Allahu Akbar... Cukuplah dengan gambar ini sahaja menggambarkan kesakitan yang dialami oleh Tuan Pengerusi kita ini. (Kalau anda tidak boleh melihatnya, sila jangan tengok) Mampu lagi tersengih ketika sakit.... BENARLAH kata orang, hidup ini adalah ujian. Orang beriman akan diuji dengan bermacam-macam ujian. Kadang-kadang ujian itu datang untuk menghapuskan dosa seseorang. Dan kadang-kadang ujian itu datang untuk mengangkat martabat seseorang sebagai hamba. Jika ianya bersabar, ganjarannya adalah pahala dan syurga Allah SWT.
Baru-baru ini, ada seorang teman ditimpa musibah kecelakaan jalan raya. Namun, alhamdulillah segalanya puji dan syukur kepada Allah SWT dipanjatkan. Semestinya pujian itu kembali Allah jua kerana menyelamatkan sahabat saya yang merupakan ahli bait. Beliau yang merupakan Pengerusi DPMZ menaiki sebuah motor bersama seorang teman dari Selangor terlanggar sebuah lubang besar dalam perjalanan menuju ke Nadi Riadi untuk memberikan sokongan kepada pasukan Zagazig di dalam Futsal Piala Presiden PMRAM. Walaupun, kemalangan itu bukanlah satu kemalangan yang besar tetapi bila mana namanya kecelakaan di jalan raya pastinya ia akan melibatkan nyawa seseorang.
Ketika saya mendapat panggilan tempohari, hati saya menjadi berdebar-debar.Ingatan saya terus teringat kepada Allahyarham Pakcik Yahya, Allahyarham Onn, dan Allahyarham Ustaz Fauzi. Hati saya terus beristighfar. Tidak putus-putus saya mendoakan kesejahteraan dan keselamatan sahabat serumah saya Ustaz Hanif. Sejurus kemudian, saya menghubungi teman yang berada di hospital untuk mendapat maklumat lanjut. Alhamdulillah, segalanya selamat. Kini beliau sudah beransur pulih.
Saya mendoakan supaya Ustaz Hanif agar cepat sembuh untuk meneruskan gerak kerja Islam di bumi Zagazig. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan kepadanya dalam menghadapi ujian ini. Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan Tuan Pengerusi kita.