Aku mulakan penulisan ini dengan bacaan Bismillahirahmanirrahim, sekian lama tidak mencoret sesuatu di dalam blog, hanya tinggal habuk sahaja. Kekangan masa yang agak sibuk tidak sempat untuk menulis dan mencurahkan sesuatu. Terasa malam ini hendak menukilkan sesuatu. Mungkin sekadar penulisan kosong sahaja untuk menghidupkan blog ini.
Sekarang sudah hujung 2012, hanya beberapa hari sahaja lagi akan melangkah masuk ke Tahun Baru. 2013, umur aku sudah mencecah 27 tahun. Terasa diri ini sudah tua. Allah. Rupa-rupanya sudah lama aku bermusafir di Mesir, seingat aku 2005 aku menjejakkkan kaki ke Mesir bagaikan baru semalam berpijak di bumi ini. Terasa berat meninggalkan bumi Mesir yang banyak mengajar aku tentang kehidupan, perjuangan dan siapa diri aku sebenar. Juga terasa sangat rindu pada bumi Malaysia, hujan emas dibumi orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
September 2005 aku menjejakkan kaki ke Mesir, ketika itu umur aku 19 tahun. Sedar tak sedar umur aku sudah nak masuk 27 tahun. Memikirkan diri ini masih lagi banyak kekurangan untuk mencurahkan bakti di bumi Malaysia, rasa takut di dalam diri kerana masih banyak lagi persediaan yang masih belum aku lakukan saat-saat tahun akhir ini.
Tetapi, aku bersyukur kerana aku duduk di Mesir bertahun-tahun lamanya. Meskipun lama, aku merasakaan sangat bersyukur kerana diberi peluang melihat Revolusi Mesir, diberi amanah kepimpinan dalam persatuan DPMZ dan PMRAM. Tarbiyah yang cukup banyak aku dapat di dalam persatuan Melayu yang tertua di dunia. Bertemu dengan pelbagai jenis orang, melihat gelagat jenis manusia, dapat mengenali dan memahami keadaan sekeliling. Bagi aku, pengalaman dan suasana sekeliling merupakan guru aku dalam kehidupan.
Aku juga dapat menatap wajah Sheikh Dr Yusof Qardhawi, yang sekian lama aku idam-idamkan. Tokoh ulama yang hebat yang cukup digeruni musuh. Peluang ini yang tidak ada pada zaman kuku besi rejim Mubarak. Juga dapat menatap wajah tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin.
Sepanjang aku tinggal di bumi Mesir, apa yang boleh aku simpulkan, aku menjumpai 4 jenis manusia:-
1) Golongan yang belajar dengan belajar
2) Golongan yang belajar dengan nasihat
3) Golongan yang belajar dengan kesalahan
4) Golongan yang tidak belajar langsung, iaitu tidak mahu berubah
Mungkin ini sekadar pandangan aku yang banyak aku dapat dalam PMRAM.
Aku mengharapkan dalam tempoh beberapa lama ini dapat aku memanfaatkan masa yang berbaki ini untuk memperbaiki diri ini. Ya Allah, Engkau permudahkanlah urusan aku dalam mencapai cita-cita ini.