Tuesday, May 12, 2009

Nasihat Buat Yang Kalah Wasiat Buat Yang Menang - Tuan Ibrahim Tuan Man

Nasihat bermakna oleh al-Fadhil Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man buat seluruh pejuang Islam, warkah Tuan Guru saya copy dari blog Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi (klik blog beliau pada namanya). Semoga Allah merahmati Tuan Guru Tuan Ibrahim Tuan Man.

SUKA DUKA MAT


(Mesyuarat Agung Tahunan) Mesyuarat Agung Kawasan dan Dewan-Dewan baru berlalu, kini seluruh tumpuan dihalakan kepada pemilihan dalam muktamar PAS Pusat. Pelbagai cerita suka duka, tawa dan tangis didengar dalam keriuhan suasana mesra jamaah.

Itulah keindahan perjuangan Islam. Kita membina ukhuwah Islamiah dalam jamaah mengatasi kepentingan peribadi. Kemanisan perjuangan ini tentulah tidak lahir secara spontan, Bahkan ianya lahir melalui tarbiyah samada secara formal atau informal.

Semua kita sangat sayangkan suasana ukhuwwah ini, kerana kita yang bersama dalam perjuangan di dunia mengharapkan agar Allah mengumpulkan kita dalam majlis yang diredhaiNya diakhirat.

HAKIKAT PENCALONAN

Kita menyedari bahawa kita bukanlah insan terbaik dalam jamaah, kita bukanlah ahli yang hebat dengan keilmuan sehingga mampu menerangi cahaya bagi menyuluh jalan agar Allah redha kepada kita, kita bukanlah ahli ibadah yang hebat, mampu menangis di hadapan Allah setiap malam dikala manusia lain sedang nyenyak tidur, dan kita juga bukanlah pemimpin terbaik.

Kita hanya menawar diri itupun setelah ada orang lain mencalonkan kita; terkadang kita malu dengan pencalonan itu, kerana kita mengetahui kelemahan diri kita, namun apa daya kerana kita tidak mampu menjawab hisaban di akhirat bilamana mengecewakan harapan jamaah.

Lantaran ianya hanya tawaran diri, tentulah kita tidak akan kecewa bilamana kita tidak dipilih. Apa yang nak ditangisi dan disesali diri, kalau ianya adalah satu keringanan hisaban di akhirat ?

Apa yang nak dikecewakan bilamana ahli tidak memilih kita, kerana apa yang berlaku dengan kehendak Allah semuanya, tangannya hanya memilih apa yang telah digerakkan hatinya oleh Allah?

Ingatlah, andainya kita tahu betapa gembiranya nanti bilamana kita dihadapkan di hadapan Allah, tentulah kita tidak sedih, kecewa dan apatah lagi menyimpan dendam pada yang tidak memilih kita, bahkan ucaplah terima kasih kerana meringankan bebanan diakhirat, sedangkan bebanan dosa diri sendiripun kita dah tak mampu untuk menjawabnya. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang banyak ini. Andainya kita rasa sedih di atas kekalahan kita, cuba tanya:

apakah ianya lahir dari rasa hebat kita berbanding orang lain?

atau lekeh sangatkah orang yang berjaya bilamana ramai perwakilan memilih mereka?

Aku sangat khuatir andainya ia lahir dari bisikan syaitan agar rasa kecewa, merajuk kemudian menyepi diri dari jamaah dan akhirnya gugur dari medan dakwah. Kerana inilah matlamat syaitan dan inilah yang menggembirakan musuh, dan inilah juga yang mengecewakan kita di akhirat.

PERJUANGAN DAN BEKALAN

Ketewasan dalam merebut jawatan dalam parti, bukanlah berakhirnya sumbangan kepada kemenangan Islam dan lebih-lebih lagi bilamana kita rasa bahawa jamaah akan susah dengan ketiadaan kita. Perjuangan Islam terus berjalan, dan usia kita semakin hampir. Apa rasa andainya kita yang telah menghabiskan usia dalam perjuangan yang sangat panjang, tiba-tiba berakhir dengan kita tiada dalam kelompok yang memperjuangkan Islam.

Aku sangat bimbang akan diriku dalam hal ini. Semoga Allah lindung kita bersama. Lantaran itu, teruskan perjuangan, kerana usia kita semakin hampir bertemu Allah, sedangkan perjuangan ini masih jauh. Inilah nasihat kepada yang ditipu oleh nafsu dan pujukan syaitan yang merasa kecewa dengan pemilihan yang kecil di dunia, agar kita tidak tewas dalam ‘pemilhan’ yang besar di hadapan Allah di akhirat.

WASIAT KEPADA YANG BERJAYA

Andainya kita tahu apa yang menanti kita di akhirat, tentulah kemenangan akan disambut dengan tangisan dan dukacita, kerana itulah wasiat Rasulullah, "Sesungguhnya jawatan ini adalah amanah, dan ianya diakhirat adalah dukacita dan penyesalan”. Kalaulah tidak kerana perjuangan Islam yang dijanjikan kemenangan di akhirat, tentulah tiada siapa yang teringin akan jawatan ini.

Kepada yang berjaya memenangi apa jua jawatan, berbanggalah di hadapan Allah andainya kita dapat melaksanakan amanah, mengangkat martabat Islam , memperjuangkan syariat Allah dan berada dihadapan di dunia untuk terus dipilih oleh Allah agar terus berada di hadapan di akhirat. Ingatlah “ debu-debu yang melekat di kaki mereka yang memperjuangkan Islam, menyebabkan ia tidak akan disentuh oleh api neraka di akhirat”.

Allahumma masukkan kami dalam kelompok tersebut. Keindahan perjuangan Islam lahir dari dokongan semua pihak, perjuangan tidak akan bertemu dengan kerehatan dan keselesaan. Perjuangan adalah pengorbanan untuk Allah dan Rasul. Mencari redha Allah bukanlah dapat dicapai dengan merasa hebat dengan jawatan yang disandang dan juga bukanlah merasakan akulah yang layak, berbanding orang lain.

Perjuangan bagi mendaulatkan Islam tidak akan berhasil andainya kita yang memegang jawatan ini jauh dari Allah, merasa kagum dengan kebolehan diri dan merasakan bahawa apa yang kita capai hasil kebijaksanaan kita dan kitalah penentu kepada kemenagan ini. Lantaran itu, kita dikuasai oleh nafsu merasa kehebatan diri sendiri dan memandang lekeh kepada orang lain.

Pimpinan yang berjaya bukanlah mengumpulkan manusia yang hebat sekelilingnya dan merasakann dirinyalah yang hebat dikalangan yang hebat, tetapi pemimpin hebat ialah yang menghargai semua sumbangan, membaiki yang rosak, rawat yang terluka, memberi harapan bagi yang kecewa, agar semuanya terus memberi sumbangan kepada perjuangan ini.

Jazakallah

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...