“Alhamdulillah, exam dah selesai..”
Hati saya berbisik sambil menarik nafas lega, namun perasaan saya masih lagi gusar dan bimbang kerana persediaan study saya pada imtihan kali ini tidak seperti tahun sudah. Tahun ini saya diuji dengan berbagai ujian dan cubaan. Mungkin disana ada hikmahnya yang tersembunyi. Wallahu A’lam.. Saya pun tidak mengerti. Namun, terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahabat yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan kepada saya khususnya ahli bait, rakan-rakan seperjuangan, serta mereka yang memahami dan mengerti. Ya, kita bukan buat kerja Islam ini berseorangan diri, tetapi kita buat kerja-kerja Islam ini secara berjemaah. Jazakumullah, semoga kalian berada dibawah lindungan Allah SWT.
Bagi saya ujian yang dihadapi oleh saya dan rakan-rakan seperjuangan pada hari ini tersangatlah kecil jika nak dibandingkan mereka yang memimpin organisasi-organisasi yang besar seperti gerakan Islam, misalnya lihatlah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dimana seluruh kehidupannya diserahkan sebulatnya kepada Islam. Mereka memperhambakan dirinya semata-mata untuk Islam. Mereka sentiasa thabat dalam menghadapi mehnah, cubaan, fitnah dalam jalan dakwah walau begitu hebat tribulasi yang dihadapi oleh mereka. Masya-Allah, begitu hebat tokoh-tokoh ini.
Namun, secara tuntasnya kita bukanlah memimpin parti politik seperti mereka. Kita hanyalah memimpin sebuah badan persatuan kebajikan. Persatuan yang membawa dakwah, tarbiyah, thaqafah, akademik, kebajikan kepada sahabat-sahabat disekelilingi kita. Semuanya untuk melatih kita menjadi seorang mahasiswa yang berketrampilan dan pandai dalam ilmu pengurusan tanpa kita mengabaikan pelajaran yang menjadi tujuan utama kita berada di alam kampus.
Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ ڪَآفَّةً۬ۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٍ۬ مِّنۡہُمۡ طَآٮِٕفَةٌ۬ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡہِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (Surah At-Taubah : 122)Intisari ayat ini menyeru kita selaku orang-orang mukmin agar menjalankan 2 tanggungjawab kita iaitu memperdalami ilmu agama dengan bersungguh-sungguh dan pulang ke masyarakat suatu hari nanti agar memberikan peringatan. Nah, kesemuanya memerlukan kepada kita supaya memperdalami ilmu agama disamping yang sama supaya melibatkan diri dengan amal jamaie dan amal ijtimaie. Tugas ini bukan diletakkan kepada mereka yang bergelar golongan agamawan sahaja, tetapi tugas ini terletak dipundak semua mereka yang mengungkapkan kalimah “LAILAHAILLAH”. Tidak kiralah apa bidang yang diceburi oleh kita sekalipun, namun tanggungjawab memberikan peringatan kepada masyarakat adalah tugas kita semua.
Us Taufiq, Us Bustamam, Us Aizat(sahabat saya semenjak dari tingkatan 1), Saya, Us Amir, Us Solihin, Us Murshid(duduk)
Pentingnya seseorang itu berada dialam kampus agar melibatkan diri dengan amal jamaie dan amal ijtimaie agar kita dapat hidup secara berjemaah dan bermasyarakat. Di dalam ini juga kita dapat mempelajari skill dakwah dan berkomunikasi sesama muslim dengan baik. Kita juga dapat mempelajari dan memahami keadaan dan waqie’ disekeliling kita. Ya, suasana yang berbagai yang kita alami pada hari ini menyebabkan kita dapat memahami dan mengerti masyarakat disekeliling kita suatu hari nanti. Kita perlu pandai menguasai suasana, bukan suasana yang menguasai kita.
Tidak semestinya mereka yang melibatkan diri dengan amal jamaie dan amal ijtimaie dikalangan mereka yang memegang jawatan dalam persatuan, ramai orang yang beranggapan sebegini… bahkan sebenarnya kepentingan melibatkan diri dengan amal jamaie dan amal ijtamie dengan kita menjadi penyokong dan pendokong. Ya! Bukan menyokong membuta tuli, tetapi atas dasar ilmu dan kefahaman kita yang jelas.
Amal ijtimaie dan amal jamaie adalah wasilah dakwah kita. Tanpanya, tarbiyah kita akan tempang. Matlamat dan hadaf kita mestilah jelas agar gerak kerja dakwah kita tidak kucar kacir. Saluran terbaik kita dalam menjalankan dakwah mestilah kita mengikatkan diri dengan jemaah, bukan kita bergerak seorang diri ataupun kita melakukan amal kebajikan semata-mata inginkan mengejar pangkat, nama, kemasyhuran, duit dan sebagainya. Mulakanlah setiap gerak kerja dan langkah kita dengan keFAHAMan dan keIKHLASan disamping semangat kita yang membara dalam tarbawi amal Islami.
Semoga usaha kita dalam melakukan amal Islami diganjarkan Tuhan dengan timbangan yang berat di padang masyhar nanti.