Saturday, May 24, 2008

Rindu Bersama


Suria yang suram menanti waktu
Senja berlabuh ku terasa pilu
Tiupan angin kedengaran bagai mengalun wirama indah
Ku sengaja menutupi rasa hati selama ini
Namun tak mampu kupendamkan
Rahsia dalam sanubari

Oh..kini kupasrah
Terbongkar segalanya
Yang kurindukan kasihmu kekanda

Ciptalah kejayaan dalam dirimu
Seimbang dunia jua akhirat
Letakkan agama setingginya
Itulah nasihatku seiring rindumu

Akan kuturuti nasihatmu
Ingin kucontohi dirimu oh kekanda..

Mengubat jiwaku yang gundah
Demi cahaya yang menantiku disana

Pasti kau kecapi bahagia di hari muka
Jasamu kekanda mustahil ku lupakan
Oh..dulu kini hingga keakhirnya
Dirimu bertakhta di kalbu

Munsyeed : Amar feat Adeq Nik Mohd Hazran

Wednesday, May 14, 2008

Hati Seorang Pejuang Itu...

Gambar kenangan bersama ahli bait yang terdahulu ( Us Syauqi, Saya, Us Muzaidi & Us Johari ). Rumah yang banyak kenangan ini terletak di Mawaf Mansurah (ataupun dikenali sebagai rumah beg). Kesemua mereka sudah berada di Malaysia kecuali saya. Dan kini, saya telah tinggal bersama dengan ahli bait yang baru iaitu Us Hanif dan Us Nasruddin di Dewan Dar As-Salam. Us Muzaidi sempat seketika tinggal bersama saya di di dewan tersebut, kemudian beliau terus pulang ke Malaysia. Walaubagaimanapun, jiwa dan hati saya tetap merindui Mawaf Mansurah. *Gambar ini sekadar hiasan sahaja dan tiada kaitan dengan nukilan dibawah ini.


Sekadar mencuri masa sahaja, bagi menukilkan sesuatu untuk diri ini..

Hati seorang pejuang itu...

- Apabila diuji, mereka sesekali tidak lemah dan tidak mudah berputus asa

- Jika dikritik, jiwanya sentiasa tenang dan tidak sesekali gusar dan takut

- Bila ditohmah, mereka sabar dan tabah dalam menghadapi ujian tersebut

- Jiwa mereka sentiasa kental dan kuat dalam menghadapi cabaran

- Mereka tidak pernah membenci orang lain walaupun hatinya disakiti

- Mereka boleh dinasihati dan ditegur dan tidak mudah melenting

- Bersikap lapang dada apabila apabila pandangannya tidak diterima dan ditolak

- Mengakui kesilapan diri dan bersikap pemaaf

- Tidak mudah merajuk dan mengalah

- Bersikap lemah lembut dan memudahkan orang lain

- Mempunyai azam dan cita-cita yang tinggi, jiwanya sentiasa optimis dan istiqamah

- Merendah diri dan tawaduk, tidak sombong dan tidak pernah merasa bongkak

- Bersikap tegas dan tidak keras

- Berpandangan jauh dan terbuka

Belajarlah untuk menerima orang lain, meskipun ianya bertentangan dengan jiwa. Jangan jadikan sikap negatif yang ada pada diri kita, yang menyebabkan Islam menjadi rugi. Islam tidak akan rugi, melainkan kitalah yang menjadi penyebab Islam itu rugi. Kita bukanlah yang terbaik. Tetapi kita mestilah cuba untuk menjadi orang yang terbaik. Semoga usaha kita diberkati. Salam perjuangan..

Wednesday, May 07, 2008

Al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Rizal

( Saya, Aizad kini di UIAM, Muhaimin kini di UM, Allahyarham Ust Rizal, Azrul kini di UIAM, Faizal kini di KIPSAS-UKM, Hafizi-Tidak pasti & Amir kini di UM, Hazwan Hafiz kini di Al Azhar (tiada dalam gambar/tukang ambil gambar-hehe,jangan jeles hazwan erk) - Gambar ini dirakam ketika saya dan kawan-kawan masih di tingkatan 4, selepas Majlis Solat Hajat Perdana sempena peperiksaan PMR, SMA, & SPM di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan)


Sudah 5 hari rohnya pergi menghadap illahi, seorang guru yang kami kasihi sudah menyahut seruan Allah terlebih dahulu. Pada 3hb lalu, saya menerima mesej dari seorang kawan yang mengkhabarkan Ust Rizal kemalangan dihempap pokok di Temerloh, yang pastinya bukan disebabkan kemalangan di jalanraya. Perasaan saya ketika itu tersentak sebentar apabila mendapat khabar bahawa Ust Rizal sudah kembali ke Rahmatullah. Untuk mendapat kepastian, saya menghubungi seorang guru saya dengan menghantar mesej untuk memastikan lagi kebenarannya. Benar! Arwah sudah pergi meninggalkan kami terlebih dahulu. "Innalillahirajiun", itulah ungkapan yang terpacul di mulut saya ketika itu. Sebak perasaan di ketika itu apabila mendapat tahu berita malang tersebut.

Fikiran saya kembali seketika di waktu alam persekolahan(1999-2003) , ketika itu Allahyarham merupakan warden asrama kami. Allahyarham sangat baik dengan pelajar-pelajar terutama penghuni asrama lelaki Al-Ihsan. Perwatakannya yang "sempoi" dan tegas membuatkan pelajar-pelajar mudah untuk membuat urusan dengan beliau. Hari ini, SMA Al-Ihsan sudah kehilangan seorang guru yang banyak berjasa kepada sekolah. Barangkali saya yakin, kawan-kawan saya juga semuanya terkejut serta merasai kehilangan beliau dan bagaikan tidak percaya atas apa yang berlaku.

Dan hari ini, saya menadah tangan dan bersyukur pada Allah swt kerana beberapa hari sebelum saya berangkat ke Mesir pada September tahun 2005, saya dapat bertemu dan menziarahi Allahyarham Ust Rizal dan semua guru-guru saya di SMA Al-Ihsan dan Kuliah Sultan Abu Bakar. Ketika itu, Allahyarham sempat menasihati saya supaya belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Tidak sangka, rupa-rupanya itulah pertemuan yang terakhir dengan Allahyarham. Saya akan mengingati segala kalam nasihat guru-guru saya dan akan mendoakan supaya dapat bertemu dengan mereka suatu hari nanti.

Semoga roh Allahyarham tenang dan ditempatkanNnya dikalangan mereka golongan orang-orang yang soleh dan beriman. Dan bagi kita, yang masih dapat menikmati kehidupan sementara ini pergunakanlah kehidupan dengan sebaik-baiknya. Kita juga akan menghadapi saat-saat kematian, cuma lambat ataupun cepat sahaja. Malah segala urusan ajal maut bukannya dibawah pengetahuan kita. Kita hanyalah manusia biasa sahaja, yang menentukannya adalah Allah swt. Bagi mereka yang sudah pergi, kita hanya mampu mendoakan kesejahteraan mereka agar rohnya tenang menghadap Illahi.

Al-Fatihah buat Allahyarham Ust Rizal.

~ Abu Fawwaz ~ Mesir ~

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...