Wednesday, October 28, 2009

Tuntutan Desak Kepada Pengarah JPMK


Didiklah Hati


Abd Qadir Jailani berpendapat bahawa manusia terbahagi kepada 4 bahagian:-

Manusia yang tidak mempunyai ucapan dan hati, mereka ini sangat suka berbuat maksiat, menipu serta tolol. Mereka ini harus kita berhati-hati, janganlah bergaul dengannya, kerana mereka adalah orang-orang yang bakal diseksa.

Manusia yang mempunyai lidah namun tidak mempunyai hati. Manusia ini perkataannya penuh berisi hikmah dan ilmu akan tetapi tidak mengamalkannya, ia mengajak manusia supaya taat kepada Allah, akan tetapi ia sendiri mengingkarinya. Manusia seperti ini hendaklah dijauhi supaya kita tidak terpedaya oleh ucapan lidahnya sehingga tidak ikut serta untuk berbuat maksiat dan tidak terkena bau busuk hatinya.

Manusia yang mempunyai hati, akan tetapi tidak mempunyai lidah. Mereka ini adalah orang Mukmin yang dirahsiakan Allah dari pengetahuan makhlukNya, Allah memelihara aib dirinya, hatinya mendapat pancaran cahaya Illahi, sehingga ia tahu bahaya atau akibat bergaul dengan sesama manusia yang mempunyai ucapan yang kotor. Mereka ini adalah termasuk golongan wali-wali Allah, yang sentiasa dipelihara dalam lindungan Allah SWT serta memiliki segala kebaikan. Maka bergaullah dengan mereka, nescaya kamu akan dicintai oleh Allah SWT.

Manusia yang belajar, mengajar dan mengamalkan ilmunya. Mereka ini adalah orang mempunyai pengetahuan tentang Allah SWT serta ayat-ayatNya. Allah menganugerahkan ilmu-ilmu yang luar biasa kepadanya dan Allah memberikan kelapangan dadanya untuk menerima ilmu-ilmu itu. Terhadap manusia ini, hendaklah kamu takut berbuat salah dengannya, menjauhinya dan menerima nasihat-nasihat yang diberikannya.

Dari Hati Pejuang

"Madah Tarbiyah Melayari Perjuangan", hanya tinggal kenangan...


Terasa begitu berat sekali untuk mengubah sesuatu perkara. Saya mengambil terlalu lama untuk berfikir bagi mengubah template blog ini. Hari ini blog saya sudah berubah wajah. Hampir 2 tahun dengan warna hitam dihiasi warna kuning.

Namun hari ini, saya berani mengambil keputusan untuk mengubahnya. Walaupun agak sukar untuk membuat keputusan, tetapi saya cuba untuk memberanikan diri. Rupa-rupanya bukan mudah untuk kita meninggalkan sesuatu yang kita benar-benar sayang. Ya, blog pada hari ini adalah sebahagian daripada kehidupan saya. Dengan ber'blog'lah kita menyatakan isi hati kita.

Saya ingin belajar untuk menjadi penulis produktif, kerana saya ingin menjadikan menulis adalah sebuah habit (kebiasaan) bukan potensi. Saya tersentuh dengan kata-kata "Sebaik-baik manusia adalah memberikan manfaat kepada orang lain".

Saya berharap dengan wajah baharu ini, semangat saya pun baharu. Tajdid..

Semoga dengan usaha yang secicip ini, akan bermanfaat buat ummah hari ini.

Thursday, October 15, 2009

Hebatkan Ujian Dari Allah Untuk PMRAM


MESKIPUN PMRAM pada hari ini menerima tekanan yang cukup hebat dari pelbagai pihak, namun kesatuan PMRAM cukup utuh dan ampuh dalam menghadapi sebarang tekanan dan ancaman dari luar. Moga-moga Allah memelihara PMRAM sebagaimana Allah memelihara Baitul Ka'abah, sesungguhnya cubaan untuk menghancurkan kesatuan ini akan dibalas dengan azab yang sangat dahsyat di akhirat kelak. Saya mendoakan juak-juak yang cuba menghancurkan PMRAM akan diberikan hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT.

Entri ini ditulis kerana penulis sangat kesal dan sedih dengan tindakan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) yang cuba mengagalkan program Majlis Pembacaan Kutub Sittab Bersama Masyaikh Al-Azhar di Azhar Conference Center pada 17hb-20hb Oktober ini. Sama-samalah kita mendoakan serta melakukan solat hajat supaya program tersebut akan berjalan dengan baik.

Ya Allah!! Demi KasihMu.. Demi CintaMu..
Letakkanlah kami di golongan orang-orang yang ikhlas membantu agamaMu. Berilah petunjuk kepada kami dalam menghadapi mehnah dakwah ini. Sesungguhnya kami tidak berdaya dan lemah..
Kuatkanlah dan satukanlah hati-hati kami dalam memikul beban dakwah ini.. Maha suciMu Ya Allah...
Lindungilah kami dari golongan orang-orang yang zalim terhadap agamaMu..

Syeikh al-Mutawalli Sya'rowi: Kealiman Yang Dikagumi, Kematian Yang Ditangisi

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Umat Islam hari ini terkejut dan tersentak apabila seorang Imam yang memperjuangkan Islam sehingga digelar sebagai "Lampu Kebenaran" telah meninggal dunia ketika berurnur 87 tahun. Beliau adalah Syeikh al-Mutawalli Sya'rowi yang dilahirkan pada 19 April 1911 M di Mayyit Ghemar, Daqohliah.

Beliau menghabiskan hidupnya dengan memperjuangkan kalimah Allah SWT, menerangkan Islam dengan kefahaman yang sahih, menafsirkan al-Quran dengan uslub yang tiada bandingnya hingga mampu menarik pendengar. Beliau telah mendapat syahadah tertinggi dari kuliah Lughah Arabiah pada tahun 1941 M dan Syahadah 'Alimiyyah dengan kebenaran mengajar pada tahun 1943.

Syeikh al-Mutawalli Sya'rowi pernah bertugas sebagai tenaga pengajar di Ma'ahad Dini Tanta, Ma'ahad Iskandariah dan Ma'ahad Zaqaziq, seterusnya dipanggil oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengajar di sana pada tahun 1950. Beliau berhijrah ke Universiti al-Malik Abdul Aziz al-Mukarramah sebagai pensyarah di Kuliah Syariah selama 10 tahun. Kemudian, dilantik sebagai Timbalan Mudir di Ma'ahad Tanta pada 1960 dan dinaikkan pangkat sehingga akhirnya menjadi Menteri Waqaf dan Kementerian Hal Ehwal Azhar pada tahun 1976. Beliau juga merupakan anggota Majma' Bu'uth al-Islamiyyah, anggota Majlis Syura dan juga Majma' Lughah 'Arabiyyah.

Sejak kecil lagi beliau dikenali dengan nama as-Syeikh al-Amin (yang amanah) dan pernah dipenjara ketika beliau menuntut di Ma'had Zaqaziq selama sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul, seorang ulama al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan.

HIKMAH ANUGERAH ALLAH

Beliau telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan ilmu yang tinggi, ingatan yang kuat serta peribadi yang sempurna. Sewaktu beliau menjawat Menteri Waqaf Mesir, seorang doktor pernah berkata : "Aku himbang apabila kamu menjawat jawatan ini, ia akan menyibukkan kamu dalam banyak perkara". Lalu Syeikh Sya'rowi menyatakan : "Bertenang! Sesungguknya mereka (kesibukan) tidak akan dapat menewaskan aku."

Syeikh Sya'rowi menjadi Menteri Waqaf Mesir selama 2 tahun, walaupun demikian, jawatan tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah dan menafqahkan gaji yang diperolehi kepada pelajar-pelajar dan orang-orang faqir. Beliau juga amat cinta kepada kaum keluarga Nabi SAW. Beliau lebih gemar tinggal berhampiran dengan kawasan Hussain dan sentiasa menziarahi maqam Saiyyidah Nafisah serta sentiasa menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Masjid Hussain.

Syeikh Sya'rowi juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Salah seorang anaknya, Ahmad berkata bahawa ayahnya telah mengkhaskan gaji kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan Doqdus (kampung beliau). Beliau juga mengkhaskan bayaran ceramah di radio-radio dan televisyen serta tulisan-tulisan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah untuk kebajikan. Wang 250 juta Pound Mesir (lebih kurang 73 juta Us Dollar) yang merupakan hadiah daripada Raja Dubai telah didermakan sebanyak 500,000 Junaih (lebih kurang 146,000 Us Dollar) kepada pelajar-pelajar al-Azhar dan yang selebihnya telah didermakan kepada Kementerian Waqaf bagi diedarkan kepada penghafaz-penghafaz al-Quran.

SAAT KEMATIAN

Sebelum Syeikh Sya'rawi rneninggal dunia, beliau mengalami kesakitan yang parah pada dadanya menyebabkan beliau tidak mampu untuk hernafas dengan baik dan sakit tulang. Anak saudaranya yang bernama Hajah Suad menyatakan bahawa sewaktu hampir saat kematian, beliau cuba untuk bangun dan berteriak dengan suara yang jelas sehingga didengari oleh orang yang berada di sekelilingnya, "Selamat datang wahai Hussain ! Kamu telah datang sendiri berjumpa aku, aku gcmbira dengan kedatanganmu". Kemudiannya, beliau melafazkan ucapan hamdallah lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Jenazah beliau telah dikebumikan di kampungnya iaitu Doqdus berdasarkan wasiat beliau sendiri. Jenazahnya telah dihawa oleh anak-anak muridnya, penduduk kampung serta semua pencinta beliau. Hampir sejuta orang telah menghadiri pengkebumian beliau.

Tuesday, October 13, 2009

7 Pelajar Malaysia Terlibat Kemalangan Dalam Perjalanan Dari Zaqaziq Ke Kaherah

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Zaqaziq
, 12 Oktober - Satu kemalangan jalan raya yang melibatkan 7 orang pelajar Malaysia telah berlaku malam tadi di Lebuhraya Bilbis - Kaherah antara lori pengangkut barang (trailer) dan mikrobas. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.45 malam hingga 7.00 malam itu berlaku pada malam semalam bersamaan dengan 11 Oktober 2009. Kemalangan yang membabitkan 4 orang pelajar jurusan Perubatan dan 3 orang penuntut di jurusan Pengajian Islam itu adalah mereka yang sedang menuntut di universiti-universiti di sekitar Zaqaziq. Kejadian itu berlaku disebabkan oleh pemandu mikrobas itu yang mahu mengelak bahagian belakang lori yang tiba-tiba muncul kerana pemandu mikrobas itu tidak memasang lampu kenderaan dan ditambah pula dengan keadaan lebuhraya yang gelap tiada lampu. Para pelajar Malaysia yang terlibat di dalam kemalangan tersebut adalah seperti berikut:

1. Mohd Al Hidayat B. Khalid [Pengajian Islam]- Stabil, masih menerima rawatan di Hospital Hamdi Syed dibenarkan pulang slepas sehari menerima rawatan. Kos perkhidmatan di wad
tersebut hampir LE 300.

2. Abd. Hadi B. Mohd Zuki [Perubatan - Kedah] -Patah Kaki Kanan dan cedera kaki kiri, masih menerima rawatan di Hospital Hamdi Syed dan dibenarkan pulang sehari selepas menerima rawatan. Kos rawatan dianggar LE 800.

3. Anas Zarif B. Haron [Pengajian Islam - Perak] - Stabil dan badan masih lemah, masih menerima rawatan di Hospital Hamdi Syed, dibenarkan pulang sehari selepas menerima rawatan. Kos rawatan dianggarkan LE 300.

4. Syamsul Bakri B. Osman [Perubatan - Kedah] - Menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti, namun beliau belum menerima rawatan penuh dari semalam sehingga rakan-rakannya mendesak pihak hospital untuk bertindak merawat beliau dengan segara, kira-kira jam 10.45 pagi tadi, beliau menerima rawatan selanjutnya dari pihak hospital. Kos rawatan masih tidak dapat dinyatakan lagi

5. Abd Hakim B. Suhimin [Perubatan - ] - Stabil, tidak mengalami kecederaan dan beliau berada di rumahnya serta dinasihatkan untuk berehat secukupnya.

6. Wan Zaimu Azmer B. Wan Abu Bakar [Perubatan - Terengganu] - Stabil, tidak mengalami kecederaan dan beliau berada di rumah serta dinasihatkan untuk berehat secukupnya.

7. Salehuddin B. Mohd Jahar - [Pengajian Islam - Selangor] - Stabil dan cedera ringan, beliau berada di rumah dan dinasihatkan berehat secukupnya.

Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), telah menghantar wakil Badan Pengurus untuk melawat keadaan mangsa. Rombongan yang diketuai oleh Saudara Nik Rosdi bin Nik Jusoh selaku Naib Presiden 2 PMRAM juga merangkap Ketua Lajnah Muhafazah, diiringi oleh 3 lagi Badan Pengurus PMRAM iaitu Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman, Naib Presiden 3 PMRAM, Saudara Mohd Farkhan bin Md. Zain, Ketua Badan Pengetahuan Dan Penyelidikan PMRAM dan Saudara Mohd Azlan bin Alias, Ketua Badan Ekonomi PMRAM. Saudara Hanafi bin Zulkapli selaku Penasihat PMRAM juga turut serta dalam rombongan tersebut.

PMRAM mendoakan agar semua mangsa dalam keadaan stabil dan dapat kembali hidup seperti biasa dan sentiasa bersemangat dalam menjalani kehidupan di Mesir ini. PMRAM juga menasihatkan kepada seluruh mahasiswa Malaysia tidak kira jurusan Pengajian Islam ataupun Perubatan, agar dapat berhati-hati ketika menaiki kenderaan awam.

____________________________________________________________________

Semoga Allah menyembuhkan semua sahabat-sahabatku dan diberikan ganjaran pahala yang tinggi. Sebak rasanya melihat kesakitan yang dialami oleh mereka, moga-moga setiap kesakitan diberikan akan dibalas dengan ganjaran yang tak ternilai tingginya.

Wahai para mujahid Islam : bersabarlah...dan tetaplah dalam kesabaran..

Sunday, October 11, 2009

Sejarah 1000 Tahun Kegemilangan Al-Azhar

Sumber : Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig

Universiti Al-Azhar As-Syarif merupakan sebuah institusi pendidikan terulung di Mesir, dan terkenal di dunia sebagai puast kesarjanaan dan pendidikan.Ia merupakan universiti kedua tertua di dunia selepas Universiti Al-Qarawiyin di Fes, Maghribi. 969M merupakan satu tarikh agung bagi Mesir apabila Kaherah dibuka dengan rasminya dan menjadi ibu negara Mesir sehingga kini. Khalifah kerajaan Fatimiyyah iaitu Khalifah Al-Aziz Billah telah berkenan untuk menubuhkan universiti ini. Kerja pembinaan masjid Al-Azhar telah mula dijalankan pada 4 April 970M bersamaan 24 Jamadil Awwal 359H oleh panglima Fatimiyyah, Jauhar As-Saqoli. Pembinaan selesai pada hari Jumaat, 22 Jun 972M/7 Ramadhan 361H dan solat Jumaat pertama telah diadakan pada tarikh tersebut. Pada 378H/988M seorang wali kerajaan Abbasiyyah di Mesir, Ya`kub Bin Kals telah mencadangkan supaya Masjid Al-Azhar dijadikan institusi pengajian.Al-Azhar pada mulanya ialah pusat pengajian bagi mazhab Syiah kerana pemerintah Fatimiyyah pada ketika itu menjadikan Syiah Ismailiyyah sebagai mazhab rasmi negara.

Akan tetapi setelah Dinasti Ayyubiyah mengambil alih tampuk pemerintahan Mesir, rajanya iaitu Sultan Salahuddin Al-Ayyubi menukar Al-Azhar menjadi pusat pengajian bagi mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah sehingga menghapuskan ajaran Syiah. Beliau juga telah meneroka ilmu-ilmu naqli seperti tafsir, fiqh, hadis, ilmu kalam, bahasa Arab dan sastera di samping ilmu aqli seperti sejarah, falsafah, perubatan dan lain-lain lagi.

Al-Azhar telah mengalami banyak perubahan akibat daripada pertukaran kerajaan pemerintah di bumi Mesir serta menyesuaikan diri dengan perubahan dan zaman dan kemaslahatan umat Islam.Kerajaan Uthmaniyyah memerintah Mesir pada 1517M setelah berjaya menewaskan tentera kerajaan Mamalik dalam pertempuran "Maraj Dabik" di Halab, Syria.Sultan Salim telah membawa pulang bersamanya kitab serta ilmu berharga dari Maktabah Jami` Al-Azhar ke pusat pemerintahannya untuk memajukan negaranya. Golongan Basya juga datang dari Turki ke Mesir. Mereka merupakan golongan ulama yang alim serta wara` dan kedatangan mereka menambahkan kemajuan ilmu di Jami` Al-Azhar.

Pada abad ke-17, Khalifah Uthmaniyyah telah memberikan gelaran As-Syeikh Jami` Al-Azhar iaitu gelaran yang digunakan untuk ketua Jami` Al-Azhar dan masih digunakan sehingga kini.Pada 1961M, Presiden Mesir Jamal Abdul Nasser telah menambah beberapa fakulti ke universiti ini iaitu fakulti perubatan, kejuruteraan dan pertanian serta membuka fakulti untuk wanita Islam.Al-Azhar juga mempunyai maahadnya iaitu Maahad Buuth.Al-Azhar telah berjaya meneruskan kegemilangan Ilmuwan Islam pada zaman Dinasti Mamalik setelah pusat ilmu di kota Baghdad dimusnahkan oleh tentera Mongol yang diketuai oleh Hulagu Khan pada abad ke-13 sehingga zaman kini. Al-Azhar juga berperanan menentang penjajahan Perancis ke atas Mesir (1797-1800) dengan ulamanya membangkitkan semangat jihad rakyat Mesir dan berhasil menewaskan kuffar Perancis.

Al-Azhar juga telah melahirkan tokoh-tokoh masyhur yang menjadi ilmuwan serta pendokong perjuangan gerakan Islam seperti Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Hassan Al-Banna, Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dan ramai lagi serta tokoh-tokoh Nusantara seperti Kaum Muda yang membangkitkan idea semangat jihad menentang penjajahan kuffar iaitu Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki, Syeikh Juned Tola, Syeikh Idris Al-Marbawi dan Syeikh Wan Ahmad Pattani.Al-Azhar juga telah melahirkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam politik tanah air seperti Wan Mokhtar Ahmad, Dr Zulkifli Muhammad, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ibrahim Mahmud, Dato` Abdul Hamid Othman serta ramai lagi. Tokoh-tokoh lepasan Al-Azhar telah memainkan peranan penting di dalam pembinaan masyarakat, sosio-ekonomi, serta memacu negara menuju ke arah yang lebih baik dan mengikut acuan Islam.


Berdasarkan kajian, Universiti Al-Azhar mendapat namanya dengan dinisbahkan kepada puteri Rasulullah SAW iaitu Fatimah Az-Zahra semasa pemerintahan kerajaan Fatimiyyah yang juga menggunakan nama puteri Baginda sebagai nama kerajaan.Al-Azhar telah berjaya memberikan jasa dan bakti yang besar kepada Dunia Islam seluruhnya. Pelajar Al-Azhar kini datang dari seluruh pelusuk dunia semata-mata untuk mencedok ilmu agar ia dapat digunakan untuk membangunkan jiwa umat Islam yang kini menghadapi banyak cabaran serta ancaman dari gerakan Sekularisme, Komunisme, Atheisme, Sosialisme, Nasionalisme, Kristianisasi, Orientalisme serta Freemasonry yang tidak berputus asa untuk berusaha meruntuhkan Islam dan menjauhkan Muslim dari agamanya. Semoga seluruh mahasiswa Mesir dapat menjadi sebahagian dari perjuangan untuk mempertahankan Islam.

Saturday, October 10, 2009

Majlis Pembacaan Kutub Sittah Bersama Masyaikh Al-Azhar

Sahabat-sahabat seperjuangan,

Ayuh kita sama-sama ke "Majlis Pembacaan Kutub Sittah Bersama Masyaikh Al-Azhar" anjuran PMRAM pada 17-20 Oktober 2009, bertempat di Dewan Fustat, Azhar Conference Center (ACC) Kaherah. Semoga kita mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu bersama para alim ulama' dan dapat menambahkan lagi ilmu didada. Insya-Allah..


Thursday, October 08, 2009

Tatapan Wasiat Dr Abdullah Azzam Buat Ummah Hari Ini

Mari kita menghayati wasiat As-Syahid Dr Abdullah Azzam buat tatapan kita. Kita kembalikan semula semangat roh jihad yang semakin terpadam di dalam dada ummat Islam, sungguh bernilai sekali pada ummat Islam hari ini. As-Syahid menyeru:

Wahai kaum MUSLIMIN,

"Kehidupan kalian adalah jihad, kemulian kalian juga terhasil dari jihad dan kewujudan kalian di atas muka bumi ini terikat dengan ikatan yang berpanjangan dengan jihad."

Wahai para PENDAKWAH,

"Tiada harga kalian berpanas di bawah cahaya matahari melainkan jika kalian menyandang senjata bagi menhadapi golongan toghut yang melampau, orang-orang kafir dan orang-orang yang zalim yang semakin bermaharajalela. Sesungguhnya mereka menyangka bahawa agama Allah ini akan tertegak tanpa jihad, tanpa peperangan, tanpa darah dan air mata, maka mereka yang ragu-ragu itu sebenarnya tidak memahami tabiat agama ini.Sesungguhnya kehebatan para dai'e (pendakwah), kekuatan dan keberkesanan dakwah dan kemulian umat Islam tidak akan wujud melainkan dengan melaksanakan jihad pada jalan Allah.Kejarlah kematian kerana ia akan memberikan kehidupan (yang hakiki). Hindarilah diri dari merasa hebat dengan jumlah kitab yang telah dibaca. Janganlah merasa megah dan mencukupi dengan sembahyang-sembahyang sunnat yang kalian telah biasakan itu. Janganlah kalian membiarkan kerja-kerja yang remeh menguasai kalian sedangkan di sana ada tugas yang lebih besar dan lebih sukar."

Wahai para ULAMA',

"Majulah kalian untuk memimpin generasi ini yang amat dahagakan untuk kembali kepada Tuhannya. Jangan kalian terbelenggu atau cenderung kepada dunia. Jauhilah janji manis pemberian dan sogokan serta hidangan toghut (pemerintah) kerana sesungguhnya hidangan dan sogokan tersebut akan menggelapkan hati dan mematikan fikiran serta menjadi benteng yang mengahalang hubungan kalian dengan masyarakat."

Wahai kaum MUSLIMAT,

"Jauhilah kemewahan dunia kerana ia adalah musuh kepada jihad. Ia juga pembinasa diri manusia. Oleh itu janganlah menunjukkan sesuatu yang berlebihan. Cukuplah sekadar keperluan sahaja.Didik dan latihlah anak-anak kalian dengan kegagahan dan kejantanan serta kepahlawanan dan jihad. Jadikanlah rumah-rumah kalian sebagai kandang-kandang singa dan bukannya reban ayam yangmenunggu gemuk untuk disembelih oleh toghut. Tanamkan ke dalam jiwa anak-anak kalian kecintaan kepada jihad, keinginan kepada medan perang dan lapangan yang penuh dengan keributan perang.Hiduplah kalian dengan tidak melupakan penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam. Cubalah sedaya upaya menjadikan sehari dalam seminggu, sekurang-kurangnya, hidup bagaikan mujahidin dengan hanya memakan sekeping roti kering tanpa lauk dan meminum secawan teh tanpa gula."

Wahai PEMUDA,

"Biasakanlah kalian dengan nyanyian dan alunan letupan peluru dan dentuman senjata-senjata berat serta gegap gempita jet-jet pejuang dankereta-kereta kebal. Jauhilah nyanyian-nyanyian yang lembut dan muzik-muzik yang mengasyikkan dengan hamparan permaidani merah."

Wahai ISTERIKU,

"Lazimilah sifat zuhud, nescaya engkau akan dikasihi Allah dan berzuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia (jangan meminta-minta) nescaya engkau akan dikasihi manusia. Ketahuilah bahawa Al-Quran adalah bekalan yang paling berharga serta panduan sepanjang hayat. Seterusnya beribadah pada waktu malam (qiamullail) dan berpuasa serta beristighfar dan bertaubat diwaktu dinihari akan mendatangkan kejernihan pada hati dan kemanisan serta hubungan yang baik dalam beribadah.Ianya juga dapat menghilangkan kecintaan kepada dunia. Adapun menjauhkan diri dari menunjuk-nunjuk dan menjauhkan diri dari golongan yang cintakan dunia, akan mendatangkan ketenangan kepada hati. Akhir sekali, aku sangat-sangat berharap agar Allah menemukan kita di Syurga Firdaus seperti mana Dia menemukan kita di dunia ini."

Adapun kalian ANAK-ANAKKU,

"Sesunguhnya kalian tidak pernah bermesra dengan kumelainkan hanya sebentar sahaja. Terlalu sedikit tarbiyyah yang sempat kuberikan pada kalian. Ya, aku terlalu sibuk dengan urusan jihad daripada tinggal bersama-sama kalian Namun apa yang dapat aku lakukan. Bagaimana aku hendak berseronok bersama kalian sedangkan penderitaan umat Islam amat menyiksakan hingga menyebabkan seseorang ibu melupakan anak yang disusuinya. Kedahsyatan yang menimpa dan menyakiti umat Islam telah mengubankan rambut dikepala kanak-kanak (telah lama berlaku). Demi Allah aku tidak sanggup berperak dan berkurung di dalam sangkar bersama-sama kalian seperti ayam bersama dengan anak-anaknya. Aku tidak mampu hidup dengan menyejukkan diri sedangkan kepanasan api dugaan membakar hati-hati umat Islam. Aku tidak rela tinggal bersama-sama kalian sepanjang masa sedangkan realiti umat Islam kini telah mengoyak-rabak jiwa setiap mereka yang mempunyai hati dan akal yang waras. Benar-benar tidak bermaruah jika aku tinggal bersama-sama kalian dengan limpahan kenikmatan diangkat satu hidangan dan dituruti pula dengan hidangan yang lain (sedangkan umat Islam menderita setiap hari). Dengan ini juga aku berwasiat kepada kalian supaya berpegang teguh dengan aqidahsalafus salih (Ahli Sunnah Wal Jamaah) dan jangan kalian menuruti hawa nafsu. Aku juga berpesan dan berwasiat pada kalian supaya sentiasa membaca Al-Quran, menjaga lidah (kata-kata), qiamullail (beribadah di waktu malam), berpuasa sunat, berkawan baik dan sama-sama bekerja dalam gerakan Islam. Namun begitu ketahuilah bahawa pemimpin gerakan Islam tiada hak menghalang daripada kalian berjihad atau memujuk kalian untuk terus berdakwah yang tidak bercirikan kejantanan dan tiada hubungan dengan jihad"

Saturday, October 03, 2009

Syabab Musafir Kasih


Seusai mengulati sebuah novel Islamik, SYABAB MUSAFIR KASIH saya agak kagum dengan gaya jalan cerita yang cukup membanggakan. Karya kreatif. Kisah perjalanan seorang pemuda yang bernama Syabab yang menghadapi cabaran dan mehnah yang cukup hebat dalam kehidupan mengajarnya tentang erti kematangan hidup. Kesusahan hidup yang dialaminya semenjak kecil mendesaknya supaya hidup berdikari dan bersungguh-sungguh dalam mengejar impian.

Syabab seorang anak yatim, miskin, dan sering dipandang hina oleh orang lain akhirnya menjadi seorang yang cukup hebat dan berguna dalam masyarakat. Watak Syabab, semangatnya kadang-kadang naik turun menyedarkan kita tentang hakikat kehidupan ini begitu mencabar. Novel ini berlatarkan suasana bumi Malaysia dan Syria dengan gaya plot cerita yang cukup mempesonakan sehinggakan menitis air mata apabila membaca dan menghayatinya. Novel ini benar-benar meningkatkan motivasi bagi sesiapa yang membacanya.

SYABAB MUSAFIR KASIH adalah sebuah novel karangan FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN. Penulis novel TAUTAN HATI ini berjaya menampilkan mesej yang cukup berguna buat kita, beliau menyedarkan kita tentang hidup ini adalah untuk 'memberi' dan 'menyumbang' kepada orang lain bukan sekadar untuk diri sendiri.

Syabab,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan berbuah kematangan,

Wahai Syabab...
Ketekunanmu mengoborkan citi-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta gelombang,
Ayuh, SYABAB!

* Novel TAUTAN HATI dan juga SYABAB MUSAFIR KASIH benar-benar menyuntik semangat. Kedua-dua novel ini benar-benar terkesan dalam jiwa saya. Moga-moga Allah jua senantiasa memberikan semangat yang tinggi kepada saya dan kawan-kawan dalam menegakkan Islam.

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...