Tuesday, March 02, 2010

Dimana Kan Ku Cari Ganti!

Segalanya kini menjadi kenangan yang paling pahit dalam hidup...


SETIAP ujian dan musibah mempunyai hikmah yang tersembunyi. Sebagai muslim, kita hendaklah percaya di atas ketentuan Qada’ & Qadhar Allah SWT ke atas diri kita. Itulah suratan dan siratan yang kadang-kadang kita sendiri tidak tahu apakah hikmah yang sebenarnya dan sebab mengapakah Allah menguji kita.

Saya mengurung kesedihan yang amat sangat apabila laptop kesayangan saya berjenama Compaq hilang. Bukan itu sahaja, nilai gambar-gambar kenangan semenjak saya menjejakkan kaki ke bumi anbiya’ 5 tahun dahulu lalu membuatkan hati luruh tak terkata. Ianya benar-benar menggigit jiwa dan perasaan saya. Tragis!

Segala yang berlaku masih jelas diingatan, saya tidak mahu mengisahkan kembali kisah duka yang berlaku itu. Biarkan ia menjadi kenangan yang paling pahit didalam lipatan kehidupan saya. Jauh disudut hati, rasa kesal, geram, sakit hati dan marah saya membara bila mengenangkan kembali detik hitam itu berlaku. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui betapa dukanya saya ketika itu. Hakikatnya, saya terpaksa menerima segalanya dan memujuk diri saya sendiri untuk melupakannya. Benar, ibarat mimpi yang menjadi igauan dalam hidup. Ketika kejadian itu, saya tergamam seketika dan tidak menyangka manusia yang saya sangkakan baik rupa-rupanya hati seperti binatang.

Dan yang paling tidak disangka dan mengecewakan saya, si pencuri yang mencuri laptop, duit yang bernilai LE 300 dan kad bank saya adalah seorang muslim yang menghafaz Al-Quran 30 Juzuk. Kadang-kadang wajah yang kelihatan jernih belum tentu jernih hatinya. Inilah pengajaran dan iktibar yang saya akan ingat sampai bila-bila. Rupa-rupanya ramai diluar sana manusia yang berhati jahat, bermuka dua dan hipokrit di dalam membina ukhwah. Benarlah kata sahabat saya dahulu, “Di dunia ini, kita tidak perlu hendak berkawan dengan semua orang….dan kita kena ingat bukan semua orang yang hendak berkawan dengan kita...” Kata-kata ini membuatkan saya tersentak dari igauan dan akan membuatkan saya lebih berhati-hati lagi dalam mempercayai manusia.

Wajah si pencuri itu masih segar di kotak ingatan saya. Bila difikir semula, kalaulah saya dapat si pencuri ketika itu juga memang nahas saya kerjakannya. Lima bulan laptop itu bersama saya, saya akan ‘gendong’ bersama jika ada mesyuarat dan pengisian di luar. Ianya diterbangkan dari Malaysia ke Mesir, dibawa oleh teman dari pelajar Perubatan. Dalam keadaan bersusah payah sahabat saya mencari dan membelinya dengan wang yang dikirimkan oleh ibunda tercinta setelah komputer lama saya rosak. Akhirnya, ia hilang sekelip mata sahaja. Sungguh pantas peristiwa itu berlaku.

Laptop itulah merupakan teman sejati saya, kerana di dalamnya terdapat memori suka dan duka saya. Kini segalanya telah menyimpan nostalgia yang penuh duka. Gambar-gambar kenangan itu ibarat seperti nyawa saya, bila ianya hilang maka hilanglah separuh daripada hidup saya. Meskipun telah hilang, namun memori kenangan itu tetap hidup dalam diri saya.

Saya kini bagaikan trauma apabila melihat laptop jenis Compaq. Trauma dengan bumi Iskandariah, terasa bagaikan tidak mahu lagi menjejakkan kaki kesana. Trauma dengan manusia yang berwajah dua dan hipokrit, moga dijauhkan dengan manusia-manusia seperti ini. Ya Allah! Gantikanlah kehilangan ini dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.

2 comments:

si para para said...

teruskan bersabar...pasti DIA akan mengantikan yang lebih baik untuk saudara...

ustazah said...

Moga tabah hadapi ujian ini..

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...