Ya Allah!! Demi KasihMu.. Demi CintaMu..
Letakkanlah kami di golongan orang-orang yang ikhlas membantu agamaMu. Berilah petunjuk kepada kami dalam menghadapi mehnah dakwah ini. Sesungguhnya kami tidak berdaya dan lemah..
Kuatkanlah dan satukanlah hati-hati kami dalam memikul beban dakwah ini.. Maha suciMu Ya Allah...
Lindungilah kami dari golongan orang-orang yang zalim terhadap agamaMu..

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Umat Islam hari ini terkejut dan tersentak apabila seorang Imam yang memperjuangkan Islam sehingga digelar sebagai "Lampu Kebenaran" telah meninggal dunia ketika berurnur 87 tahun. Beliau adalah Syeikh al-Mutawalli Sya'rowi yang dilahirkan pada 19 April 1911 M di Mayyit Ghemar, Daqohliah.

Beliau menghabiskan hidupnya dengan memperjuangkan kalimah Allah SWT, menerangkan Islam dengan kefahaman yang sahih, menafsirkan al-Quran dengan uslub yang tiada bandingnya hingga mampu menarik pendengar. Beliau telah mendapat syahadah tertinggi dari kuliah Lughah Arabiah pada tahun 1941 M dan Syahadah 'Alimiyyah dengan kebenaran mengajar pada tahun 1943.

Syeikh al-Mutawalli Sya'rowi pernah bertugas sebagai tenaga pengajar di Ma'ahad Dini Tanta, Ma'ahad Iskandariah dan Ma'ahad Zaqaziq, seterusnya dipanggil oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengajar di sana pada tahun 1950. Beliau berhijrah ke Universiti al-Malik Abdul Aziz al-Mukarramah sebagai pensyarah di Kuliah Syariah selama 10 tahun. Kemudian, dilantik sebagai Timbalan Mudir di Ma'ahad Tanta pada 1960 dan dinaikkan pangkat sehingga akhirnya menjadi Menteri Waqaf dan Kementerian Hal Ehwal Azhar pada tahun 1976. Beliau juga merupakan anggota Majma' Bu'uth al-Islamiyyah, anggota Majlis Syura dan juga Majma' Lughah 'Arabiyyah.

Sejak kecil lagi beliau dikenali dengan nama as-Syeikh al-Amin (yang amanah) dan pernah dipenjara ketika beliau menuntut di Ma'had Zaqaziq selama sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul, seorang ulama al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan.

HIKMAH ANUGERAH ALLAH

Beliau telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan ilmu yang tinggi, ingatan yang kuat serta peribadi yang sempurna. Sewaktu beliau menjawat Menteri Waqaf Mesir, seorang doktor pernah berkata : "Aku himbang apabila kamu menjawat jawatan ini, ia akan menyibukkan kamu dalam banyak perkara". Lalu Syeikh Sya'rowi menyatakan : "Bertenang! Sesungguknya mereka (kesibukan) tidak akan dapat menewaskan aku."

Syeikh Sya'rowi menjadi Menteri Waqaf Mesir selama 2 tahun, walaupun demikian, jawatan tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah dan menafqahkan gaji yang diperolehi kepada pelajar-pelajar dan orang-orang faqir. Beliau juga amat cinta kepada kaum keluarga Nabi SAW. Beliau lebih gemar tinggal berhampiran dengan kawasan Hussain dan sentiasa menziarahi maqam Saiyyidah Nafisah serta sentiasa menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Masjid Hussain.

Syeikh Sya'rowi juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Salah seorang anaknya, Ahmad berkata bahawa ayahnya telah mengkhaskan gaji kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan Doqdus (kampung beliau). Beliau juga mengkhaskan bayaran ceramah di radio-radio dan televisyen serta tulisan-tulisan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah untuk kebajikan. Wang 250 juta Pound Mesir (lebih kurang 73 juta Us Dollar) yang merupakan hadiah daripada Raja Dubai telah didermakan sebanyak 500,000 Junaih (lebih kurang 146,000 Us Dollar) kepada pelajar-pelajar al-Azhar dan yang selebihnya telah didermakan kepada Kementerian Waqaf bagi diedarkan kepada penghafaz-penghafaz al-Quran.

SAAT KEMATIAN

Sebelum Syeikh Sya'rawi rneninggal dunia, beliau mengalami kesakitan yang parah pada dadanya menyebabkan beliau tidak mampu untuk hernafas dengan baik dan sakit tulang. Anak saudaranya yang bernama Hajah Suad menyatakan bahawa sewaktu hampir saat kematian, beliau cuba untuk bangun dan berteriak dengan suara yang jelas sehingga didengari oleh orang yang berada di sekelilingnya, "Selamat datang wahai Hussain ! Kamu telah datang sendiri berjumpa aku, aku gcmbira dengan kedatanganmu". Kemudiannya, beliau melafazkan ucapan hamdallah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Jenazah beliau telah dikebumikan di kampungnya iaitu Doqdus berdasarkan wasiat beliau sendiri. Jenazahnya telah dihawa oleh anak-anak muridnya, penduduk kampung serta semua pencinta beliau. Hampir sejuta orang telah menghadiri pengkebumian beliau.

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Zaqaziq
, 12 Oktober - Satu kemalangan jalan raya yang melibatkan 7 orang pelajar Malaysia telah berlaku malam tadi di Lebuhraya Bilbis - Kaherah antara lori pengangkut barang (trailer) dan mikrobas. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.45 malam hingga 7.00 malam itu berlaku pada malam semalam bersamaan dengan 11 Oktober 2009. Kemalangan yang membabitkan 4 orang pelajar jurusan Perubatan dan 3 orang penuntut di jurusan Pengajian Islam itu adalah mereka yang sedang menuntut di universiti-universiti di sekitar Zaqaziq. Kejadian itu berlaku disebabkan oleh pemandu mikrobas itu yang mahu mengelak bahagian belakang lori yang tiba-tiba muncul kerana pemandu mikrobas itu tidak memasang lampu kenderaan dan ditambah pula dengan keadaan lebuhraya yang gelap tiada lampu. Para pelajar Malaysia yang terlibat di dalam kemalangan tersebut adalah seperti berikut:

1. Mohd Al Hidayat B. Khalid [Pengajian Islam]- Stabil, masih menerima rawatan di Hospital Hamdi Syed dibenarkan pulang slepas sehari menerima rawatan. Kos perkhidmatan di wad
tersebut hampir LE 300.

2. Abd. Hadi B. Mohd Zuki [Perubatan - Kedah] -Patah Kaki Kanan dan cedera kaki kiri, masih menerima rawatan di Hospital Hamdi Syed dan dibenarkan pulang sehari selepas menerima rawatan. Kos rawatan dianggar LE 800.

3. Anas Zarif B. Haron [Pengajian Islam - Perak] - Stabil dan badan masih lemah, masih menerima rawatan di Hospital Hamdi Syed, dibenarkan pulang sehari selepas menerima rawatan. Kos rawatan dianggarkan LE 300.

4. Syamsul Bakri B. Osman [Perubatan - Kedah] - Menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti, namun beliau belum menerima rawatan penuh dari semalam sehingga rakan-rakannya mendesak pihak hospital untuk bertindak merawat beliau dengan segara, kira-kira jam 10.45 pagi tadi, beliau menerima rawatan selanjutnya dari pihak hospital. Kos rawatan masih tidak dapat dinyatakan lagi

5. Abd Hakim B. Suhimin [Perubatan - ] - Stabil, tidak mengalami kecederaan dan beliau berada di rumahnya serta dinasihatkan untuk berehat secukupnya.

6. Wan Zaimu Azmer B. Wan Abu Bakar [Perubatan - Terengganu] - Stabil, tidak mengalami kecederaan dan beliau berada di rumah serta dinasihatkan untuk berehat secukupnya.

7. Salehuddin B. Mohd Jahar - [Pengajian Islam - Selangor] - Stabil dan cedera ringan, beliau berada di rumah dan dinasihatkan berehat secukupnya.

Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), telah menghantar wakil Badan Pengurus untuk melawat keadaan mangsa. Rombongan yang diketuai oleh Saudara Nik Rosdi bin Nik Jusoh selaku Naib Presiden 2 PMRAM juga merangkap Ketua Lajnah Muhafazah, diiringi oleh 3 lagi Badan Pengurus PMRAM iaitu Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman, Naib Presiden 3 PMRAM, Saudara Mohd Farkhan bin Md. Zain, Ketua Badan Pengetahuan Dan Penyelidikan PMRAM dan Saudara Mohd Azlan bin Alias, Ketua Badan Ekonomi PMRAM. Saudara Hanafi bin Zulkapli selaku Penasihat PMRAM juga turut serta dalam rombongan tersebut.

PMRAM mendoakan agar semua mangsa dalam keadaan stabil dan dapat kembali hidup seperti biasa dan sentiasa bersemangat dalam menjalani kehidupan di Mesir ini. PMRAM juga menasihatkan kepada seluruh mahasiswa Malaysia tidak kira jurusan Pengajian Islam ataupun Perubatan, agar dapat berhati-hati ketika menaiki kenderaan awam.

____________________________________________________________________

Semoga Allah menyembuhkan semua sahabat-sahabatku dan diberikan ganjaran pahala yang tinggi. Sebak rasanya melihat kesakitan yang dialami oleh mereka, moga-moga setiap kesakitan diberikan akan dibalas dengan ganjaran yang tak ternilai tingginya.

Wahai para mujahid Islam : bersabarlah...dan tetaplah dalam kesabaran..

Sumber : Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig

Universiti Al-Azhar As-Syarif merupakan sebuah institusi pendidikan terulung di Mesir, dan terkenal di dunia sebagai puast kesarjanaan dan pendidikan.Ia merupakan universiti kedua tertua di dunia selepas Universiti Al-Qarawiyin di Fes, Maghribi. 969M merupakan satu tarikh agung bagi Mesir apabila Kaherah dibuka dengan rasminya dan menjadi ibu negara Mesir sehingga kini. Khalifah kerajaan Fatimiyyah iaitu Khalifah Al-Aziz Billah telah berkenan untuk menubuhkan universiti ini. Kerja pembinaan masjid Al-Azhar telah mula dijalankan pada 4 April 970M bersamaan 24 Jamadil Awwal 359H oleh panglima Fatimiyyah, Jauhar As-Saqoli. Pembinaan selesai pada hari Jumaat, 22 Jun 972M/7 Ramadhan 361H dan solat Jumaat pertama telah diadakan pada tarikh tersebut. Pada 378H/988M seorang wali kerajaan Abbasiyyah di Mesir, Ya`kub Bin Kals telah mencadangkan supaya Masjid Al-Azhar dijadikan institusi pengajian.Al-Azhar pada mulanya ialah pusat pengajian bagi mazhab Syiah kerana pemerintah Fatimiyyah pada ketika itu menjadikan Syiah Ismailiyyah sebagai mazhab rasmi negara.

Akan tetapi setelah Dinasti Ayyubiyah mengambil alih tampuk pemerintahan Mesir, rajanya iaitu Sultan Salahuddin Al-Ayyubi menukar Al-Azhar menjadi pusat pengajian bagi mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah sehingga menghapuskan ajaran Syiah. Beliau juga telah meneroka ilmu-ilmu naqli seperti tafsir, fiqh, hadis, ilmu kalam, bahasa Arab dan sastera di samping ilmu aqli seperti sejarah, falsafah, perubatan dan lain-lain lagi.

Al-Azhar telah mengalami banyak perubahan akibat daripada pertukaran kerajaan pemerintah di bumi Mesir serta menyesuaikan diri dengan perubahan dan zaman dan kemaslahatan umat Islam.Kerajaan Uthmaniyyah memerintah Mesir pada 1517M setelah berjaya menewaskan tentera kerajaan Mamalik dalam pertempuran "Maraj Dabik" di Halab, Syria.Sultan Salim telah membawa pulang bersamanya kitab serta ilmu berharga dari Maktabah Jami` Al-Azhar ke pusat pemerintahannya untuk memajukan negaranya. Golongan Basya juga datang dari Turki ke Mesir. Mereka merupakan golongan ulama yang alim serta wara` dan kedatangan mereka menambahkan kemajuan ilmu di Jami` Al-Azhar.

Pada abad ke-17, Khalifah Uthmaniyyah telah memberikan gelaran As-Syeikh Jami` Al-Azhar iaitu gelaran yang digunakan untuk ketua Jami` Al-Azhar dan masih digunakan sehingga kini.Pada 1961M, Presiden Mesir Jamal Abdul Nasser telah menambah beberapa fakulti ke universiti ini iaitu fakulti perubatan, kejuruteraan dan pertanian serta membuka fakulti untuk wanita Islam.Al-Azhar juga mempunyai maahadnya iaitu Maahad Buuth.Al-Azhar telah berjaya meneruskan kegemilangan Ilmuwan Islam pada zaman Dinasti Mamalik setelah pusat ilmu di kota Baghdad dimusnahkan oleh tentera Mongol yang diketuai oleh Hulagu Khan pada abad ke-13 sehingga zaman kini. Al-Azhar juga berperanan menentang penjajahan Perancis ke atas Mesir (1797-1800) dengan ulamanya membangkitkan semangat jihad rakyat Mesir dan berhasil menewaskan kuffar Perancis.

Al-Azhar juga telah melahirkan tokoh-tokoh masyhur yang menjadi ilmuwan serta pendokong perjuangan gerakan Islam seperti Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Hassan Al-Banna, Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dan ramai lagi serta tokoh-tokoh Nusantara seperti Kaum Muda yang membangkitkan idea semangat jihad menentang penjajahan kuffar iaitu Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki, Syeikh Juned Tola, Syeikh Idris Al-Marbawi dan Syeikh Wan Ahmad Pattani.Al-Azhar juga telah melahirkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam politik tanah air seperti Wan Mokhtar Ahmad, Dr Zulkifli Muhammad, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ibrahim Mahmud, Dato` Abdul Hamid Othman serta ramai lagi. Tokoh-tokoh lepasan Al-Azhar telah memainkan peranan penting di dalam pembinaan masyarakat, sosio-ekonomi, serta memacu negara menuju ke arah yang lebih baik dan mengikut acuan Islam.


Berdasarkan kajian, Universiti Al-Azhar mendapat namanya dengan dinisbahkan kepada puteri Rasulullah SAW iaitu Fatimah Az-Zahra semasa pemerintahan kerajaan Fatimiyyah yang juga menggunakan nama puteri Baginda sebagai nama kerajaan.Al-Azhar telah berjaya memberikan jasa dan bakti yang besar kepada Dunia Islam seluruhnya. Pelajar Al-Azhar kini datang dari seluruh pelusuk dunia semata-mata untuk mencedok ilmu agar ia dapat digunakan untuk membangunkan jiwa umat Islam yang kini menghadapi banyak cabaran serta ancaman dari gerakan Sekularisme, Komunisme, Atheisme, Sosialisme, Nasionalisme, Kristianisasi, Orientalisme serta Freemasonry yang tidak berputus asa untuk berusaha meruntuhkan Islam dan menjauhkan Muslim dari agamanya. Semoga seluruh mahasiswa Mesir dapat menjadi sebahagian dari perjuangan untuk mempertahankan Islam.

Sahabat-sahabat seperjuangan,

Ayuh kita sama-sama ke "Majlis Pembacaan Kutub Sittah Bersama Masyaikh Al-Azhar" anjuran PMRAM pada 17-20 Oktober 2009, bertempat di Dewan Fustat, Azhar Conference Center (ACC) Kaherah. Semoga kita mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu bersama para alim ulama' dan dapat menambahkan lagi ilmu didada. Insya-Allah..


Mari kita menghayati wasiat As-Syahid Dr Abdullah Azzam buat tatapan kita. Kita kembalikan semula semangat roh jihad yang semakin terpadam di dalam dada ummat Islam, sungguh bernilai sekali pada ummat Islam hari ini. As-Syahid menyeru:

Wahai kaum MUSLIMIN,

"Kehidupan kalian adalah jihad, kemulian kalian juga terhasil dari jihad dan kewujudan kalian di atas muka bumi ini terikat dengan ikatan yang berpanjangan dengan jihad."

Wahai para PENDAKWAH,

"Tiada harga kalian berpanas di bawah cahaya matahari melainkan jika kalian menyandang senjata bagi menhadapi golongan toghut yang melampau, orang-orang kafir dan orang-orang yang zalim yang semakin bermaharajalela. Sesungguhnya mereka menyangka bahawa agama Allah ini akan tertegak tanpa jihad, tanpa peperangan, tanpa darah dan air mata, maka mereka yang ragu-ragu itu sebenarnya tidak memahami tabiat agama ini.Sesungguhnya kehebatan para dai'e (pendakwah), kekuatan dan keberkesanan dakwah dan kemulian umat Islam tidak akan wujud melainkan dengan melaksanakan jihad pada jalan Allah.Kejarlah kematian kerana ia akan memberikan kehidupan (yang hakiki). Hindarilah diri dari merasa hebat dengan jumlah kitab yang telah dibaca. Janganlah merasa megah dan mencukupi dengan sembahyang-sembahyang sunnat yang kalian telah biasakan itu. Janganlah kalian membiarkan kerja-kerja yang remeh menguasai kalian sedangkan di sana ada tugas yang lebih besar dan lebih sukar."

Wahai para ULAMA',

"Majulah kalian untuk memimpin generasi ini yang amat dahagakan untuk kembali kepada Tuhannya. Jangan kalian terbelenggu atau cenderung kepada dunia. Jauhilah janji manis pemberian dan sogokan serta hidangan toghut (pemerintah) kerana sesungguhnya hidangan dan sogokan tersebut akan menggelapkan hati dan mematikan fikiran serta menjadi benteng yang mengahalang hubungan kalian dengan masyarakat."

Wahai kaum MUSLIMAT,

"Jauhilah kemewahan dunia kerana ia adalah musuh kepada jihad. Ia juga pembinasa diri manusia. Oleh itu janganlah menunjukkan sesuatu yang berlebihan. Cukuplah sekadar keperluan sahaja.Didik dan latihlah anak-anak kalian dengan kegagahan dan kejantanan serta kepahlawanan dan jihad. Jadikanlah rumah-rumah kalian sebagai kandang-kandang singa dan bukannya reban ayam yangmenunggu gemuk untuk disembelih oleh toghut. Tanamkan ke dalam jiwa anak-anak kalian kecintaan kepada jihad, keinginan kepada medan perang dan lapangan yang penuh dengan keributan perang.Hiduplah kalian dengan tidak melupakan penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam. Cubalah sedaya upaya menjadikan sehari dalam seminggu, sekurang-kurangnya, hidup bagaikan mujahidin dengan hanya memakan sekeping roti kering tanpa lauk dan meminum secawan teh tanpa gula."

Wahai PEMUDA,

"Biasakanlah kalian dengan nyanyian dan alunan letupan peluru dan dentuman senjata-senjata berat serta gegap gempita jet-jet pejuang dankereta-kereta kebal. Jauhilah nyanyian-nyanyian yang lembut dan muzik-muzik yang mengasyikkan dengan hamparan permaidani merah."

Wahai ISTERIKU,

"Lazimilah sifat zuhud, nescaya engkau akan dikasihi Allah dan berzuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia (jangan meminta-minta) nescaya engkau akan dikasihi manusia. Ketahuilah bahawa Al-Quran adalah bekalan yang paling berharga serta panduan sepanjang hayat. Seterusnya beribadah pada waktu malam (qiamullail) dan berpuasa serta beristighfar dan bertaubat diwaktu dinihari akan mendatangkan kejernihan pada hati dan kemanisan serta hubungan yang baik dalam beribadah.Ianya juga dapat menghilangkan kecintaan kepada dunia. Adapun menjauhkan diri dari menunjuk-nunjuk dan menjauhkan diri dari golongan yang cintakan dunia, akan mendatangkan ketenangan kepada hati. Akhir sekali, aku sangat-sangat berharap agar Allah menemukan kita di Syurga Firdaus seperti mana Dia menemukan kita di dunia ini."

Adapun kalian ANAK-ANAKKU,

"Sesunguhnya kalian tidak pernah bermesra dengan kumelainkan hanya sebentar sahaja. Terlalu sedikit tarbiyyah yang sempat kuberikan pada kalian. Ya, aku terlalu sibuk dengan urusan jihad daripada tinggal bersama-sama kalian Namun apa yang dapat aku lakukan. Bagaimana aku hendak berseronok bersama kalian sedangkan penderitaan umat Islam amat menyiksakan hingga menyebabkan seseorang ibu melupakan anak yang disusuinya. Kedahsyatan yang menimpa dan menyakiti umat Islam telah mengubankan rambut dikepala kanak-kanak (telah lama berlaku). Demi Allah aku tidak sanggup berperak dan berkurung di dalam sangkar bersama-sama kalian seperti ayam bersama dengan anak-anaknya. Aku tidak mampu hidup dengan menyejukkan diri sedangkan kepanasan api dugaan membakar hati-hati umat Islam. Aku tidak rela tinggal bersama-sama kalian sepanjang masa sedangkan realiti umat Islam kini telah mengoyak-rabak jiwa setiap mereka yang mempunyai hati dan akal yang waras. Benar-benar tidak bermaruah jika aku tinggal bersama-sama kalian dengan limpahan kenikmatan diangkat satu hidangan dan dituruti pula dengan hidangan yang lain (sedangkan umat Islam menderita setiap hari). Dengan ini juga aku berwasiat kepada kalian supaya berpegang teguh dengan aqidahsalafus salih (Ahli Sunnah Wal Jamaah) dan jangan kalian menuruti hawa nafsu. Aku juga berpesan dan berwasiat pada kalian supaya sentiasa membaca Al-Quran, menjaga lidah (kata-kata), qiamullail (beribadah di waktu malam), berpuasa sunat, berkawan baik dan sama-sama bekerja dalam gerakan Islam. Namun begitu ketahuilah bahawa pemimpin gerakan Islam tiada hak menghalang daripada kalian berjihad atau memujuk kalian untuk terus berdakwah yang tidak bercirikan kejantanan dan tiada hubungan dengan jihad"


Seusai mengulati sebuah novel Islamik, SYABAB MUSAFIR KASIH saya agak kagum dengan gaya jalan cerita yang cukup membanggakan. Karya kreatif. Kisah perjalanan seorang pemuda yang bernama Syabab yang menghadapi cabaran dan mehnah yang cukup hebat dalam kehidupan mengajarnya tentang erti kematangan hidup. Kesusahan hidup yang dialaminya semenjak kecil mendesaknya supaya hidup berdikari dan bersungguh-sungguh dalam mengejar impian.

Syabab seorang anak yatim, miskin, dan sering dipandang hina oleh orang lain akhirnya menjadi seorang yang cukup hebat dan berguna dalam masyarakat. Watak Syabab, semangatnya kadang-kadang naik turun menyedarkan kita tentang hakikat kehidupan ini begitu mencabar. Novel ini berlatarkan suasana bumi Malaysia dan Syria dengan gaya plot cerita yang cukup mempesonakan sehinggakan menitis air mata apabila membaca dan menghayatinya. Novel ini benar-benar meningkatkan motivasi bagi sesiapa yang membacanya.

SYABAB MUSAFIR KASIH adalah sebuah novel karangan FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN. Penulis novel TAUTAN HATI ini berjaya menampilkan mesej yang cukup berguna buat kita, beliau menyedarkan kita tentang hidup ini adalah untuk 'memberi' dan 'menyumbang' kepada orang lain bukan sekadar untuk diri sendiri.

Syabab,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan berbuah kematangan,

Wahai Syabab...
Ketekunanmu mengoborkan citi-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta gelombang,
Ayuh, SYABAB!

* Novel TAUTAN HATI dan juga SYABAB MUSAFIR KASIH benar-benar menyuntik semangat. Kedua-dua novel ini benar-benar terkesan dalam jiwa saya. Moga-moga Allah jua senantiasa memberikan semangat yang tinggi kepada saya dan kawan-kawan dalam menegakkan Islam.



FUTUR

Kadangku merasa bimbang
Berada di dunia yang lapang ini
Sampai kapan aku berjuang
Di jalan dakwah panjang

Takutku akan semua
Semua yang takkan berlanjut lagi
Hanya karna memikirkan
Nafsu dunia yang fana

Rasa futurku menghalangiku
Menempuh semua perjalanan imanku
Akupun ingat semua teman-temanku
Yang masih coba membimbingku

~Fatih Acapella~

Sumber Sinopsis : Telaga Biru

Tajuk Buku :
Tautan Hati

Pengarang :
Fatimah Syarha Mohd. Noordin

Harga :
RM 29.90 (Semenanjung)
RM 39.90 (Sabah & Sarawak)

Asiah Yusra, namanya seindah peribadinya. Dirinya begitu istimewa terutama di kalangan rakan-rakannya yang begitu memerlukan madu dakwah untuk disajikan sebagai manisan kehidupan mereka.

Pelbagai langkah dakwah yang diatur pada awalnya sentiasa dilanggar badai yang sengaja dihembus iblis sebagai penghalang usaha murninya. Namun, halangan-halangan tersebut dipandang Asiah Yusra sebagai cabaran kecil yang telah ditentukan Allah s.w.t. sebagai bukti betapa Allah s.w.t. mengurniakan cabaran tersebut hanya kepada hamba-Nya yang dikasihi.

Berputus asa seakan-akan tidak wujud dalam kamus hidupnya. Begitulah tingginya tahap keimanan serta kecekalan gadis dari Taman Islam ini. Lagaknya seakan-akan pahlawan silam terunggul Solahuddin Al-Ayyubi. Imtisal, Hana, Laiyyinul Harir, Muslimah (Christine), Wildan dan Aisya Bazella ditaklukinya dengan senjata halaqoh beserta keikhlsan yang menggunung dengan harapan sahabat-sahabatnya itu dapat bergerak seiring dengannya ke jalan yang diredhai.

Setiap dari mereka mempunyai masalah yang tersendiri. Imtisal dengan tragedi keluarga yang tak berkesudahan, Hana pula merupakan mangsa keadaan apabila dijodohkan dengan pemuda yang bukan menjadi pilihan hatinya manakala Layyinul Harrir pula hanyut dalam arus percintaan sesama insan yang tidak menjanjikan sebarang kebaikan yang hakiki.

Wildan (adik Imtisal) pula merupakan anak gadis yang sering memberontak dek kerana latar belakang keluarganya yang porak peranda manakala Muslimah (Christine) dengan pegangan Kristian yang menebal dan sentiasa menyampaikan ajaran pegangannya dengan cara yang tersendiri. Aisya Bazella pula adalah anak gadis kota yang pengisian hidupnya hanyalah dipenuhi dengan maksiat dan akhirnya terkulai layu di pangkuan haiwan jantan bertopengkan manusia.

Walaupun sahabat-sahabatnya itu hadir dari latar-belakang yang berbeza dan penuh pancaroba, Asiah Yusra tidak pernah menganggap mereka sebagai satu beban yang menyusahkan. Sebaliknya, dia percaya dengan proses tarbiah yang berkesan, mereka bukan sahaja boleh diubah, tetapi juga juga berpotensi untuk menjadi penyambung usahanya dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah kepada mereka yang memerlukannya.

Ketika gigih menyebarkan dakwah, Asiah Yusra yang sentiasa mendapat sumber inspirasi dari sahabat sejatinya Elya Khadeeja, didatangi satu lagi cabaran duniawi apabila dirinya mendapat perhatian Umar al-Mujahid dan al-Banna, dua pemuda soleh yang juga berasal dari Taman Islam.

Namun, berkat keimanan yang tinggi serta kepercayaan yang menyeluruh bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang wajar dicintai, Asiah Yusra tetap meneruskan usahanya dalam bidang tarbiah di samping bertawakkal serta menyerahkan sepenuhnya kepada yang Esa agar dianugerahkan pasangan hidup yang boleh membawanya ke jalan Allah s.w.t.

Adakah usaha tarbiahnya akan berhasil? Bagaimanakah kesudahan hidupnya? Siapakah yang telah ditentukan Illahi untuk menjadi pasangan hidup Asiah Yusra? Al-Banna atau Umar al-Mujahid? Segalanya pasti terjawab sekiranya anda membaca novel sulung keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd. berjudul Tautan hati.

Novel hasil karya novelis Sayembara Novel Remaja Jubli Emas DBP 2006, Fatimah Syarha Mohd ini mengisahkan kehidupan gadis istimewa, Asiah Yusra yang sentiasa meletakkan dakwah Islamiah sebagai nadi kehidupannya. Ramai di antara rakan-rakannya yang tertarik dengan keperibadiannya yang tinggi. Keistimewaan novel ini bukan sahaja terletak pada jalan ceritanya yang menarik, tetapi juga kebolehan penulis untuk menerangkan isu-isu yang sering dipandang remeh oleh masyarakat kita seperti isu bertudung labuh, kaedah pergaulan di antara muhrim yang dituntut Islam, soal psikologi dan sebagainya. Segala penerangan tersebut telah berjaya disampaikan dengan penuh hikmah dan anda yang membacanya pasti tersenyum puas setelah selesai membaca novel ini.

Itulah Aku

My Photo
Mohd Faizzudin bin Ghazali
Kuliyah Usuluddin, Universiti Al-Azhar Cawangan Zagazig. fareast_addein@yahoo.com +20162637694
View my complete profile

Kalendar Hijrah

Komuniti



Sunnah Berjuang

Sunnah Berjuang

Satu Fikrah Satu Amal

satu fikrah

Blog Archive

Ukhwah

Komentar

Referer

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!

Kamikaze

Egypt Top Blogs Komuniti Blogger Azhari Pro-Tajdid Segar
iluvislam

Pengunjung

Free HTML Counters
visitor stats

Pengikut