Thursday, October 07, 2010

Pertemuan Hari Raya PMC Memberi Nafas Baru


KAHERAH, 7 Oktober - PMRAM Multimedia Centre (PMC) sedang mengumpul sukarelawan dan aktivis di kalangan mahasiswa Mesir bagi membantu gerak kerja PMC PMRAM khususnya dalam bidang teknikal.

Pengarah PMC PMRAM, Saudara Khairul Azfar Ammar turut menyuarakan rasa betapa pentingnya generasi pelapis sebagai penggerak dakwah dalam memperkasakan gerak kerja PMC PMRAM.

"PMC PMRAM telah banyak mengharumkan nama PMRAM sehingga nama PMC terkenal di Malaysia, PMC yang sudah berusia 10 tahun itu telah banyak mengukir kejayaan dalam menjayakan program-program mega PMRAM" kata Pengarah PMC ketika perjumpaan Hari Raya bersama warga PMC PMRAM di Rumah Pulau Pinang semalam.

Pertemuan itu diadakan bagi menghargai jasa warga PMC PMRAM yang telah banyak membantu PMRAM. Jasa mereka yang sanggup bersengkang mata semata-mata menjayakan program-program PMRAM dihargai.

Turut hadir, Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM Saudara Mohd Faizzudin Ghazali, beliau mengulas " Pertemuan ini tepat diadakan kerana PMC sebagai tulang belakang kepada program-program PMRAM. PMRAM sangat menghargai jasa mereka yang sanggup bertungkus lumus menjayakan program-program PMRAM"

"Kita kagum dengan pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka, ada yang tidak berkesempatan untuk makan ketika berprogram kerana asyik bekerja, ada juga yang sakit tetapi sanggup turun semata-mata menyedari kesedaran amanah yang terpundak di bahu mereka." tambah beliau.

Menyedari tentang "Ke Arah Melahirkan Aktivis Islam" dan "Pembinaan Generasi Pelapis" dalam sub tema Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010, pertemuan PMC PMRAM semalam memberikan pengisian "Kefahaman Dalam Bergerak" yang disampaikan oleh Saudara Ahmat Taufiq b Dahlan, Setiausaha Agung PMRAM dan mengadakan GKB berbentuk ta'ruf iaitu suai kenal antara ahli baru dan ahli lama.

Selain itu, diakhir pertemuan tertutup PMC PMRAM semalam mereka berkesempatan mengadakan jamuan Hari Raya bagi meraikan kejayaan PMC menempuh cabaran dalam bekerja.

Saudari Nor Akmaizan bt Yusof, Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan HEWI PMRAM mengucapkan terima kasih kepada AJK-AJK yang banyak bertungkus lumus menjayakan pertemuan semalam.

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...