Friday, December 31, 2010

PMRAM Kecewa Dengan Isu Yang Menimpa BKAN Melaka

KAHERAH 30 Disember - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime melahirkan rasa kekecewaan teradap isu yang menimpa Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

Katanya, isu yang berlaku tersebut merupakan isu kemanusiaan yang perlu diketahui umum dan perlu mendapat perhatian di semua peringkat. Bukan anya sekadar berlegar dikalangan maasiswa-mahasiswi Melaka sahaja.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa isu seumpama ini pernah terjadi pada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dan Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu (KPT) suatu ketika dahulu. Akan tetapi, sifat kesatuan yang ada pada ahli negeri terbabit menyebabkan persatuan baru yang ditubuhkan oleh pihak pegawai terkubur.

Katanya lagi, memahami sejarah yang pernah menimpa mahasiswa-mahasiswi Mesir, PMRAM mahukan sifat bersatu diterapkan di dalam seluruh jiwa mahasiswa-mahasiswi.

"Apabila sifat bersatu ini wujud di dalam jiwa umat Islam, maka tidak mudah bagi pihak musuh untuk menghancurkan kesatuan serta melaksanakan agenda jahat mereka. Dan inilah peranan PMRAM serta BKAN dan DPM bagi membentuk jatidiri mahasiswa Islam di Mesir" Ujar beliau ketika memberi penjelasan isu di Rumah Kelantan Baru.

Selain itu, beliau juga melahirkan rasa terkilan dengan terhadap ucapan Ketua Menteri Melaka Dato' Seri Mohd Ali bin Rustam yang melemparkan fitnah terhadap PMRAM ketika sesi ramah mesra di rumah Melaka.

Justeru katanya, fitnah seperti yang dilemparkan oleh Ketua Menteri tersebut merupakan isu lapuk yang pernah PMRAM hadapi suatu ketika dahulu. Apa yang penting adalah PMRAM merupakan gerakan mahasiswa yang menjalankan aktiviti kebajikan, pendidikan serta meningkatkan pencapaian akademik di kalangan ahli.

Walaubagaimana pun katanya, PMRAM tetap mengambil sikap bekerjasama dengan pihak-pihak berwajib bagi memudahkan urusan mahasiswa-mahasiswi yang belajar di bumi Mesir ini. Dan beliau menegaskan bahawa PMRAM merupakan persatuan yang bersifat profesional dan bukan persatuan yang melaksanakan tindakan dengan cara 'kampung'.

Sesungguhnya fikrah dan kefahaman yang jelas di kalangan ahli mampu melahirkan jati diri dan integriti di dalam jiwa umat Islam.

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Thursday, December 30, 2010

Kejayaan Untuk Islam


JADUAL IMTIHAN TAHUN 3 KULIAH USULUDDIN JABATAN DAKWAH & THAQAFAH ISLAMIYAH, AL-AZHAR ZAGAZIG

1 Jan (SABTU) = Ulumul Quran
3 Jan (ISNIN) = Syubhat Haula Hadis

------------

5 Jan (RABU) = Dakwah Islamiyah (Syafawi)

------------

9 Jan (AHAD) = Tabsyir Wa Istisyraq
11 Jan (SELASA) = Tauhid
13 Jan (KHAMIS) = Dakwah Islamiyah
16 Jan (AHAD) = Qadaya Fiqhiyyah
18 Jan (SELASA) = Manahij Mufassirin
20 Jan (KHAMIS) = Hadis Maudhu'i

Bitaufiq wannajah....

Monday, December 13, 2010

Usah Lenyapkan Sensitiviti Ke Atas ARMA


Isu ARMA yang masih diperjuangkan sehingga kini merupakan isu mengenai dengan hak. Ia bukan semata-mata isu menagih simpati di kalangan ahli. Perjuangan yang didokongi abang-abang lama mesti dipertahankan dan dibuktikan kesungguhan perjuangan kita dengan mendapatkan kembali tempat iaitu di anjung ARMA sebagai pejabat tempat beroperasi PMRAM.

Sudah berulang kali isu ARMA ini dilaungkan, namun sensitivti ke atasnya masih kurang dan suram, tidak seperti yang diharapkan. Suasana kebangkitan ahli sebagaimana pada tahun PMRAM mahu diusir daripada ARMA masih belum dapat dirasai kini. Bahkan bahangnya turut tidak dirasai.

Isu ini hanya diperjuangkan oleh segelintir sahaja di kalangan mereka yang benar-benar memahami perjuangan PMRAM selama 80 tahun ini. Bahkan semakin ramai yang membisu walaupun fakta berkenaan dengan ARMA cuba diselewengkan di hadapan mata.

Usah mendabik dada mengatakan kita ahli PMRAM yang mendokongi PMRAM sekiranya isu ARMA tidak dijayakan bersama-sama. Ahli PMRAM semuanya mesti menjayakan menghangatkan kembali suasana cakna dan prihatin ke atas isu ARMA dengan sepenuhnya sebelum ARMA dapat digenggam kembali.

Kini suasana PMRAM di ARMA langsung tiada walau sekali. Sudah bertahun-tahun ARMA semakin menyepi dan jauh daripada kesatuan PMRAM yang merupakan persatuan induk dan gerakan mahasiswa Islam di bumi Mesir ini.

ARMA sebenarnya masih menanti kembalinya semangat 65 sukarelawan terdahulu dan suara yang lantang dalam memperjuangkan isu ini untuk bangkit bersama-sama. ARMA pasti lemah dan tidak berharga tanpa kehadiran mahasiswa/wi Islam yang membawa imej PMRAM. Bertahun-tahun ARMA suram ekoran aura PMRAM yang tidak kelihatan.

Tidak pasti mana kurangnya dan apa lemahnya sehinggakan isu kini yang dahulu hangat diperjuangkan kini semakin suram. Ayuh, hangatkan kembali isu ini di bibir-bibir mahasiswa/wi Islam dan di dada-dada laman maya masing-masing. Usah lenyapkan sensitiviti ke atas ARMA.

Disediakan Oleh : Unit Panitia ARMA 2010

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Tuesday, December 07, 2010

Hijrah Dalam Membentuk Kesatuan Ummah


Pada tanggal 1 Muharam telah termaktub dalam lebaran sejarah Islam , peristiwa Hijrah telah mendatangkan impak yang besar bagi umat Islam sehingga kini ,biarpun sudah berlalu hampir 1400 tahun namun kesannya masih segar dibenak ingatan.

Sejarah ini telah membuktikan bahawa kekuatan Islam tidak boleh dipandang enteng sepertimana yang telah berlaku ketika baginda Nabi Muhammad S.A.W dan sahabatNYA melakar kejayaan besar ini.

Kesatuan yang terbina antara Muhajiran dan Ansar memberikan kekuatan yang menyeluruh sekaligus membuka mata seluruh dunia bahawa umat Islam adalah umat yang satu.Tidak kira darimana asal-usulnya, dimana dia berada asalkan dia mengucapkan syahadah dan kehidupan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah maka ketika itu dia juga saudara.

Kerjasama yang diberikan antara Muhajirin dan Ansar sayugianya perlu dicontohi oleh umat Islam hari ini. Sesungguhnya Islam tidak memerlukan kita tetapi sebaliknya kita yang berhajat kepada Islam dalam memimpin kehidupan kita seharian.

Pengorbanan yang telah mereka berikan untuk merealisasikan sebuah perubahan adalah begitu besar dan agung.Mana mungkin mudah untuk meninggalkan kampong halaman yang telah membesarkan kita dan menjadi tempat mainan sedari kecil lagi.

Namun begitu,demi menegakkan syiar Islam dan untuk memastikan survival Islam terus berkembang ke seantero dunia maka segalanya sanggup dikorbankan.Kesannya penghijrahan yang mereka lakukan terus menjadi teladan sehingga kini.

Intipati daripada penghijrahan ini ,Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir juga bergerak seiring dalam memacu objektif dan perlaksaannya mengikut kesesuaian zaman dan realiti. Pelbagai bentuk penekanan dan pembawakan PMRAM mempunyai satu matlamat untuk melahirkan generasi yang mampu memperjuangkan Islam dalam apa bidang sekalipun.

PMRAM merupakan satu wadah dalam membina generasi yang mampu bekerja untuk Islam tanpa mengharapkan imbuhan dan seumpamanya .Sifat tadhiah dan tolak ansur menjadikan PMRAM sehingga kini terus didokongi oleh ahlinya.

Bekerja dengan kefahaman dan bukan hanya sekadar semangat menjadikan PMRAM juga platform dalam menjana fikrah dan membentuk syakhsiah yang diteladani.

Kesatuan yang telah PMRAM bina yang kini menjangkau 80 tahun bukanlah satu tempoh yang sementara sekaligus membuktikan PMRAM semakin dewasa dan matang untuk meneruskan survival di bumi anbiya’ ini. Kerjasama ahli PMRAM daripada setiap BKAN & DPM dalam menjayakan setiap agenda PMRAM membuktikan pengajaran peristiwa hijrah sudah lama dipraktikkan oleh PMRAM .

Sepertimana kaum Muhajirin dan Ansar boleh bersatu begitu juga kerjasama antara BKAN & DPM dalam memastikan perencanaan PMRAM dapat dilaksanakan selaku sebuah kesatuan yang menjaga kebajikan Anak Melayu di bumi anbiya’ ini.

Kepelbagaian ruang dan peluang telah disediakan PMRAM dalam menjana generasi Islam yang integriti seperti Manhal,PESAT,Madrasah Imam Syafie’,Madrasah Saidatina Aisyah ,Kem Latihan Penulis,Unit Biah Solehah,Mini Pavilion dan banyak lagi .

Segala tenaga dan kemahiran telah PMRAM gunakan semaksima mungkin dalam meningkatkan pengkaderan generasi Islam yang mampu terjun dalam lautan masyarakat kelak.

Tidak timbul persoalan mengapa PMRAM harus dipertahankan sehingga kini kerana sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan sahabatNYA juga menjadi satu panduan untuk PMRAM terus memacu perubahan dalam mempertingkatkan kebajikan dan kualiti prestasi mahasiswa Al-Azhar.

Semoga seluruh mahasiswa dapat memanfaatkan PMRAM dalam mendalami dan menghayati sebuah perubahan yang menuntut segala pengorbanan samada tenaga dan fikiran hanya semata-mata untuk Islam di masa akan datang.

Disediakan oleh,
Urus Setia Penerangan Umum (UPU)
Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM

Unit Penerangan dan Penerbitan HEWI PMRAM
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2010

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Hijrah : Transformasi Perubahan Buat PMRAM

SIRI PENGHIJRAHAN BAGINDA S.A.W DAN PARA SAHABAT

Mengungkap sirah-sirah perjuangan Baginda s.a.w yang berjuang untuk memartabatkan agama yang benar ini ternyata penuh mehnah dan tribulasi. Namun, keyakinan Baginda s.a.w dan para sahabat atas pertolongan Allah s.w.t untuk terus mendaulatkan Islam tercinta ke pelusuk dunia membuatkan mereka berdiri teguh di atas tunjang keimanan dan ketaqwaan.

Siri-siri penolakan dan penentangan kaum Musyrikin Mekah terhadap Baginda s.a.w dan para pengikutnya diiuji dengan penyiksaan yang dahsyat dan hampir tidak tertanggung sehingga para sahabat ketika itu meminta izin kepada Baginda s.a.w untuk berhijrah dari tanah air mereka. Lantas melalui petunjuk wahyu Allah taala, mereka berpindah ke Madinah.

Justeru, bermulalah episod penghijrahan agung Baginda Rasulullah s.a.w bersama para sahabat radiyallahu ‘anhum ke Madinah demi untuk menyelamatkan akidah suci mereka disamping meneruskan perjuangan menegakkan panji Islam tanpa sebarang gangguan.

Dari tanah Tayyibah itu, Islam mula bertapak kukuh sebagai sebuah daulah Islam yang pertama. Syariat Islam yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah mula menjadi asas kepada pembentukan daulah tersebut.

Setelah berkorban meninggalkan tanah air yang sangat mereka cintai iaitu Mekkah, Kaum Muhajirin dan Ansar dengan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w begitu berhasil mengamalkan ajaran Islam dengan bebas. Lebih daripada itu, mereka berjuang dengan meluaskan dakwah Islam ke luar Kota Madinah dan akhirnya cahaya kebenaran itu menyusup masuk ke sempadan dan meruntuhkan tembok kejahilan negara-negara bukan Islam. Akhirnya, bersinarlah di tanah-tanah timur tengah itu dengan cahaya wahyu dari tuhan.

Ternyata berkat dari peristiwa hijrah Baginda s.a.w dan para sahabat serta penerimaan tulus Kaum Ansar kepada saudara mereka telah membuahkan kejayaan dan keberhasilan dakwah yang telah mereka pikul.


PELAJARAN BERHARGA DARI PERISTIWA HIJRAH NABI S.A.W

Sesungguhnya tiap-tiap ketentuan Allah s.w.t itu mempunyai nilai hikmah dan pengajaran yang cukup besar kepada mereka yang mahu mencari kebenaran dan berfikir. Demikian Allah menjelaskan dalam firman-Nya:

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman”. (QS. Yusuf: 111)

Antara pelajaran berharga yang pertama ialah hijrah mengajar kaum Muslimin untuk mempertahankan tauhid dan keimanan mereka dengan mengorbankan apa yang mereka miliki.

Islam telah meletakkan kesucian agama dan akidah itu melebihi kepentingan lain. Justeru, mengorbankan kepentingan diri demi mempertahankan agama itu sangat-sangat dituntut. Berdasarkan peristiwa hijrah ini, kita dapat melihat pengorbanan yang cukup besar telah dilakukan oleh para sahabat semata-mata untuk mempertahankan akidah suci mereka.

Hijrah yang mereka lakukan didorong oleh kekuatan iman. Tanpa kecekalan dan kekuatan iman, belum tentu mereka sanggup untuk meninggalkan keluarga, sanak-saudara, harta-benda dan tanah air tercinta.

Firman Allah taala :
“orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (QS. Attaubah: 20)

Di dalam kitab Fiqh Sirah karangan Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti mengenai hijrah Baginda s.a.w, penulis ada menyebut tentang apalah ertinya pada harta kekayaan, pangkat kebesaran dan tanah air sekiranya akidah dan syiar agama terancam dan musnah. Justeru, Allah ‘Azza wajallah telah mewajibkan dasar mengorbankan harta dan negara demi kepentingan akidah dan agama sekiranya keadaan memaksa.

Perngajaran kedua ialah hijrah membangunkan masyarakat penuh peradaban. Ini dapat dilihat melalui tindakan Baginda Nabi s.a.w ketika mula-mula sampai di Madinah iaitu mendirikan masjid yang merupakan pusat kegiatan pembinaan dan pengembangan sumber daya manusia. Sehingga mampu melahirkan manusia yang luar biasa, berakhlak mulia, manusia berilmu dan dekat dengan penciptanya.

Bukan setakat itu, Baginda juga menyatukan saudara-saudara Muhajirin dengan Ansar sehingga melahirkan ukhuwah Islamiah yang sebenarnya, melahirkan komuniti masyarakat yang saling hormat-menghormati. Selain itu, Baginda s.a.w juga membangunkan pasar untuk kaum Muslimin kerana pada ketika itu pasar di Madinah masih dikuasai oleh Kaum Yahudi yang mengamalkan riba’ .

Pengajaran ketiga yang dapat kita hayati ialah perjalanan hijrah Rasulullah dari Mekkah ke Madinah merupakan momentum awal kebangkitan Islam dari arus jahiliyah. Kezaliman yang berleluasa dicantas dengan keadilan yang saksama. Islam hadir untuk membela dan memartabatkan maruah dan hak umatnya.

Sekiranya masyarakat menginginkan keadilan, tiada lain dan tiada bukan hanyalah dengan keadilan Islam. Sudah terbukti apabila Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara mampu menyatukan seluruh penduduk Madinah dengan keadilan Islam walaupun penduduk Madinah terdiri dari komuniti agama yang berbeza.


PMRAM DAN TRANSFORMASI HIJRAH

Setelah merentasi hampir satu abad, tidak sedikit transformasi perubahan yang dialami oleh PMRAM. Sejak penubuhannya dari tahun 1930 M , bermula dengan nama Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) sehinggalah sekarang, dikenali dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) , PMRAM sentiasa cuba menampilkan sesuatu yang terbaik demi melihat hadafnya sebagai persatuan mahasiswa induk di Perlembahan Nil ini tercapai.

Tidak dinafikan PMRAM sering terdedah dengan transformasi semasa mengikut arus zaman. Penghijrahan itu merupakan sesuatu yang dituntut oleh agama.Ini dapat disingkap melalui sabda Baginda s.a.w yang tercinta,

Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekkah,) tetapi jihad dan niat (yang baik.) Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah.” [Hadis riwayat Muslim]
Imam Nawawi juga berkata di dalam kitabnya Riyadus Solihin dengan maknanya;

“ Tidak ada hijrah dari Mekkah (selepas pembukaan Mekkah), kerana telah wujudnya sebuah negara Islam."

Penerapan nilai Islam yang sebenar pada awal 80 an menjadi titik pembaharuan kepada PMRAM dalam mengajak ahlinya untuk terus mendokongi Islam dan PMRAM selaku wadah kesatuan mahasiswa yang menampilkan wajah Islam.

Di samping itu, penghijrahan yang dilakukan PMRAM semenjak dahulu tidak sunyi dari pelbagai mehnah. Sesuai dengan hijrah Baginda s.a.w dan para sahabat yang turut dipenuhi kesulitan. Namun, atas dasar Islam yang di bawa oleh PMRAM serta berkat perjuangan dan pengorbanan yang tulus ikhlas dari golongan terdahulu , Allah s.w.t masih memelihara PMRAM sehingga ke hari ini.

Selain itu, konsep pengorbanan dari hijrah Baginda Nabi s.a.w dan para sahabat sentiasa dipraktikkan PMRAM. Sebagai contoh, perjuangan mahasiswa terdahulu yang bersusah-payah untuk mendapatkan dana bagi membina Asrama Melayu, penglibatan PMRAM dalam membantu Mesir menentang penjajah, penentangan terhadap anasir-anasir yang menjatuhkan PMRAM, pelbagai bentuk sumbangan yang dihulurkan dan lain-lain lagi ternyata hasil dari pengorbanan yang tidak sedikit.

PMRAM juga sentiasa optimis mengajak ahli kepada kesatuan dan perpaduan disamping mengelakkan perpecahan. Inilah yang diterap oleh Baginda s.a.w, setelah hijrah dilaksanakan. Tanpa kesatuan dan perpaduan dikalangan ahli, hijrah yang dilaksana tidak akan bernilai sedikitpun.

Justeru, pada hari ini, setelah 80 tahun penubuhan , pelbagai pembaharuan telah diketengahkan PMRAM selari dengan tuntutan syariat. Inilah hasil dari transformasi penghijrahan PMRAM ke arah yang lebih baik.

Oleh yang demikian, dengan kehadiran tahun baru hijrah 1432 H ini, PMRAM mengajak seluruh mahasiswa untuk mentranformasi diri menjadi manusia yang lebih berguna untuk agama, bangsa dan negara. Sentiasa mengamalkan sikap kebersamaan, persaudaraan, bersedia berkorban dan bijaksana menyusun perancangan. Inilah asas pertolongan dan kemenangan umat Islam. Akhir kata, selamat menyambut Tahun Baru Maal Hijrah 1432 H.

Disediakan Oleh,
Urus Setia Penerangan Umum
Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM
Unit Penerangan & Penerbitan HEWI PMRAM
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2010

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Thursday, December 02, 2010

PMRAM : Tahniah Buat Tan Sri Hj. Wan Mokhtar Ahmad Dianugerahkan Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke 19

KAHERAH, 1 Dis - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) hari ini mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah buat Mantan Menteri Besar Terengganu Darul Iman, Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Hj. Wan Mokhtar Bin Wan Ahmad yang juga pernah menjawat jawatan sebagai Yang DiPertua Persekutuan Melayu Mesir (PMM) sekarang Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) di atas nukilan beliau telah mengungguli genre Buku Autobiografi melalui penulisan beliau yang bertajuk " Muzakkirah : Sebuah Autobiografi Suku Abad Menerajui Kerajaan Terengganu ".

Majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Mastera yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diadakan di ibu negara Kuala Lumpur itu telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyampaikan anugerah-anugerah kepada pemenang.

Menurut laporan berita Harian Metro semalam, pada majlis tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyampaikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia ke 19 untuk karya terbitan 2008/2009 kepada lima pemenang yang mewakili tokoh politik termasuk Tan Sri Hj Wan Mokhtar Ahmad, sasterwan dan sarjana ternama tanah air yang masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM 10,000.

Dato Seri Amar Diraja Tan Sri Hj. Wan Mokhtar Ahmad ketika bergelar mahasiswa Islam di Mesir beliau bergerak aktif di dalam sebuah persatuan induk mahasiswa melayu di Mesir sehingga beliau diberi amanah menjawat jawatan Yang Dipertua PMM pada 1961 hingga 1962. Ketika beliau memegang jawatan YDP PMM, tercipta lembaran sejarah baru bagi sejarah anak-anak melayu yang berada di Mesir dimana pihak kerajaan Mesir yang dipimpin oleh Presiden Jamal Abdul Nasir telah menganugerahkan sebidang tanah kepada anak-anak melayu di bawah naungan PMM dengan keluasan 2,212 meter persegi hasil daripada penat jerih anak-anak melayu membantu kerajaan Mesir di dalam peperangan tiga serangkai Inggeris-Perancis-Israel pada tahun 1956.

Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Hj. Wan Mokhtar Ahmad di atas penghadiahan sebuah buku hasil tangan beliau kepada pihak PMRAM yang bertajuk "Muzakkirah: Sebuah Autobiografi Suku Abad Menerajui Kerajaan Terengganu" dikeluarkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd yang diserahkan melalui TYT Duta Malaysia ke Mesir, Prof. Dr Fakhruddin Abdul Mokti.

PMRAM Ucap Tahniah Pada Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Presiden PMRAM 1961-1962

KAHERAH, 1 Dis - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir hari ini mengucapkan sekalung tahniah pada Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Mantan Menteri Besar Terengganu kerana mengungguli Genre Buku Biografi/Autobiografi melalui Muzakkirah: Sebuah Autobiografi Suku Abad Menerajui Kerajaan Terengganu.

Beliau yang menerima anugerah tersebut pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Mastera anjuran Dewan Bahasa Pustaka (DBP) semalam.

Di dalam buku beliau, Muzakkirah: Sebuah Autobiografi Suku Abad Menerajui Kerajaan Terengganu juga ada menceritakan pengalaman beliau ketika aktif dalam memimpin PMRAM suatu ketika dahulu. Beliau merupakan Presiden PMRAM pada tahun 1961-1962 juga pernah terlibat dalam gerakan kebangkitan mahasiswa Islam di Mesir pada tahun tersebut. Sebelum itu beliau menjadi anggota Badan Pengurus PMRAM sekitar tahun 1959-1960.

Pada majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyempurnakan dan menyampaikan anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-19 untuk karya terbitan 2008/2009 (HSPM 19) kepada lima pemenang yang mewakili tokoh politik, sasterawan dan sarjana ternama tanah air yang masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM10,000.

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...