Sunday, January 25, 2009

Memahami Hakikat Perjuangan

Ketika makan di Rock Chicken bersama sahabat-sahabat

“Alhamdulillah, exam dah selesai..”

Hati saya berbisik sambil menarik nafas lega, namun perasaan saya masih lagi gusar dan bimbang kerana persediaan study saya pada imtihan kali ini tidak seperti tahun sudah. Tahun ini saya diuji dengan berbagai ujian dan cubaan. Mungkin disana ada hikmahnya yang tersembunyi. Wallahu A’lam.. Saya pun tidak mengerti. Namun, terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahabat yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan kepada saya khususnya ahli bait, rakan-rakan seperjuangan, serta mereka yang memahami dan mengerti. Ya, kita bukan buat kerja Islam ini berseorangan diri, tetapi kita buat kerja-kerja Islam ini secara berjemaah. Jazakumullah, semoga kalian berada dibawah lindungan Allah SWT.

Bagi saya ujian yang dihadapi oleh saya dan rakan-rakan seperjuangan pada hari ini tersangatlah kecil jika nak dibandingkan mereka yang memimpin organisasi-organisasi yang besar seperti gerakan Islam, misalnya lihatlah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dimana seluruh kehidupannya diserahkan sebulatnya kepada Islam. Mereka memperhambakan dirinya semata-mata untuk Islam. Mereka sentiasa thabat dalam menghadapi mehnah, cubaan, fitnah dalam jalan dakwah walau begitu hebat tribulasi yang dihadapi oleh mereka. Masya-Allah, begitu hebat tokoh-tokoh ini.

Namun, secara tuntasnya kita bukanlah memimpin parti politik seperti mereka. Kita hanyalah memimpin sebuah badan persatuan kebajikan. Persatuan yang membawa dakwah, tarbiyah, thaqafah, akademik, kebajikan kepada sahabat-sahabat disekelilingi kita. Semuanya untuk melatih kita menjadi seorang mahasiswa yang berketrampilan dan pandai dalam ilmu pengurusan tanpa kita mengabaikan pelajaran yang menjadi tujuan utama kita berada di alam kampus.

Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ ڪَآفَّةً۬‌ۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٍ۬ مِّنۡہُمۡ طَآٮِٕفَةٌ۬ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (Surah At-Taubah : 122)

Intisari ayat ini menyeru kita selaku orang-orang mukmin agar menjalankan 2 tanggungjawab kita iaitu memperdalami ilmu agama dengan bersungguh-sungguh dan pulang ke masyarakat suatu hari nanti agar memberikan peringatan. Nah, kesemuanya memerlukan kepada kita supaya memperdalami ilmu agama disamping yang sama supaya melibatkan diri dengan amal jamaie dan amal ijtimaie. Tugas ini bukan diletakkan kepada mereka yang bergelar golongan agamawan sahaja, tetapi tugas ini terletak dipundak semua mereka yang mengungkapkan kalimah “LAILAHAILLAH”. Tidak kiralah apa bidang yang diceburi oleh kita sekalipun, namun tanggungjawab memberikan peringatan kepada masyarakat adalah tugas kita semua.

Us Taufiq, Us Bustamam, Us Aizat(sahabat saya semenjak dari tingkatan 1), Saya, Us Amir, Us Solihin, Us Murshid(duduk)

Pentingnya seseorang itu berada dialam kampus agar melibatkan diri dengan amal jamaie dan amal ijtimaie agar kita dapat hidup secara berjemaah dan bermasyarakat. Di dalam ini juga kita dapat mempelajari skill dakwah dan berkomunikasi sesama muslim dengan baik. Kita juga dapat mempelajari dan memahami keadaan dan waqie’ disekeliling kita. Ya, suasana yang berbagai yang kita alami pada hari ini menyebabkan kita dapat memahami dan mengerti masyarakat disekeliling kita suatu hari nanti. Kita perlu pandai menguasai suasana, bukan suasana yang menguasai kita.

Tidak semestinya mereka yang melibatkan diri dengan amal jamaie dan amal ijtimaie dikalangan mereka yang memegang jawatan dalam persatuan, ramai orang yang beranggapan sebegini… bahkan sebenarnya kepentingan melibatkan diri dengan amal jamaie dan amal ijtamie dengan kita menjadi penyokong dan pendokong. Ya! Bukan menyokong membuta tuli, tetapi atas dasar ilmu dan kefahaman kita yang jelas.

Amal ijtimaie dan amal jamaie adalah wasilah dakwah kita. Tanpanya, tarbiyah kita akan tempang. Matlamat dan hadaf kita mestilah jelas agar gerak kerja dakwah kita tidak kucar kacir. Saluran terbaik kita dalam menjalankan dakwah mestilah kita mengikatkan diri dengan jemaah, bukan kita bergerak seorang diri ataupun kita melakukan amal kebajikan semata-mata inginkan mengejar pangkat, nama, kemasyhuran, duit dan sebagainya. Mulakanlah setiap gerak kerja dan langkah kita dengan keFAHAMan dan keIKHLASan disamping semangat kita yang membara dalam tarbawi amal Islami.

Semoga usaha kita dalam melakukan amal Islami diganjarkan Tuhan dengan timbangan yang berat di padang masyhar nanti.

Sunday, January 11, 2009

Derita & Perjuangan..

Jaulah AJKT ke rumah ahli

Letih, penat, susah hati, putus asa, kecewa, sedih, tidak berhasil apa-apa…

Seringkali kita mendengar daripada mulut kawan-kawan tentang ungkapan sebegini. Sering benar…

Ungkapan biasa bagi seorang yang telah mewakafkan diri kepada perjuangan. Jangan diungkap selalu kalimah sebegini, kadang-kadang bila rakan seperjuangan mendengarnya dia akan pasti lemah, longlai, tidak berdaya, dan tidak bersemangat..

Ya, kawan-kawan adalah semangat daya juang..

Futsal Lebaran

Seseorang apabila telah mewakafkan diri kepada sesuatu perjuangan, jangan sesekali berniat untuk meloloskan diri. Berdosa. Sekali melangkah kehadapan, teruskan langkah tersebut. Usah sesekali berniat untuk melepaskan ‘ikatan’ rabitah perjuangan. Walaupun berbagai tribulasi dan mehnah terpaksa dilalui, jika kita yakin dengan apa yang kita lakukan, nescaya kebenaran dan kemenangan akan terbentang luas.

Derita kita adalah derita umat terdahulu. Mereka lebih merasai daripada apa yang kita rasa sekarang. Malah, lebih hebat dan begitu mencabar ujian yang datang.

Kepenatan kita pada hari ini bukanlah nikmatnya untuk kita, malah kepenatan yang kita alami ini adalah nikmatnya untuk generasi akan datang. Tohmahan, fitnah, kata-kata kesat, cercaan dan hinaan yang dilemparkan kepada para pendaie hari ini adalah perkara yang telah dialami oleh murabbi agung kita iaitu junjungan besar Rasulullah SAW. Masya-Allah, hebatnya dakwah Rasulullah SAW. Baginda sanggup dicerca oleh puak musyrikin Makkah.

Bukan senang kita hendak memegang ‘hati-hati’ mad’u kita. Sabar, doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal adalah ubat penenang dan benteng bagi pendaie.

Kadang-kadang bila masalah timbul, kita sering menyalahkan mad’u kita. Namun, sedarkah kita bahawa kita tidak mempunyai sebarang persiapan menghadapi mad’u kita. Dan kadang-kadang kita berlagak pandai. Ya! Kita berlagak pandai! Dimanakah thaqafah kita? Berapa banyakkah masa kita dengan kitab-kitab para alim ulama’? Bagaimanakah masa kita dengan ulama’-ulama’? Usrah? Pengajian Ilmu? Program-program tarbiyah dan thaqafah? Hanya sekelumit sahaja… Bagaimana pula hubungan kita dengan Allah? Masya-Allah, kadang-kadang amat jauh sekali hubungan kita dengan Allah…

Bersama rakan-rakan

Derita dan Perjuangan…

Firman Allah SWT :
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) , sehingga berkatalah Rasul dan orang-orangyang beriman yang ada besertanya. “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Surah Al-Baqarah ayat 214)

Sejarah menyaksikan derita perjuangan orang-orang terdahulu bermandikan darah, tohmahan, fitnah, serta banyak lagi. Ujian yang melanda adalah kaffarah untuk kita. Ianya sebagai satu ibtila’. Mehnah adalah untuk melatih kita menjadi orang yang sabar. Mehnah juga adalah culaan dan tapisan dari Tuhan untuk menunjukkan yang manakah hambaNya yang ikhlas atau berpura-pura berjuang. Mehnah juga adalah suatu jalan yang membuka kepada kita tentang kebenaran. Tanpa ujian dan mehnah bagaimana kita hendak menghadapi cabaran dan cubaan dari musuh suatu hari nanti. Kita bukan berada di alam retorik. Kita berpijak diatas tanah. Namun REALITI yang sebenar adalah menghadapi masyarakat suatu hari nanti.

Tidak bererti perjuangan kalau seandainya kita tidak pernah diuji. Fenomena yang mencelarukan dan kekusutan kefahaman bagi umat Islam juga adalah virus yang paling bahaya. Kesatuan kefahaman amat penting bagi kita, sebab itulah perpecahan umat Islam berlaku sehingga sekarang. Jaruman fitnah kuffar terhadap umat Islam mencucuk sehingga ke hari ini. Sakitnya kita rasai sehingga sekarang, hatta sesama kita pun bertelagah, bergaduh, dan ada yang sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri kerana berlainan fikrah dan bercanggah pendapat.

Sesi AJKT baru bermula menongkah cabaran

Sabarlah dengan ujian…

Ujian fitnah dan suka duka dalam perjuangan menjadikan pendaie benar-benar tabah dan sabar serta berani melalui liku-liku perjalanan dakwah ila Allah. Jangan sampai jemaah yang kita cerca pada hari ini adalah jemaah yang bertunjangkan al-Quran dan as-Sunnah. Istilah pengampu, pengecut, dayus, tidak berani berjuang, takutkan musuh sebenarnya tiada dalam kamus seorang pejuang.

Berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau kita berani musuh akan takut dengan kita. Tapi, kalau kita penakut, maka musuh sangat berani dengan kita. Ustaz Said Hawa sebut dalam kitabnya, 3 perkara yang menyebabkan orang meninggalkan medan amal Islami. Disebut jelas kepada kita, iaitu pemalas, pengecut, dan bakhil. Al-Iyazubillahiminzalik… Semoga kita tidak tergolong didalam 3 golongan yang disebut oleh Ustaz Said Hawa

Semoga kita beroleh rahmat dari Allah SWT, ittaqillah…

Fitnah itu sedang tidur, jangan dibangkitkan fitnah yang sedang tidur. Takutlah pada Allah. Semoga Allah membuka jalan yang terbaik untuk kita. Letakkanlah setiap kebaikan yang kita lakukan adalah untuk mendapat keredhaan Allah. Namun, MATLAMAT tidak menghalalkan cara kita. DAKWAH tidak menghalalkan fitnah yang kita lakukan.

Firman Allah SWT:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.
Surah Al-Hujurat ayat : 6

Wallahu A'lam..

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...