Tuesday, June 24, 2008

Bersiap Sediakah Kita?

Makam Mujahid Agung : Almarhum Tuan Guru Haji Fadhil Noor (23 Jun merupakan tarikh pemergian Almarhum, semoga Rahmat dan Kasih Sayang Allah ke atasnya)

Pesan Imam Ghazali kepada kita semua.

"Cintailah apa sahaja yang kamu sukai, jangan lupa bahawa pada suatu ketika kamu pasti terpisah, ditinggalkan atau meninggalkannnya. Berbuatlah apa sahaja yang kamu ingini, ketahuilah bahawa kamu akan menerima balasan setimpal lagi adil kelak dari Tuhanmu. Hiduplah sebagaimana semahunya, percayalah olehmu bahawa orang baik itu ialah orang yang banyak mengingatkan dirinya akan mati."

Kematian sesuatu yang pasti, apakah dunia ini telah memalingkan dan melekakan kita dari mengingati tentang kematian dan akhirat. Atau jiwa kita masih lagi dibelenggu dan diikat dengan nafsu serakah yang akan membawa kepada kehancuran diri. Kita sering lupa tentang hakikat kematian. Kita menganggap kematian itu seolah-olah ianya akan ditentukan ke atas orang lain. Wajib bagi kita sentiasa mengiltizamkan diri dengan mengingati kematian. Bayangkan dengan keadaan kita sekarang ini, layakkah untuk kita bertemu dengan Allah, jika tiba-tiba malaikat maut datang untuk menjemput kita menghadap Illahi.

Yakinkah kita, apabila ajal maut datang, kita sedang melakukan kebaikan dan ketaatan. Ikatlah jiwa kita dengan janji-janji Allah yang menguntungkan jiwa. Apabila kita menjual seluruh jiwa raga kita kepada Allah SWT. Maka, kita sudah mengikat diri kita untuk mendapat syahid dan seterusnya kita dapat pulangan yang lumayan dan indah iaitu Syurga Allah Taala.

Bertafakkurlah kita dengan perkara ghaib dan kematian. Sedarilah matlamat kita dijadikan oleh Allah Taala. Apakah kehidupan ini hanya untuk kita makan, minum, tidur, mencari kesenangan, bermewah-mewahan, dan sebagainya. Jika itulah semata-mata untuk kita hidup di muka bumi ini. Maka samalah kita dengan haiwan-haiwan yang diciptakan oleh Allah SWT diluar sana. Apakah kita sama dengan haiwan diluar sana. Pastinya tidak! Yang membezakan kita dengan haiwan, adalah dengan kita menganggap semua amalan harian kita sebagai ibadah tidak kiralah samada makan, minum, tidur dan sebagainya. Semuanya adalah ibadah.

Namun kita mesti tahu matlamat sebenar dan utama kita dijadikan oleh Allah SWT. Kita mesti menunaikan hak-hak sebagai seorang hamba kepada Pencipta. Apakah kita pada hari ini, sudah menunaikan segala tanggungjawab dan amanah Allah SWT kepada kita. Kita selaku khalifah hendaklah memelihara agama dan mentadbir dunia dengan agama. Apakah hak ini sudah kita tunaikan. Tepuklah dada tanyalah iman. Kerana kita lebih mengetahui diri kita dari orang lain.

Mati Mati Mati !!!

Kita akan mati, itulah yang pastinya. Bersiap sediakah kita menghadapinya. Memadaikah amalan kita sekarang, yang tidak seberapa ini sebagai bekalan untuk menghadap Tuhan. Semoga dengan muhasabah untuk diriku ini dapat menyedarkan saya tentang kematian.

~Al-Faqir Ila Allah ~ Abu Fawwaz~

Monday, June 23, 2008

Ukhuwwah Islamiyyah

Kita bukan sahaja diajar untuk mendidik jiwa kita. Bahkan kita diajar untuk sama-sama memperingatkan rakan-rakan kita. Sahabat-sahabat di sekeliling kita umpama cermin bagi kita. Apabila kita melakukan kesilapan, merekalah yang menegur. Apabila mereka melakukan kesilapan, kitalah yang menegur. Begitulah ibaratnya bagi kita, saling tegur-menegur, nasihat-menasihati , tolong menolong. Ianya melambang kepada kekuatan sesebuah jemaah. Dan kita mesti akui tentang kesilapan kita, jangan pula kita cepat melenting dan marah. Kekuatan sesebuah jemaah itu memandang kepada kekuatan ukhuwwah Islamiyah. Apabila retaknya ukhuwah, maka tunggulah saat hancurnya sesebuah jemaah.

Kekuatan ukhuwwah bisa menghasilkan kekuatan dan tenaga kepada dakwah dalam menghadapi tribulasi dan mehnah perjuangan. Kita mestilah saling hormat-menghormati dan berkasih sayang antara satu sama lain demi perjuangan. Kita pula jangan meruntuhkan tembok sebuah binaan yang tersusun elok, jika kita tidak mampu untuk membinanya.

Imam Bukhari & Muslim pernah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda “ Ada tiga jenis manusia yang merasai kemanisan iman : Allah dan Rasul adalah lebih dikasihi berbanding selainnya, mengasihi seseorang hanya kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kufur sepertimana ia benci dihumbankan ke dalam api neraka ”. Umpama kita tidak akan merasai kemanisan iman tanpa merasai ukhuwwah.

Seeloknya kita bersifat berlapang dada dalam menerima sebarang teguran dan nasihat. Memang tidak dapat dinafikan, kita sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Sememangnya ia dapat melunturkan sifat keegoan yang sentiasa menghantui bagi mereka ingin berjuang untuk Islam. Namun, biarlah teguran tersebut secara hikmah dan bijaksana. Apabila kita ikhlas dalam memberikan sebarang teguran kepada orang lain, kita juga mesti bersedia untuk menerima sebarang teguran dan nasihat dari sahabat-sahabat kita.

Seringkali kita dengar daripada ceramah-ceramah dan tazkirah daripada rakan-rakan, bahawa sesungguhnya Imam Hassan Al-Banna memperjelaskan tentang tahap-tahap ukhuwah “ Serendah-rendah ukhuwah ialah berlapang dada dan paling tinggi ialah ithar ”. Demi kerana ukhuwwah, jangan kita sesekali cuai dan mengabaikan tentang rukun ini. Sekiranya kita cuai dari tahap ukhuwah yang pertama, maka tunggulah saat-saat dan bibit perpecahan dan pertelingkahan yang akan memusnahkan tali persaudaraan serta memusnahkan binaan yang tersusun indah.

~Abu Fawwaz~

Monday, June 09, 2008

Ehem.. Dah Habis Imtihan?

Imtihan usai sahaja berlalu, dalam tempoh 3 minggu lebih ini berbagai ragam dan ‘aksi’ yang dapat kita saksikan samada di rumah mahupun di kuliah. Jika dirakam ‘aksi-aksi’ tersebut, pastinya kelihatan melucukan dan mencuit hati (hehe). Walau apa pun, saya serahkan segala-galanya kepada Allah untuk menentukan keputusan imtihan yang akan keluar tidak lama lagi. Saya akan pasrah menerimanya walau apa jua keputusan yang akan dihadapi. Pastinya perasaan ini berdebar-debar.

Imtihan adalah medan sebenar. Masing-masing mengejar kejayaan dan menuntut kepada “kemenangan”. Saban waktu, kita berhempas pulas dan sanggup berkorban demi mengejar sebuah cita-cita. Bukan sahaja untuk diri, keluarga dan masyarakat. Bahkan demi untuk Islam itu sendiri. Seringkali kita terdengar, “kejayaan kita adalah kejayaan untuk Islam”. Mengapakah ada ungkapan seumpama ini. Manakan tidaknya, apabila berjayanya kita disini, iaitu di medan “tholibul ilm”. Maka ummah disana akan menunggu-nunggu kepulangan kita. Kehadiran kita dalam masyarakat bukan sahaja untuk menyelesaikan permasalahan seputar hukum hakam yang berlaku disekitar masyarakat. Namun, kehadiran kita adalah untuk membawa satu perubahan yang segar. Perubahan untuk memudahkan masyarakat dan menerima tuntutan Islam yang sebenar.

Berilmu sahaja tidak mencukupi, ia perlu disempurnakan dengan proses kefahaman yang jitu. Kefahaman adalah salah satu faktor penting sehingga mengunggulkan Nabi Allah Daud dan Sulaiman berdasarkan kepada faktor kefahaman sekalipun kedua-duanya dianugerahkan kebijaksanaan dan ilmu. Ramai orang dikurniakan ilmu oleh Allah SWT. Mereka hebat memperkatakan tentang hukum Islam, namun masih lagi memperjuangkan sekularisasi, liberalisasi, pemikiran-pemikiran yang sesat dan sebagainya yang dibawa oleh barat. Ada juga mereka yang dikurniakan ilmu, tetapi masih lagi dangkal dalam membuat andaian dan memberikan hukum yang mengikut hawa nafsu semata-mata. Bahkan juga, sikap suka membidaahkan amalan orang lain dan melampau-lampau dalam urusan agama menjadi ummah hari ini sudah “letih” dan kian lemah. Oh, apakah sudah jadi dengan ummat hari ini. Dimanakah kita??

Amanah ilmu yang dikurniakan kepada kita, mesti dijagainya dengan baik. Bahkan mesti dibajai dengan kefahaman yang mendalam serta dipraktikkan dengan amalan. Sesungguhnya amalan tersebut merupakan buah kepada ilmu. Begitu juga dengan akhlak, bagaimanakah akhlak kita sebagai seorang penuntut ilmu. Semestinya, apabila kita sudah diberikan “kepandaian” oleh Allah SWT, menjadi satu kewajipan untuk kita bertawadduk (bukan buat-buat tawaduk) dan merasa rendah diri dengan ilmu tersebut. Bukannya mendabik dada dengan ilmu tersebut sehingga sanggup mencerca dan ada yang cuba untuk merendahkan martabat para alim ulama’ yang lain. Namun, inilah realiti yang berlaku di dalam masyarakat diluar sana. Lebih menyedihkan lagi, ada dikalangan kita yang baru sahaja hendak mengenali ilmu-ilmu yang ada didalam Al-Quran dan Hadis, namun sudah pandai untuk tunjuk lagak dan buat-buat pandai bahawa kitalah yang mahir dan hebat dalam ilmu tersebut sehingga sanggup untuk memperlekehkan amalan orang lain dan mencerca para alim ulama’. Apakah kalian ini tidak letih mengungkapkan kalimah syirik, bidaah, sesat, kufur kepada orang lain. Mungkin, suasana ini kita tidak jumpa dalam masyarakat Al-Azhar, namun saya banyak melayari forum-forum di internet. Dan inilah situasi yang berlaku sehingga ada yang sanggup berbalah dan bermati-matian mempertahankan pendapat sendiri walaupun ianya tidak betul dan salah.

Beramanahlah kita dalam berilmu, peliharalah ukhwah. Jangan sibuk memanjang dan berjela-jela membincangkan isu-isu seperti ini. Berdebat sana sini, tapi sembahyang jemaah di masjid pun tidak dijaga, walaupun kita sebagai manusia sering culas sembahyang berjemaah di masjid, tetapi berusahalah kearah itu (peringatan untuk diriku juga). Ingatlah tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu, tugas kita sangatlah besar dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran ini. Dan yang paling penting, buat dan lakukanlah apa yang kita perkatakan kepada orang lain. Yang pastinya, masyarakat diluar sana sangat memerlukan insan-insan dan para pendaie yang benar-benar ikhlas untuk terjun ke medan yang sebenar.

Wallahu Ta’ala A’lam Bissowab

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...