Wednesday, September 10, 2008

Sunnah Orang Berjuang

SUNNAH ORANG BERJUANG..
Biler dengar nasyid ni, hati terasa sayu jer..

Ujian adalah untuk menguji kesabaran dan ketaatan pada Allah Taala. Menguji sejauh mana kita taat dan sabar dalam menghadapi mehnah.

Sesungguhnya, Allah mencampakkan para nabi dan rasul kepada umat manusia bagi menyampaikan dakwah kepada sekelian manusia. Walau bagaimanapun, Nabi dan para Rasul diuji dengan pelbagai cubaan dan mehnah. Layaklah bagi mereka digelar nabi dan rasul kerana sanggup menghadapi tohmahan, cercaan, dihina, difitnah dan pelbagai ujian yang sungguh menggetirkan. Dan kita selaku pengikut nabi, mesti kuat semangat dan berani menghadapi cabaran. Jalan dakwah dipenuhi onar duri. Ianya tidak dibentang dengan permaidani merah, pujian dan sebagainya. Bahkan ianya sangat menyakitkan. Ujian dan mehnah itulah menjadi hujjah atas kebenaran da'wah para Rasul.

Panji-panji ditangan kita bersama memikul beban dakwah. Moga ujian yang ditempuh akan merapatkan lagi keakraban hati dengan Maha Pencipta.

Dimana bumiku berpijak, disitulah Islam dijunjung...

Hayatilah bait-bait lagu ni...

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid

Dibuang dia berkelana
Dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
membara demi Allah dan Rasul-Nya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Senang susah silih berganti
Inilah sunah orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Diiring serta air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat meluah tenaga

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerana kebenaran
Antara dua pasti terjadi
Tunggulah syahid atau menang

Monday, September 01, 2008

Ramadhan Kareem..


Salam Ramadhan & Salam Bermujahadah…

Ramadhan datang lagi. Kali ini, sudah masuk 4 kali berturut-turut saya berpuasa di bumi Mesir pada bulan Ramadhan. Bererti sudah sekian lama saya tidak berpuasa bersama-sama dengan keluarga. Namun, itu semua adalah lumrah kehidupan. Orang yang bermusafir jauh…adatlah sentiasa berjauhan dengan keluarga. Semakin jauh terpisah semakin dekat dihati.

Semoga Ramadhan kali ini akan menjadikan kita insan yang benar-benar muttaqin disisi Allah SWT. Puasa adalah perisai bagi kita. Orang berpuasa pakaiannya adalah taqwa. Dan taqwa adalah nilaian Tuhan yang tertinggi kepada hamba-hambaNya. Oleh kerana, apabila pakaiannya adalah taqwa maka seseorang hamba itu akan cuba sedaya upaya untuk menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Pentarbiyahan Ramadhan adalah untuk mendidik hawa nafsu serta mengajar kita tentang ubudiyyah dan hakikat kehambaan. Bulan tarbawi ini juga adalah untuk menyedarkan kita dari segala dosa noda yang sudah kita lakukan. Mudah-mudahan tarbiyah yang kita terima pada bulan ini akan melumpuhkan jiwa serakah yang tertanam didalam sanubari manusia. Bahkan madrasah Ramadhan adalah untuk mengangkat martabat kita selaku hamba Allah SWT. Sesungguhnya, berpuasa pada musim panas atau hari yang panas terik ini dapat mempersiapkan diri kita dengan kesabaran dan kesungguhan bila mengharungi saat di medan jihad atau menghadapi saat-saat genting di medan dakwah.

Adakah Ramadhan kali ini merupakan yang terakhir bagi kita? Cubalah tanya diri… Betapa ramai orang tahun kelmarin yang berpuasa bersama kita, berterawih, merayakan idulfitri bersama, namun ternyata sudah mendahului kita dan sekarang telah pergi menghadap Tuhan Rabbul Jalil. Hitunglah saat kita di dunia ini. Dunia hanya persinggahan buat kita. Belum tentu lagi kita akan bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.

Semoga Allah menerima amalan kita di bulan puasa ini. Lazimkanlah diri kita dengan solat terawih, tadarus al-Quran, berzikir, beristighfar, bermunajat, berqiamulail di samping hindarkanlah diri kita dengan kesibukan dunia yang melalaikan.

Wallahu A'lam..

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...