Wednesday, June 08, 2011

Pasca Revolusi Timur Tengah

Wajah Menteri Pertahanan Mesir dan mereka-mereka yang telah syahid ketika Revolusi 25 Jan


Sesekali terasa rindu dengan Malaysia. Rindu dengan keluarga. Rindu dengan teman-teman yang pernah susah senang suatu ketika dahulu. Semoga Allah tenangkan hati ini.

Tetapi, yang pastinya zaman kembara ilmu ini pasti akan dirindui suatu hari nanti. Penuh kenangan yang mampu membuatkan kita akan mengukir senyuman. Kekadang akan membuatkan tergumam menyesali kesilapan yang sukar ditebus.

Alhamdulillah, diberikan peluang Allah untuk menjejakkan kaki ke bumi Mesir sejak September 2005. Kini, sudah tahun 2011. Perjalanan yang cukup jauh yang telah dilalui. Diberikan kesempatan pula untuk pulang ke Malaysia baru-baru ini dalam Ops Piramid. Suatu nikmat yang tidak pernah terfikir di benak fikiran untuk bertemu sanak saudara dalam tempoh itu.

Hasrat hati untuk pulang setelah menamatkan pelajaran disini, tetapi siapa sangka perancangan Allah itu yang terbaik. Dan itulah sebaik-baik perancangan…walaupun masa agak singkat bertemu keluarga. Alhamdulillah, dapat juga melepaskan kerinduan. Tetapi, masih lagi rasa terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan teman-teman seperjuangan dahulu. Moga-moga, dapat bertemu pada masa akan datang.

Kebangkitan Revolusi Timur Tengah


Setelah pulang semula ke bumi Mesir, sangat teruja dengan Mesir. Banyak yang berlaku perubahan di sekeliling. Perubahan mendadak ini mengejutkan. Siapa sangka sang diktator yang zalim jatuh setelah memerintah selama 30 tahun. Siapa sangka sang diktator yang zalim jatuh setelah membunuh banyak ulama dan pendakwah. Siapa sangka sang diktator yang zalim jatuh setelah bersekongkol dengan Israel dan Amerika dalam menutup sempadan Mesir-Palestin sehingga menyebabkan Gaza menjadi penjara terbesar di dunia.

Meskipun, zaman revolusi ini ada positif akan tetapi disana tetap ada negatifnya. Namun revolusi adalah proses penapisan untuk kemenangan yang lebih besar lagi.

Terasa kagum melihat semangat juang yang ada pada rakyat Mesir. Semangat mereka tegar dan pengorbanan mereka tidak mampu ditandingi. Keberanian rakyat Mesir menumbangkan rejim diktator Hosni Mubarak sangat dikagumi seluruh masyarakat dunia.

Dalam tempoh 30 tahun berada dalam kezaliman dan penindasan, cukup memberikan pengajaran kepada pemimpin-pemimpin besar dunia usah bersikap angkuh dan sombong. Kerajaan ini milik Allah SWT, bila-bila masa sahaja Allah ingin menghina dan memuliakan sesebuah kerajaan itu.

Kebangkitan kuasa baru di Timur Tengah ini terbukti di Tunisia dan Mesir. Kini ia sedang berjalan dan merayap ke Negara-negara sekitar. Yaman, Syria, Libya antara Negara yang sedang menghadapi kebangkitan ini dan seterusnya bakal merubah landskap politik di Timur Tengah.

Namun, disana terus menjadi tanda tanya kepada dunia, adakah Amerika dan Israel akan duduk diam membiarkan revolusi ini terus menyala di Timur Tengah? Bagaimanakah sikap Amerika dan Israel seandainya Mesir dikuasai Ikhwanul Muslimin? Ternyata pasti, Amerika dan Israel sekarang ini sedang menyusun strategi tidak akan membiarkan Negara-negara Timur Tengah ini bangkit dengan roh Islam dan jihad. Amerika dan Israel sekarang sedang mengatur strategi baru untuk menguasai Timur Tengah setelah anak didiknya yang menjadi tali barut selama ini jatuh tersungkur di tangan rakyat.

Kemenangan Islam semakin hampir, Dr Yusuf al-Qardhawi menyebut “Saya kagum dengan rakyat Mesir di atas keberanian dan kesabaran mereka menentang kuasa zalim dan taghut, dan mencipta revolusi yang mulia melebihi kemuliaan Firaun dan Hamam”

Ayuh sama-sama kita mendoakan kejayaan revolusi di Yaman, Syria dan Libya yang ketika ini rakyat sedang bertarung bermati-matian untuk ‘mengajar’ pemimpin-pemimpin diktator. Masanya akan tiba untuk zaman yang berjalan di atas cara hidup zaman kenabian. Insya-Allah..

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...