Sunday, February 08, 2009

Kemuncup Dalam Perjuangan...

"Sesungguhnya kami telah bentangkan amanah ini kepada langit, bumi, bukit bukau, namun semuanya enggan dan menolak kerana bimbang tidak dapat melaksanakannya, kemudian ianya diterima oleh manusia. Sesungguhnya manusia adalah zalim lagi jahil" Surah Al-Ahzab ayat 72


“Jangan jadik golongan musta’jilun...” pesan seorang naqib.

“Jangan gopoh gapah nak menang…” pesan seorang murabbi.

“Nak bawak Islam ni bukan mudah, harganya sangat mahal..jalannya penuh dengan onar dan duri…” pesan seorang Tok Guru.

Berjuang untuk Islam memerlukan kesabaran yang tinggi, selain iltizam yang kuat dan teguh. Ramai orang hendak berjuang untuk Islam, namun pada hakikatnya mereka tidak faham apa yang sebenarnya yang diperjuangkan oleh mereka. Mereka berjuang semata-mata atas dasar semangat.

Ikhwani,

Nabi SAW dahulu pernah disogok dengan bermacam-macam tawaran dan rundingan oleh puak kafir, namun Rasulullah SAW sedikit pun tidak tergerak hatinya untuk menggadai dakwahnya kerana inginkan kekayaan dan kemewahan.

Apa yang terjadi disekeliling kita pada hari ini sebenarnya telah berlaku di zaman Nabi lagi, segalanya telah dirakam dalam lipatan sejarah. Semua yang berlaku di sekeliling kita telah termaktub dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Ikhwani,

Sedikit ulasan saya mengenai yang berlaku di negeri Perak ;

Hakikatnya, untuk menjadi seorang pemimpin itu mestilah seseorang itu ditarbiyah dan diasuh dengan didikan Islam. Pintu kepimpinan adalah tarbiyah. Ingin jadi seseorang kepimpinan bukan boleh masuk semberono dan ikut sesuka hati sahaja. Lihatlah apa yang terjadi di negeri Perak, adakah peristiwa lompat melompat parti yang berlaku di negeri Perak ada udang disebalik batu? Apa yang berlaku disebalik filem tersebut? Ramai sungguh pelakon-pelakon yang bersandiwara dalam filem tersebut. Bersandiwara dengan mengaburi mata-mata penonton. Hebat!

Ikhwani,

Manusia memang cepat berubah, mudah sekali… dengan sekelip mata sahaja. Bila hati sudah ditutup, tiada lagi kebenaran di matanya. Bila ditabur dengan wang dan kekayaan, maka lupalah segala kebaikan dan hilanglah norma-norma kesucian yang ingin dituju.

Dakwah Islamiyyah bukan jalan batu loncatan kepada kemewahan, kekayaan, dan kekuasaan. Dakwah… jalannya penuh dengan onar duri dan sungguh mengerikan. Andaikata Nabi SAW menjadikan dakwahnya kepada untuk menjadi seorang ketua, presiden, perdana menteri dan seangkatan dengannya… pasti kita tidak dapat mengecapi nikmat Islam dan Iman sepertimana pada hari ini.

Ikhwani,

Apa yang terjadi di Perak adalah sebagai satu muhasabah kepada semua pejuang Islam. Islam menang bukan dengan lompat-melompat parti seperti pada hari ini. Tetapi, Islam menang dengan kesedaran dan kefahaman yang tinggi umat kepada Islam. Lihatlah di luar sana, ramai lagi orang terkapai-kapai dalam hendak memahami Islam.

Penjajah meninggalkan kepada kita bukan musuh kita yang sebenar, tetapi penjajah telah meninggalkan kepada kita orang-orang Islam yang pemikirannya sudah jauh dari Islam, pemikirannya sudah diracun dengan fahaman-fahaman yang berbahaya. Oleh itu, tugas kita pada hari ini lebih banyak dari masa yang ada. Carilah..cedoklah ilmu dimana-mana…tugasnya adalah untuk memahamkan orang kepada Islam.

“Masyarakat sangat memerlukan orang yang ikhlas berjuang untuk Islam, jangan banyak main duk Mesir tu Faiz..balik cepat..” ini pesan seorang sahabat kepada saya.

Khulasahnya : balik cepat, bantu Islam…

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...