Tuesday, January 24, 2012

Takutnya Musuh Terhadap Ikhwanul Muslimin


Revolusi Timur Tengah telah memberikan tamparan hebat kepada penguasa-penguasa zalim di seluruh dunia. Revolusi yang bermula di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman dan Syria memberikan pengajaran kepada pemimpin-pemimpin diktator Arab yang menjadi boneka kepada Amerika dan Zionis Israel. Ini adalah mesej kebangkitan rakyat kepada pemimpin-pemimpin yang berkuasa di Negara Islam supaya tidak berlaku zalim serta penindasan kepada rakyat.

Revolusi yang berlaku ketika ini seolah-olah membenarkan kata-kata Dr Yusof Qardhawi bahawasanya kurun ke-21 adalah milik Islam memerintah. Hari ini seluruh dunia menyaksikan pilihanraya yang berlaku di Mesir dengan kemenangan milik Parti Kebebasan dan Keadilan iaitu sebuah sayap kepada Ikhwanul Muslimin yang suatu ketika dahulunya pernah diharamkan oleh kerajaan Mesir.



Ikhwanul Muslimin telah melalui pelbagai rintangan dalam dakwahnya, ulama dan aktivis-aktivisnya pernah dipenjara dan dibunuh. Musuh-musuh Allah SWT akan sentiasa merancang untuk menghapuskan jemaah-jemaah Islam, semuanya hasil dan perancangan jahat musuh-musuh Islam iaitu Perisikan Pusat Amerika, Komunis Antarabangsa, dan Zionis.

Ketika tercetusnya perang Arab-Israel tahun 1948 , anggota Ikhwanul Muslimin adalah mereka yang berada dibarisan hadapan. Mereka mendirikan kem-kem dengan duit mereka sendiri bagi melatih para pejuang. Mereka berjaya memasuki Palestin pada tahun 1948. Dua bulan sebelum ketibaan tentera bersekutu Arab. Serangan ke atas Yahudi dilakukan dalam bentuk serangan gerila yang menyerlahkan kepahlawanan mereka yang luarbiasa sehingga salah seorang pemimpin Yahudi pernah berkata :

“Menyerang pejuang Ikhwanul Muslimin mendatangkan bahaya besar samalah seperti menyerang hutan yang penuh binatang buas.”

Pernah akhbar-akhbar di Amerika menulis tentang Sheikh Hassan Al-Banna dan menjelaskan tentang bahayanya. Antaranya yang mengulas : -

“Lelaki ini adalah lelaki paling kuat di dunia Islam hari ini. Beliau tidak mungkin dikalahkan kecuali berlaku peristiwa yang lebih besar daripadanya.”

Ada seorang penulis wanita Zionis Rose Carine berkata :-

“Jika dunia tidak dapat menangkap hakikat bahayanya Islam dan Gerakan Ikhwanul Muslimin kepada penjajah dan boneka mereka, maka Eropah sekali lagi akan berdepan di dekad ini dengan sebuah Empayar Islam yang terbentang dari Utara Afrika hingga Palestin dan Turki hinga Lautan Hindi.”

Ben Jourin pernah menyebut tentang komentarnya tentang penglibatan Ikhwanul Muslimin dalam peperangan tahun 1948 :-

“Tidak ada ruang untuk menjamin berterusannya Negara Israel kecuali dengan menghapuskan 2 unsur di dunia Arab iaitu pemimpin-pemimpin agama yang komited dan Gerakan Ikhwanul Muslimin.”

Beliau juga menegaskan :

“Kita tidak takut pada sosialis, perkauman dan sistem beraja di kawasan Arab tetapi yan kita takut ialah Islam. Inilah kuasa besar yang sudah lama tidur dan sekarang ia mula bangkit di dunia Arab. Saya takut akan lahir Muhammad baru di kawasan itu.”

Ini adalah beberapa gambaran betapa takutnya musuh-musuh Islam terhadap Gerakan Islam khususnya Ikhwanul Muslimin yang pernah diasaskan oleh Sheikh Hassan Al-Banna.


Setelah berlakunya pilihanraya di Mesir baru-baru ini, ternyata ia memberikan tamparan hebat kepada Zionis-Israel. Ini dapat dibuktikan lagi dengan ucapan pemimpin Yahudi bahawasanya mereka kini sedang bimbang dan takut akan kebangkitan yang berlaku di Timur Tengah khususnya kebangkitan yang berlaku di Mesir.

Ikhwanul Muslimin akan menjadi benteng kukuh menghadapi serangan musuh seperti yang pernah diungkapkan Hassan Hudaibi :

“Nama yang tidak hanya mewakili sebuah organisasi di Mesir tetapi sebagai tanda kebangkitan Islam di seluruh Negara Islam dari lautan ke lautan. Dakwah mereka berjaya menggegarkan penjajah, tali barutnya dan juga golongan munafik.”

Ketahuilah, perkara yang merbahaya kepada musuh adalah kesedaran Islam di kalangan rakyat yang akan mewujudkan pertembungan dengan mereka. Apabila perkara seperti ini berlaku orang-orang Islam akan menjadi seperti generasi awal Islam yang berjaya menghapuskan kerajaan besar Rom dan Parsi.


Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...