Sunday, June 17, 2007

Aku Futur ?

Sudah sekian lama saya tidak mengupdatekan blog ini.Mungkin disebabkan waktu yang tidak mengizinkan untuk saya memperkatakan sesuatu.Tetapi,kali ini saya ingin meluahkan sesuatu yang sudah lama saya pendamkan dalam hati.Sememangnya manusia tidak dapat lari dari masalah.Masalah merupakan satu mehnah dan ujian daripada Allah.Manusia akan sentiasa diuji oleh Allah.Orang mukmin menganggap ujian itu merupakan satu nikmat daripada Allah.Manakala,orang yang fasiq dan tidak beriman pula menganggap ujian itu merupakan satu bebanan yang menyusahkan.Hari ini sahaja,berapa ramai dikalangan kita yang tergelincir daripada bebanan masalah.Masalah yang sentiasa menghurung jiwa,menjadikan seseorang itu lemah,putus asa, dan tidak berdaya mengharungi kehidupan.Sebagai hamba Allah,mahu tidak mahu kita mesti meneruskan agenda kehidupan.Kehidupan di dunia ini merupakan satu anugerah daripada Allah.Segala amalan kita di dunia ini akan dihitung oleh Allah di akhirat kelak.Tetapi,berapa ramaikah dikalangan kita yang ingin mengejar amalan kebaikan?Usah jangan kerana kita dibebani masalah,kita meninggalkan kerja-kerja Islam dan dakwah.Cuba tanya diri,sejauh manakah hubungan kita dengan Allah apabila kita berhadapan dengan masalah.Sudah cukupkah uzubah ar-ruhaniyyah dalam diri kita?Kadang-kadang saya pelik,golongan yang tercicir dari jalan dakwah apabila ditanyakan soalan yang menyebabkannya jadi lemah dan lari daripada perjuangan Islam,rupa-rupanya apabila dikaji dan disoal…Jawapannya cukup mudah…Hanya kerana dibebani masalah peribadi dan keluarga. Logikkah sebagai seorang yang bergelar pendakwah,mencampur adukkan masalah peribadi dengan masalah ummah.Inilah,yang menyebabkan kerja-kerja dakwah hari ini terbantut.Usah kita marah kepada masyarakat kerana tidak mahu menerima Islam.Tapi,di manakah kita dalam permasalahan ummah.Hanya sekadar goyang kaki sahaja.Malas untuk memikirkan masalah yang terjadi pada ummah disebabkan dengan hanya masalah peribadi yang melanda diri.

Memang tidak syak lagi,sikap futur atau putus asa dalam hidup merupakan faktor utama kemusnahan kehidupan seseorang individu dan masyarakat.Putus asa tidak boleh dipandang enteng dan tidak boleh sesekali dipandang baik atau mempunyai hikmah.Begitu juga dengan perasaan “punya harapan” tidak boleh dipandang remeh.Harapan yang dimaksudkan jangan meletakkannya dibawah kongkongan perasaan tetapi mesti disamakan dengan akal dan takdir.Dalam hal sedemikan,kita hendaklah merasakan setiap yang susah mahupun senang itu,semuanya itu daripada Allah.Allah mahu menaikkan martabat kita sebagai hambaNya.Bukan mudah untuk menjadi hamba kepada Pencipta dunia ini.Ianya memerlukan pengorbanan yang tinggi dalam diri.Pengorbanan dari segenap segi dan suasana.Ya! Pengorbanan yang diwariskan oleh pejuang-pejuang agama Allah yang terlebih dahulu menyahut seruanNya.Iaitu seruan jihad.Nabi tidak mewariskan kepada kita dengan harta sebagaimana yang berlaku kepada Qarun.Akan tetapi sebaliknya,nabi hanya mewariskan ilmu kepada para ulama’. Dalam ilmu itu jugalah kita mempelajari jihad.Dan juga hanya dengan jihad dan ilmu sahaja menjadikan ummat Nabi Muhammad itu akan berjaya. Bak kata,Syed Qutb..bukan kita yang memulakan dan mengakhiri perjuangan..Tetapi ,kita hanya menyambung rantai perjuangan yang diwariskan oleh Nabi kepada kita.

Sanggupkah kita lihat Islam itu tergadai kerana disebabkan kita sibuk melayan karenah peribadi dan masalah yang kecil melanda kita.Marilah kita bangkit dari ulit lena yang panjang.Lena itu tidak akan puas.Hanya nafsu yang merajainya.Marilah kita meletakkan Islam itu ditempat yang tertinggi.Menjadikan Al-Quran dan Sunnah itu perlembagaan dalam diri kita dengan mengikuti lunas-lunas perjuangan golongan salafussoleh.

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...