Imtihan usai sahaja berlalu, dalam tempoh 3 minggu lebih ini berbagai ragam dan ‘aksi’ yang dapat kita saksikan samada di rumah mahupun di kuliah. Jika dirakam ‘aksi-aksi’ tersebut, pastinya kelihatan melucukan dan mencuit hati (hehe). Walau apa pun, saya serahkan segala-galanya kepada Allah untuk menentukan keputusan imtihan yang akan keluar tidak lama lagi. Saya akan pasrah menerimanya walau apa jua keputusan yang akan dihadapi. Pastinya perasaan ini berdebar-debar.
Imtihan adalah medan sebenar. Masing-masing mengejar kejayaan dan menuntut kepada “kemenangan”. Saban waktu, kita berhempas pulas dan sanggup berkorban demi mengejar sebuah cita-cita. Bukan sahaja untuk diri, keluarga dan masyarakat. Bahkan demi untuk Islam itu sendiri. Seringkali kita terdengar, “kejayaan kita adalah kejayaan untuk Islam”. Mengapakah ada ungkapan seumpama ini. Manakan tidaknya, apabila berjayanya kita disini, iaitu di medan “tholibul ilm”. Maka ummah disana akan menunggu-nunggu kepulangan kita. Kehadiran kita dalam masyarakat bukan sahaja untuk menyelesaikan permasalahan seputar hukum hakam yang berlaku disekitar masyarakat. Namun, kehadiran kita adalah untuk membawa satu perubahan yang segar. Perubahan untuk memudahkan masyarakat dan menerima tuntutan Islam yang sebenar.
Berilmu sahaja tidak mencukupi, ia perlu disempurnakan dengan proses kefahaman yang jitu. Kefahaman adalah salah satu faktor penting sehingga mengunggulkan Nabi Allah Daud dan Sulaiman berdasarkan kepada faktor kefahaman sekalipun kedua-duanya dianugerahkan kebijaksanaan dan ilmu. Ramai orang dikurniakan ilmu oleh Allah SWT. Mereka hebat memperkatakan tentang hukum Islam, namun masih lagi memperjuangkan sekularisasi, liberalisasi, pemikiran-pemikiran yang sesat dan sebagainya yang dibawa oleh barat. Ada juga mereka yang dikurniakan ilmu, tetapi masih lagi dangkal dalam membuat andaian dan memberikan hukum yang mengikut hawa nafsu semata-mata. Bahkan juga, sikap suka membidaahkan amalan orang lain dan melampau-lampau dalam urusan agama menjadi ummah hari ini sudah “letih” dan kian lemah. Oh, apakah sudah jadi dengan ummat hari ini. Dimanakah kita??
Amanah ilmu yang dikurniakan kepada kita, mesti dijagainya dengan baik. Bahkan mesti dibajai dengan kefahaman yang mendalam serta dipraktikkan dengan amalan. Sesungguhnya amalan tersebut merupakan buah kepada ilmu. Begitu juga dengan akhlak, bagaimanakah akhlak kita sebagai seorang penuntut ilmu. Semestinya, apabila kita sudah diberikan “kepandaian” oleh Allah SWT, menjadi satu kewajipan untuk kita bertawadduk (bukan buat-buat tawaduk) dan merasa rendah diri dengan ilmu tersebut. Bukannya mendabik dada dengan ilmu tersebut sehingga sanggup mencerca dan ada yang cuba untuk merendahkan martabat para alim ulama’ yang lain. Namun, inilah realiti yang berlaku di dalam masyarakat diluar sana. Lebih menyedihkan lagi, ada dikalangan kita yang baru sahaja hendak mengenali ilmu-ilmu yang ada didalam Al-Quran dan Hadis, namun sudah pandai untuk tunjuk lagak dan buat-buat pandai bahawa kitalah yang mahir dan hebat dalam ilmu tersebut sehingga sanggup untuk memperlekehkan amalan orang lain dan mencerca para alim ulama’. Apakah kalian ini tidak letih mengungkapkan kalimah syirik, bidaah, sesat, kufur kepada orang lain. Mungkin, suasana ini kita tidak jumpa dalam masyarakat Al-Azhar, namun saya banyak melayari forum-forum di internet. Dan inilah situasi yang berlaku sehingga ada yang sanggup berbalah dan bermati-matian mempertahankan pendapat sendiri walaupun ianya tidak betul dan salah.
Beramanahlah kita dalam berilmu, peliharalah ukhwah. Jangan sibuk memanjang dan berjela-jela membincangkan isu-isu seperti ini. Berdebat sana sini, tapi sembahyang jemaah di masjid pun tidak dijaga, walaupun kita sebagai manusia sering culas sembahyang berjemaah di masjid, tetapi berusahalah kearah itu (peringatan untuk diriku juga). Ingatlah tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu, tugas kita sangatlah besar dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran ini. Dan yang paling penting, buat dan lakukanlah apa yang kita perkatakan kepada orang lain. Yang pastinya, masyarakat diluar sana sangat memerlukan insan-insan dan para pendaie yang benar-benar ikhlas untuk terjun ke medan yang sebenar.
Wallahu Ta’ala A’lam Bissowab