Monday, June 23, 2008

Ukhuwwah Islamiyyah

Kita bukan sahaja diajar untuk mendidik jiwa kita. Bahkan kita diajar untuk sama-sama memperingatkan rakan-rakan kita. Sahabat-sahabat di sekeliling kita umpama cermin bagi kita. Apabila kita melakukan kesilapan, merekalah yang menegur. Apabila mereka melakukan kesilapan, kitalah yang menegur. Begitulah ibaratnya bagi kita, saling tegur-menegur, nasihat-menasihati , tolong menolong. Ianya melambang kepada kekuatan sesebuah jemaah. Dan kita mesti akui tentang kesilapan kita, jangan pula kita cepat melenting dan marah. Kekuatan sesebuah jemaah itu memandang kepada kekuatan ukhuwwah Islamiyah. Apabila retaknya ukhuwah, maka tunggulah saat hancurnya sesebuah jemaah.

Kekuatan ukhuwwah bisa menghasilkan kekuatan dan tenaga kepada dakwah dalam menghadapi tribulasi dan mehnah perjuangan. Kita mestilah saling hormat-menghormati dan berkasih sayang antara satu sama lain demi perjuangan. Kita pula jangan meruntuhkan tembok sebuah binaan yang tersusun elok, jika kita tidak mampu untuk membinanya.

Imam Bukhari & Muslim pernah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda “ Ada tiga jenis manusia yang merasai kemanisan iman : Allah dan Rasul adalah lebih dikasihi berbanding selainnya, mengasihi seseorang hanya kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kufur sepertimana ia benci dihumbankan ke dalam api neraka ”. Umpama kita tidak akan merasai kemanisan iman tanpa merasai ukhuwwah.

Seeloknya kita bersifat berlapang dada dalam menerima sebarang teguran dan nasihat. Memang tidak dapat dinafikan, kita sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Sememangnya ia dapat melunturkan sifat keegoan yang sentiasa menghantui bagi mereka ingin berjuang untuk Islam. Namun, biarlah teguran tersebut secara hikmah dan bijaksana. Apabila kita ikhlas dalam memberikan sebarang teguran kepada orang lain, kita juga mesti bersedia untuk menerima sebarang teguran dan nasihat dari sahabat-sahabat kita.

Seringkali kita dengar daripada ceramah-ceramah dan tazkirah daripada rakan-rakan, bahawa sesungguhnya Imam Hassan Al-Banna memperjelaskan tentang tahap-tahap ukhuwah “ Serendah-rendah ukhuwah ialah berlapang dada dan paling tinggi ialah ithar ”. Demi kerana ukhuwwah, jangan kita sesekali cuai dan mengabaikan tentang rukun ini. Sekiranya kita cuai dari tahap ukhuwah yang pertama, maka tunggulah saat-saat dan bibit perpecahan dan pertelingkahan yang akan memusnahkan tali persaudaraan serta memusnahkan binaan yang tersusun indah.

~Abu Fawwaz~

1 comment:

Lonely Paul said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...