Wednesday, May 27, 2009

Seseorang Itu Bersama-Sama Orang Yang Mereka Cintai


Soalan : Saya tidak berkesempatan untuk bertemu dengan orang yang saya cintai semasa di dunia. Adakah saya berpeluang untuk bertemu mereka ketika di akhirat?

Jawapan : Sesungguhnya seseorang itu bersama orang yang mereka cintai. Seorang sahabat melihat Rasulullah SAW, lalu menangis. Baginda bersabda yang bermaksud “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” Sahabat itu menjawab, “Aku sedang berfikir, ketika di dunia kami bersama-sama denganmu tetapi apabila aku mengenangkan kehidupanku di akhirat kelak, kamu berada di kedudukan yang tinggi disisi Allah SWT dan kami berada di kedudukan yang lain.”

Maka turunlah ayat yang bermaksud, “Mereka itu akan bersama-sama orang-orang yang dianugerahkan nikmat oleh Allah iaitu nabi-nabi dan para siddiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang saleh dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (An-Nisa’ : 69)

Maka seseorang itu bersama-sama orang yang mereka cintai…


Fatwa : Syeikh Muhammad Mutawalli As-Sya’rawi
Sumber : Kitab Al-Fatawa Kullu Ma Yuhimmu Al-Muslim Fi Hayatihi Yaumihi Wa Ghaddihi

Monday, May 18, 2009

Selamat Hari Guru!!

Warga pendidikku di Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, Kuantan

Warga pendidikku di Kuliyyah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan

SELAMAT HARI GURU

Semoga Allah membalas jasa kalian.. Terima kasih segalanya..

LILIN SEORANG GURU

Pernah langkah ku payah
Menuju ke destinasi
Kerana malam gelap
Dan bintang hilang kerdipnya
Menjadikan arah ku keliru
Ke timur atau ke barat

Bagai lilin membakar diri
Menerangi kegelapan hati
Kau curahkan bakti dan budi
Jasamu tiada berganti

Namun tanpa rasa payah
Dia memimpin tanganku
Melangkah satu persatu
Dan mencipta jejak impian
Menjadikan arahku jelas
Aku harus ke hadapan

Ohoo… aku kini rindu
Pada satu nama yang berjasa
Tuhan, beri kekuatan
Untuk mendidikku selamanya
Ku pohon restu kasih-Mu
Ampunkanlah guru-guruku

Semalam ku lihat dia
Di bibirnya ada kalimah
Yang bergetar saban waktu
Sambil tangan menggenggam lilin
Lilin yang tiada terpadam
Menerangi hidupku kini

Wednesday, May 13, 2009

Gegakkan Gema Doa Wehdah




لا إله إلاّ الله
إلهاً واحداً و نحن له مسلمون

لا إله إلاّ الله
و لا نعبد إلاّ إيّاه
مخلصين له الدين
و لو كره المشركون


لا إله إلاّ الله
ربّنا و ربّ آبائنا الأوّلين

لا إله إلاّ الله
وحده وحده وحده
أنجز وعده
ونصر عبده
وأعزّ جنده
وهزم الأحزاب وحده

فله المُلكُ و لهُ الحمد
يحيي و يميت
و يميت و يحيي
و هو حيٌّ لا يموت

بيده الخير
و هو على كلّ شيءٍ قدير

الله أكـــبر

Tiada Tuhan yang disembah selain ALlah
Tuhan yang Maha Esa
dan kami berserah kepadaNya
Tiada Tuhan yang disembah selainNya
kami tidak menyerah selain kepadaNya
kami mengikhlaskan tunduk kepada Nya
walaupun dibenci oleh org musyrik
Tiada Tuhan selain Allah
Tuhan kami dan Tuhan nenek moyang kami
yang terdahulu

Tiada Tuhan yang disembah selain Allah
Tuhan yang Esa,Tuhan yang Esa,Tuhan yang Esa
Dia telah menunaikan janjiNya
Dia telah memenangkan hambaNya
Dia telah memuliakan tenteraNya
dan Dia telah mengalahkan musuhNya berseorangan

Bagi ALlah segala kerajaan,bagi segala pujian
Dia yang menghidupkan dan mematikan
Dia yang mematikan dan menghidupkan
sedangkan Dia Maha Hidup dan tidak mati
Dalam segala kekuasaan dan kebajikan
dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu
ALlah Maha Besar

Tuesday, May 12, 2009

Mak, Selamat Hari Ibu!! Bah, Selamat Hari Lahir Ke-52!!

Siapa tahu disebalik wajah ini, tersimpan sejuta ketabahan dan kesabaran...

TANPA
ibu bapa, siapalah kita di dunia ini. Selaku sebagai seorang anak, wajib kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang anak. Ketahuilah sewaktu kita kecil dahulu, merekalah yang membela, mengasuh, mendidik, dan bersusah payah menjaga kita sehingga kita menjadi orang yang berguna dan pandai.

Sayugianya, bila kita sudah dewasa wajib bagi kita pula menjaga mereka. Inilah tugas dan kewajipan sebagai seorang anak. Janganlah pula kita selaku anak bersikap sombong dan derhaka kepada ibu bapa bila kita sudah dewasa, kelak meranalah hidup kita. Tiada keberkatan dalam hidup.

Sementara mereka berdua masih hidup, hargailah dan sayangilah mereka. Kenangilah jasa dan pengorbanan ayah dan ibu.

Akhir-akhir ini, terlalu banyak peristiwa dan berita yang cukup menggusarkan hati saya.

Pertama, sahabat baik saya di sekolah dahulu..iaitu.. Mohd Aizad Yahya.. memang saya cukup rapat dengan keluarganya. Ketika di zaman sekolah dulu dan sebelum berangkat saya ke Mesir pun, saya sering ziarah dan bertandang ke rumahnya di Felda Panching Utara. Dan sebelum berangkatnya saya ke Mesir, keluarganya sempat terutama ayah dan ibunya ziarah saya di rumah dan menghantar saya di Lapangan Terbang Kuantan. Memang, mereka cukup baik hatta melayan saya seperti anak-anak mereka. Mereka sangat memuliakan tetamu. Baru-baru ini, saya diberitakan dengan berita yang cukup menyedihkan. Ayahnya terlibat dengan kemalangan, dan Tuhan lebih terlebih dahulu menjemputnya pergi menghadapNya.

Memang agak sukar untuk saya menerimanya, agak terkejut bila diberitakan dengan pemergian arwah pakcik. Namun, kita sebagai manusia kena menerima qadha dan qadhar Tuhan dengan hati yang redha. Teringat saya ketika mana, saya menziarahi keluarganya, arwah pakcik beria-ria sangat membeli buah durian, layanan kepada saya bagaikan seorang ayah kepada anak. Bukan sahaja itu, kadang-kadang arwah juga sanggup memberikan wang saku sebagai wang belanja.

Kedua, peristiwa yang ingin saya kongsikan adalah seorang sahabat saya juga, Tajuddin Mat Zin. Sahabat ketika di KIBA (Kursus Intensif Bahasa Arab) dan di Mesir. Beliau takharruj di Ma’had Al-Azhar, Syoubra. Dan sudah pulang ke Malaysia beberapa bulan lepas, bayangkanlah baru sahaja hendak bersama-sama dengan ibu dan ayah tercinta… Allah dah uji dengan ujian yang sangat berat. Kedua-dua ibu dan ayah beliau terlibat dengan kemalangan. Lebih sadis lagi, kemalangan tersebut benar-benar berlaku di hadapan matanya.

Ketiga, peristiwa yang baru sahaja berlaku. Salah seorang sahabat saya juga, Faizal Abd Rahman berasal daripada Johor. Beliau berada di tahun akhir Usuluddin Syu’bah Tafsir, Al-Azhar. Jika di tahun akhir, pastinya jiwa berkobar-kobar dan bersemangat hendak pulang ke Malaysia. Namun, Allah memang hendak menguji ketabahan hambaNya. Apabila Allah hendak menguji hambaNya pasti Allah akan menarik salah satu nikmat daripada hambaNya. Allah lebih menyayangi ayahnya. Ayahanda tercintanya meninggal dunia akibat demam panas.

Semoga Allah merahmati dan menempatkan roh-roh mereka di tempat golongan orang-orang soleh.

Peristiwa diatas benar-benar menyentak jiwa saya yang masih mempunyai ibu bapa… Pesan saya kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah mereka selalu. Janganlah sesekali menyinggung dan menyakiti perasaan mereka. Berbaktilah kepada mereka selagi mana mereka masih hidup.

Teringat saya di zaman sekolah dulu, setiap kali baru lepas cuti dan ingin pulang ke asrama. Saya akan cium dahi mak dan ayah saya setiap kali berpisah. Tetapi, kali terakhir saya cium dahi mereka adalah 4 tahun yang lalu di airport Kuantan. Namun saya merindui untuk mencium dahi mereka. Dahi merekalah merupakan berkat bagi saya dapat belajar di bumi Anbiya’ ini. Terima kasih abah dan mak..

Mak abah…

Doakan anakmu disini berjaya di dalam setiap lapangan kehidupan, yang pastinya anakanda disini sangat merindui untuk menatap wajah kalian bedua. Hampir 5 tahun kita tak bersua dan bertemu. Jika diizinkan Tuhan, kita pasti akan bertemu suatu hari nanti. Cuma waktu dan ketika sahaja yang menentukannya. Selamat hari IBU emak (10 Mei 2005-hari-hari adalah hari hari ibu)… Selamat hari lahir ABAH yang ke-52 (12 Mei 2009)…

“Ya Allah, kau panjangkanlah usia kedua ibu bapaku, agar aku masih dapat lagi menatap wajah mereka, berkatilah usianya dan rahmatilah kehidupan mereka di dunia dan di akhirat..Amin ya rabbal a’lamin”

Nasihat Buat Yang Kalah Wasiat Buat Yang Menang - Tuan Ibrahim Tuan Man

Nasihat bermakna oleh al-Fadhil Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man buat seluruh pejuang Islam, warkah Tuan Guru saya copy dari blog Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi (klik blog beliau pada namanya). Semoga Allah merahmati Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man.

SUKA DUKA MAT


(Mesyuarat Agung Tahunan) Mesyuarat Agung Kawasan dan Dewan-Dewan baru berlalu, kini seluruh tumpuan dihalakan kepada pemilihan dalam muktamar PAS Pusat. Pelbagai cerita suka duka, tawa dan tangis didengar dalam keriuhan suasana mesra jamaah.

Itulah keindahan perjuangan Islam. Kita membina ukhuwah Islamiah dalam jamaah mengatasi kepentingan peribadi. Kemanisan perjuangan ini tentulah tidak lahir secara spontan, Bahkan ianya lahir melalui tarbiyah samada secara formal atau informal.

Semua kita sangat sayangkan suasana ukhuwwah ini, kerana kita yang bersama dalam perjuangan di dunia mengharapkan agar Allah mengumpulkan kita dalam majlis yang diredhaiNya diakhirat.

HAKIKAT PENCALONAN

Kita menyedari bahawa kita bukanlah insan terbaik dalam jamaah, kita bukanlah ahli yang hebat dengan keilmuan sehingga mampu menerangi cahaya bagi menyuluh jalan agar Allah redha kepada kita, kita bukanlah ahli ibadah yang hebat, mampu menangis di hadapan Allah setiap malam dikala manusia lain sedang nyenyak tidur, dan kita juga bukanlah pemimpin terbaik.

Kita hanya menawar diri itupun setelah ada orang lain mencalonkan kita; terkadang kita malu dengan pencalonan itu, kerana kita mengetahui kelemahan diri kita, namun apa daya kerana kita tidak mampu menjawab hisaban di akhirat bilamana mengecewakan harapan jamaah.

Lantaran ianya hanya tawaran diri, tentulah kita tidak akan kecewa bilamana kita tidak dipilih. Apa yang nak ditangisi dan disesali diri, kalau ianya adalah satu keringanan hisaban di akhirat ?

Apa yang nak dikecewakan bilamana ahli tidak memilih kita, kerana apa yang berlaku dengan kehendak Allah semuanya, tangannya hanya memilih apa yang telah digerakkan hatinya oleh Allah?

Ingatlah, andainya kita tahu betapa gembiranya nanti bilamana kita dihadapkan di hadapan Allah, tentulah kita tidak sedih, kecewa dan apatah lagi menyimpan dendam pada yang tidak memilih kita, bahkan ucaplah terima kasih kerana meringankan bebanan diakhirat, sedangkan bebanan dosa diri sendiripun kita dah tak mampu untuk menjawabnya. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang banyak ini. Andainya kita rasa sedih di atas kekalahan kita, cuba tanya:

apakah ianya lahir dari rasa hebat kita berbanding orang lain?

atau lekeh sangatkah orang yang berjaya bilamana ramai perwakilan memilih mereka?

Aku sangat khuatir andainya ia lahir dari bisikan syaitan agar rasa kecewa, merajuk kemudian menyepi diri dari jamaah dan akhirnya gugur dari medan dakwah. Kerana inilah matlamat syaitan dan inilah yang menggembirakan musuh, dan inilah juga yang mengecewakan kita di akhirat.

PERJUANGAN DAN BEKALAN

Ketewasan dalam merebut jawatan dalam parti, bukanlah berakhirnya sumbangan kepada kemenangan Islam dan lebih-lebih lagi bilamana kita rasa bahawa jamaah akan susah dengan ketiadaan kita. Perjuangan Islam terus berjalan, dan usia kita semakin hampir. Apa rasa andainya kita yang telah menghabiskan usia dalam perjuangan yang sangat panjang, tiba-tiba berakhir dengan kita tiada dalam kelompok yang memperjuangkan Islam.

Aku sangat bimbang akan diriku dalam hal ini. Semoga Allah lindung kita bersama. Lantaran itu, teruskan perjuangan, kerana usia kita semakin hampir bertemu Allah, sedangkan perjuangan ini masih jauh. Inilah nasihat kepada yang ditipu oleh nafsu dan pujukan syaitan yang merasa kecewa dengan pemilihan yang kecil di dunia, agar kita tidak tewas dalam ‘pemilhan’ yang besar di hadapan Allah di akhirat.

WASIAT KEPADA YANG BERJAYA

Andainya kita tahu apa yang menanti kita di akhirat, tentulah kemenangan akan disambut dengan tangisan dan dukacita, kerana itulah wasiat Rasulullah, "Sesungguhnya jawatan ini adalah amanah, dan ianya diakhirat adalah dukacita dan penyesalan”. Kalaulah tidak kerana perjuangan Islam yang dijanjikan kemenangan di akhirat, tentulah tiada siapa yang teringin akan jawatan ini.

Kepada yang berjaya memenangi apa jua jawatan, berbanggalah di hadapan Allah andainya kita dapat melaksanakan amanah, mengangkat martabat Islam , memperjuangkan syariat Allah dan berada dihadapan di dunia untuk terus dipilih oleh Allah agar terus berada di hadapan di akhirat. Ingatlah “ debu-debu yang melekat di kaki mereka yang memperjuangkan Islam, menyebabkan ia tidak akan disentuh oleh api neraka di akhirat”.

Allahumma masukkan kami dalam kelompok tersebut. Keindahan perjuangan Islam lahir dari dokongan semua pihak, perjuangan tidak akan bertemu dengan kerehatan dan keselesaan. Perjuangan adalah pengorbanan untuk Allah dan Rasul. Mencari redha Allah bukanlah dapat dicapai dengan merasa hebat dengan jawatan yang disandang dan juga bukanlah merasakan akulah yang layak, berbanding orang lain.

Perjuangan bagi mendaulatkan Islam tidak akan berhasil andainya kita yang memegang jawatan ini jauh dari Allah, merasa kagum dengan kebolehan diri dan merasakan bahawa apa yang kita capai hasil kebijaksanaan kita dan kitalah penentu kepada kemenagan ini. Lantaran itu, kita dikuasai oleh nafsu merasa kehebatan diri sendiri dan memandang lekeh kepada orang lain.

Pimpinan yang berjaya bukanlah mengumpulkan manusia yang hebat sekelilingnya dan merasakann dirinyalah yang hebat dikalangan yang hebat, tetapi pemimpin hebat ialah yang menghargai semua sumbangan, membaiki yang rosak, rawat yang terluka, memberi harapan bagi yang kecewa, agar semuanya terus memberi sumbangan kepada perjuangan ini.

Jazakallah

Monday, May 11, 2009

Syair Imam Syafie' Sebelum Beliau Meninggal Dunia

Semoga kita menjadi sepertinya.. Amin...

DIKISAHKAN syair ini ketika Imam Muzani menziarahi Imam Syafie yang sedang ketika itu beliau sedang sakit tenat, yang tidak lama kemudian beliau menghembus nafasnya yang terakhir ditempat Imam Muzani menziarahinya itu.

Sewaktu Imam Muzani bertanyakan khabar mengenai kesihatan Imam Syafie, lantas Imam Syafie terus menangis dan bersyair. Syair ini begitu syahdu dan meruntun hati bagi sesiapa yang mendengar. Sedangkan Imam Syafie seorang imam besar boleh mengeluh dan risau keadaanya di akhirat nanti, bagaimana pula dengan kita?

Renungankan bersama...


إلـيــك إلـــه الـخـلـق أرفــــع رغـبـتــي
Kupersembahkan (rintihan) kepadaMu Tuhan sekalian makhluk akan harapanku

وإن كـنـتُ يــا ذا الـمــن والـجــود مـجـرمـا
Sekalipun aku seorang yang berdosa wahai yang Maha Pemberi dan Maha Pemurah

ولـمــا قـســا قـلـبـي وضـاقــت مـذاهـبــي

Bilamana keras hatiku dan terasa sempit perjalananku

جـعـلـت الـرجــا مـنــي لـعـفـوك سـلـمــا

Kujadikan rayuan (rintihan) daripadaku sebagai jalan untuk mengharapkan keampunanMu

فـمـا زلــتَ ذا عـفـو عــن الـذنـب لــم تـزل
Bilamana Engkau yang memiliki keampunan menghapuskan dosa yang berterusan ini

تــجــود و تـعــفــو مــنـــة وتـكــرمــا
KurniaanMu dan keampunanMu adalah merupakan rahmat dan kemuliaan

ألــســت الــــذي غـذيـتـنـي وهـديـتـنــي

Bukankah Engkau yang memberi aku makan serta hidayah kepadaku

ولا زلــــت مـنـانــا عــلـــيّ ومـنـعـمــا
Dan janganlah Engkau hapuskan kurniaan anugerah dan ni'mat itu kepadaku (walaupun aku seorang yang sentiasa berdosa)

عـسـى مــن لــه الإحـســان يـغـفـر زلـتــي
Semoga orang yang memiliki ihsan mengampunkan kesalahanku

ويـسـتــر أوزاري ومــــا قــــد تـقــدمــا
Dan menutup dosa-dosaku serta setiap perkara yang telah lalu

فــإن تـعـف عـنــي تـعــف عـــن مـتـمـرد
Sekiranya Engkau ampunkan aku, ampunkan dari kederhakaan

ظــلــوم غــشــوم لا يــزايـــل مـأتــمــا
kezaliman, penganiayaan yang tak akan terhapus di hari berhimpun kesedihan

و إن تنـتـقـم مــنــي فـلـســت بــآيــس
Namun jika Engkau membalas siksa terhadapku, aku tidak akan berputus asa

ولـــو أدخـلــوا نـفـسـي بـجــرم جـهـنـمـا
Sekalipun dosa-dosaku itu akan memasukkan diriku ke dalam neraka

فصيـحـا إذا مــا كــان فـــي ذكـــر ربـــه
Dia adalah seorang yang fasih ketika menyebut/mengingati Rabbnya

وفيما سواه في الورى كان أعجما
Dan bilamana dia bersama selain tuhannya di dunia ini dia membisu

يـقــول: حبـيـبـي أنـــت سـؤلــي وبغـيـتـي
Dia (Rasulullah SAW) berkata: Kekasihku, Engkaulah tempatku meminta dan berharap

كـفــى بـــك للـراجـيـن ســـؤلا ومـغـنـمـا
Cukuplah Engkau bagi yang berharap sebagai tempat bergantung dan memohon

أصـــــون ودادي أن يـدنــســه الـــهـــوى
Ku pelihara kasihku yang dicemari nafsu

وأحــفــظ عــهــد الــحـــب أن يـتـثـلـمـا
Dan ku jaga janji kasih yang telah tercalar

فـفـي يقظـتـي شــوق وفــي غـفـوتـي مـنــى
Di saat ku jaga, aku rindu, dan di saat ku lelap aku berharap

تــلاحــق خــطــوي نــشــوة وتـرنــمــا

Mengiringi langkahku dengan penuh semangat dan berulang

فـجـرمـي عـظـيـم مـــن قـديــم وحــــادث

Sesungguhnya dosaku adalah besar sejak dulu dan kini

وعـفــوك يـأتــي الـعـبـد أعـلــى وأجـسـمـا
Namun (ku tahu) keampunanmu yang mendatangi hamba adalah lebih besar (agung) dan lebih mulia

Saturday, May 09, 2009

Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man : Surat Untuk Menteri Agama


ARTIKEL ini saya copy dari sahabat seperjuangan saya yang belajar di Acheh iaitu Saudara Fadhlullah Ismail (klik pada nama untuk melayari blognya)

Sanad
surat ini juga bersambung dari Sdr.Basiron Abdul Wahab (wartawan Harakah Pahang) (klik pada nama untuk melayari blognya)

Baca dan hayatilah buat semua para pejuang yang terdetik di hatinya untuk meng"islah" atau mencuci UMNO dari dalam.


Berikut adalah surat terbuka daripada Al-Fadhil Ust Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man ( Pesuhjaya PAS Negeri Pahang / Ajk Pas Pusat ) yang disampaikan kepada sahabat lamanya dikampus dahulu iaitu Mej. Jenderal. (B) Jamil Khair Baharom yang kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Menteri Agama ) didalam Kabinet Dato’ Seri Najib Tun Razak :

SURAT TERBUKA BUAT JAMIL KHAIR BAHAROM.

Assalamualaikum wrh wbt.

Kepada sahabat lama Jamil Khair Baharom,

Semoga Allah memberkati mu, walau lama kita tak bersua. Semoga Allah melimpah belas kasihannya ke atasmu.

Terlebih dahulu Aku merakamkan ucapan takziah di atas bebanan yang sedang engkau pikul, kerana engkau tidak lebih baik dari Imam Ahmad yang menolak perlantikan sebagai Mufti, kerana itu bermakna ia meredai kezaliman khalifah. Tetapi engkau juga tidak sekejam Hajjah bin Yusuf al-Thaqafi yang bertindak membelakangkan hukum Allah bagi menunjukkan kekuasaan yang ada.

Tetapi jauh lebih membimbangkan aku terhadapmu ialah engkau akan ‘terpaksa’ menentang Jamaah Islam, engkau akan menentang Parti Islam. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik, tetapi aku lebih bimbang bilamana kamu menganggap UMNO lebih baik. Engkau akan terpaksa meredai kemungkaran yang diizinkan pemerentah dan membenarkan kezaliman ISA dan lainnya. Aku tahu engkau tidak kuat menahan kemurkaan Allah di akhirat seandainya Ia murka. Aku memohon perlindungan dariNya untuk aku dan kamu.

Lantaran itu, kumpullah mereka yang takutkan Allah, satulah kekuatan bagi menentang kezaliman , tegaklah makruf dan tetanglah kemungkaran dari dalaman UMNO yang kamu mampu; tetapi akhirnya kamu akan kecewa. Kerana kamu dilengkungi oleh bukan ahlinya.

Sekian, ingatan sahabat sementara hidup, kerana tiada pesanan diakhrat.

Wassalam.

Sahabat Lama;
Tuan Ibrahim Tuan Man.

Wednesday, May 06, 2009

Bersabarlah Wahai Sahabat!


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(A’li Imran -185)

KEPADA teman-teman yang membaca post kali ini, marilah sama-sama kita mensedekahkan bacaan al-Fatihah kepada ayahanda tersayang Ustaz Faizal Abd Rahman yang telah kembali ke rahmatullah semalam iaitu pada 5/5/2009 hari Selasa.

Allahyarham Abd Rahman Yadun telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi dan telah di kebumikan pada jam 10.30 pagi waktu Malaysia. Allahyarham meninggal akibat sakit demam panas. Semoga Allah mencucuri roh Allahyarham.

Semoga Ustaz Faizal tabah dan diberikan kekuatan dalam mengharungi ujian yang begitu berat sekali, lebih-lebih lagi dalam suasana imtihan seperti sekarang.

Setiap yang datang daripada Allah pasti akan kembali menemuiNya. Kita juga yang masih hidup ini pasti akan dijemput kembali menghadapNya. Samada cepat ataupun lambat sahaja. Moga-moga kita dapat mempersiapkan diri dengan amalan-amalan soleh serta amal kebaikan agar amalan yang secicip ini akan memberatkan timbangan amalan kita di padang masyhar. Mudah-mudahan dengan timbangan amalan kita akan mudah kita masuk ke Syurga dengan rahmat Allah SWT.

Al-Fatihah buat ayahanda Allahyarham Abd Rahman Yadun.

Saturday, May 02, 2009

Selamat Berjuang!


SELAMAT BERJUANG


Malam Siang Berlalu
Gerhana Kesayuan
Tiada Berkesudahan
Detik Masa Berlalu
Tiada Berhenti Oh Syahdunya

Sejenak Kuterkenang
Hakikat Perjuangan
Penuh Onak Dan Cabaran
Bersama Teman-Teman
Harungi Kehidupan Oh Indahnya

Berat Rasanya Di Dalam Jiwa
Untuk Melangkah Meninggalkan Semua
Kasih Dan Cinta Yang Terbina
Ia Akan Selamanya

Selamat Berjuang Sahabatku
Semoga Allah Berkatimu
Kenangan Indah Bersamamu
Takkan Ku Biar Ia Berlalu
Berjuanglah Hingga Ke Akhirnya
Dan Ingatlah Semua Ikrar Kita

Hati Ini Sayu Mengenangkan
Sengsara Di Dalam Perjuangan
Jiwa Ku Merana Dan Meronta Mengharapkan
Kedamaian Dan Jua Ketenangan

Tetapi Ku Akur Pada Hakikat
Suka Dan Duka Dalam Perjuangan
Perlu Ketabahan Dan Kekuatan
Keteguhan Hati Berlandaskan Iman

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...