Sunday, November 28, 2010

PMRAM Membawa Wajah Islam



Kenali & Dekati PMRAM

Facebook PMRAM Pusat Media Baru Menyampaikan Maklumat Dan Penerangan


KAHERAH, 26 Nov - Ogos lalu PMRAM telah membuka media penerangan baru di Facebook, PMRAM Pusat. Selain web PMRAM yang aktif menyampaikan maklumat dan info mengenai PMRAM. PMRAM juga telah membuka jaringan yang lebih meluas untuk mempromosi dan memperkenalkan PMRAM ke seantero dunia.

Meskipun persatuan Melayu yang tertua di Perlembahan Nil dengan usianya 80 tahun, PMRAM masih lagi berdiri teguh bersama dengan anak-anak Melayu Islam di bumi Mesir.

"Facebook merupakan media baru yang mesti diketengahkan, dengan melalui facebook jugalah maklumat serta info tentang PMRAM lebih cepat dan pantas" ujar Ketua Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM, saudara Mohd Faizzudin Ghazali

"Hari ini PMRAM sering diburuk-burukkan oleh pelbagai pihak sebagai persatuan pembangkang dan pengganas sedangkan mereka tidak tahu apa-apa tentang PMRAM, maka medium web dan facebook memainkan peranan penting dalam memberikan penerangan kepada masyarakat di luar sana mengenai PMRAM" tambah beliau.

Sehingga ke hari ini, mereka yang menyertai facebook rasmi PMRAM mencecah 2252 orang yang terdiri daripada mahasiswa Mesir dan masyarakat Malaysia, dan dijangkakan lebih ramai lagi yang akan menyertai facebook PMRAM Pusat.

Selain maklumat disalurkan ke Yahoo Messenger (YM), PMRAM juga menyalurkan maklumat, promosi dan penerangan melalui Youtube PMRAM dengan menggunakan akaun Youtube PMRAM Multimedia Centre (PMC).

Sehingga ke hari ini juga, penyertaan YM rasmi PMRAM pmram30@yahoo.com sudah penuh dan YM PMRAM pmram1930@yahoo.com masih lagi ada kekosongan.

"Di peringkat Badan Penerangan & Penerbitan (BPP) kita sangat mengalu-alukan mereka yang ingin membantu dan melancarkan gerak kerja penerangan PMRAM tidak kira samada berbentuk video, risalah, penulisan, pereka dan sebagainya" ujar Ketua BPP tersebut yang mengharapkan tenaga-tenaga baru untuk diserapkan dalam unit-unit dibawah Penerangan & Penerbitan PMRAM.

Sunday, November 21, 2010

Jihad Melawan Diri Sendiri


Ini merupakan terjemahan dan ringkasan yang telah dibuat daripada Syarah Rukun Jihad karangan Syeikh Dr Abdul Halim Mahmud, Rukun Al-Jihad (Imam Hassan al-Banna)

1. Jihad untuk diri mahu mempelajari agama, mengenal kebenaran, dimana tidak ada kemenangan dan kebahagiaan di dalam kehidupan dunia dan akhirat kecuali dengannya. Dan jika tidak memiliki ilmu, akan mendapat kecelakaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT : oleh itu, maka Tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad) Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadanya bagi salah silap Yang Engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang Yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di Akhirat). (Surah Muhammad : 19)

2. Berjihad agar mahu mengamalkan ilmunya setelah dirinya berilmu. Sebab bila ilmu tidak diiringi dengan amal, jika ianya tidak memudharatkan maka ia tidak akan bermanfaat. Sesuatu amalan itu hendaklah apa yang disuruh oleh Allah SWT dan perbuatan amalan tersebut datangnya dari Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT : dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan". (Surah At-Taubah : 105)

Firman Allah SWT : maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

(Surah Al-Zalzalah : 7-8)


3. Berjihad untuk menyampaikan ilmu dan mengajarkannya kepada orang tidak mengetahui. Jika dia tidak mengajarkannya nescaya termasuk dalam golongan orang-orang yang menyembunyikan petunjuk dan keterangan yang telah diturunkan Allah SWT. Ini merupakan sifat muslim yang berusaha untuk memperdalami agamanya dan Allah akan memberikannya kebaikan.

Firman Allah SWT : dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang Yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya". kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya Dengan mengambil faedah dunia Yang sedikit. maka amatlah buruknya apa Yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu. (Surah Al-Imran : 187)


Firman Allah SWT : serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah An-Nahl : 125)

4. Berjihad agar bersabar terhadap segala beban berat dalam menyebarkan ilmu, berdakwah dan juga melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Pendakwah mesti sabar dengan gangguan manusia dan menanggung setiap cabaran. Ini merupakan sunnatullah yang telah dihadapi oleh para pejuang dan pendakwah serta para Nabi terdahulu dalam menghadapi ujian berdakwah. Menanggung semuanya kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta. (Surah Al-Ankabut : 1-3)

Thursday, November 18, 2010

Pengorbanan : Perjuangan Mereka Teladan Kita


Sejarah sama sekali tidak akan luput dan pudar ditelan zaman,meskipun dunia semakin hari terus meniti arus kemodenan dengan melalui perubahan. Kerana itulah sejarah dapat meneladani generasi hari ini dalam memacu pembangunan dalam membentuk sebuah tamadun yang lebih cemerlang.

Oleh kerana hal sedemikian , Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir juga akan terpahat sejarahnya tersendiri.Tiada siapa menyangka pengorbanan mereka terdahulu bisa membuka paradigma generasi mahasiswa kini untuk memikirkan akan nilai sebuah pengorbanan dalam mempertahankan kesatuan.

Pada bulan Oktober 1956 adalah saat yang begitu kritikal bagi kawasan Timur Tengah terutamanya Mesir apabila mendapat ancaman daripada musuh tiga serangkai iaitu Inggeris,Perancis dan Israel. Keadaan tersebut menyebabkan rakyat Mesir sendiri bangkit untuk mempertahankan bumi mereka daripada terus diceroboh.

PMRAM pada ketika itu yang dikenali dengan PMM juga tidak ketinggalan menzahirkan simpati diatas apa yang telah melanda Mesir. Sebagai bukti keprihatinan PMM ,seramai 65 mahasiswa Melayu telah mendaftarkan diri secara sukarela untuk bersama-sama tentera Mesir menentang pencerobohan yang berlaku.

Bukan itu sahaja,mereka yang tidak berkesempatan untuk memasuki tentera pula telah mendermakan darah begitu juga mahasiswi berperanan dengan kerjasama Kementerian Kebajikan Masyarakat memberikan sumbangan tenaga dalam membantu menjahit pakaian untuk mangsa-mangsa perang.

Ini telah membuktikan bahawa kredibiliti mahasiswa bukan satu perkara yang baru bahkan ianya telah dimulakan semenjak dahulu lagi. Keprihatinan PMRAM dalam memahami ahlinya agar tidak lokek memberi sudah menjadi prinsip pegangan sekian lama. Tidak hairanlah sehingga kini PMRAM terus bertahan dan utuh dimata mahasiswa kerana pengorbanan mereka terdahulu terus diteladani hingga generasi kini.

Setelah berakhir peperangan tersebut ,pihak PMM telah menerima dua telegram khas dari Jamal Abdul Nasser mengucapkan terima kasih atas penglibatan mahasiswa Melayu untuk mempertahankan Mesir ketika dilanda saat yang begitu menggetirkan. Ketika Jamal Abdul Nasser menjadi Presiden Mesir, PMM telah menghantar dua wakilnya untuk mengucapkan tahniah dan menghadiahkan sebuah persalinan pakaian kebangsaan dan sebilah keris sebagai simbolik perjuangan bangsa Melayu.

Sejarah ini akan terus diabadikan oleh setiap ahli PMRAM kerana tanpa pengorbanan orang terdahulu daripada kita tidak mungkin hari ini kita dapat mengenali PMRAM. Umur PMRAM yang kini menjangkau 80 tahun adalah bukti kematangan dan kewajaran penubuhannya bukanlah satu perkara khayalan dan hanya omongan kosong yang meniti dibibir namun sebaliknya terus teguh berdiri dan sentiasa meneruskan langkah bagi merealisasikan perjuangan generasi terdahulu.

Pada tanggal 5 Disember 1956 undang-undang tubuh PMM yang terus dipakai hingga sekarang telah digubal dan disahkan.Di antara matlamat yang termaktub dalam undang-undang tersebut selain menumpukan perhatian skop perkhidmatan masysrakat dan pengetahuan adalah bertujuan :

1. Menyatukan suara anak-anak Melayu yang tinggal di Republik Arab Mesir.

2. Memantau dan menguruskan urusan anak-anak Melayu di Republik Arab Mesir khususnya yang berkaitan dengan pelajaran.

3. Mempertingkatkan peratus pembelajaran ,sukan dan sosial dengan mengadakan kerjasama dua hala dengan mana-mana pertubuhan yang berdaftar dibawah Kerajaan Mesir bagi dalam merealisasikan sasaran matlamat yang ingin dicapai dalam tiga bidang tersebut.

4. Menguruskan bantuan bagi anak-anak Melayu bagi yang layak untuk menerima bantuan dikalangan ahli persekutuan.

Kebajikan yang manjadi agenda terpenting dalam perjalanan PMRAM bukanlah satu perkara yang hanya dimomokkan dengan omongan kosong tetapi ianya merupakan satu matlamat utama PMRAM dalam menjaga kebajikan ahlinya tanpa mengira latar belakang dan sokongannya terhadap PMRAM.

Namun begitu, sehingga hari ini PMRAM terus dikecam dan ditohmah dengan pelbagai andaian dalam versi yang berlainan. Siapakah yang mampu bangkit untuk mempertahankan PMRAM? Jika generasi terdahulu sanggup berkongsi susah dan senang dalam memastikan kelangsungan survival PMRAM tidak terhenti bahkan diwarisi oleh generasi ke generasi.

Apakah hari ini kita hanya mampu untuk berpeluk tubuh dan menjadi pemerhati setia tanpa bertindak apa-apa. Fikirkanlah untuk apa PMRAM lakukan segalanya sedangkan tiada balasan apa-apa yang diharapkan.

Urusetia Penerangan Umum (UPU)
Badan Penerangan & Penerbitan dan
Unit Penerangan & Penerbitan HEWI
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Thursday, November 11, 2010

Satu Dalam Seribu : PMRAM Dan Tribulasi


Dunia berorganisasi pada hari ini sentiasa wujud dan berada dimana-mana. Adalah menjadi keperluan bagi mahasiswa dalam berorganisasi apabila di sesuatu tempat itu terdapat perkumpulan manusia yang memerlukan satu pengurusan stategik bagi membantu perjalanan hidup mereka terurus dan tersusun.

Penubuhan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai persatuan mahasiswa di Ardul Kinanah ini boleh dijadikan satu contoh organisasi yang terbaik. Misi dan visi PMRAM tidak lain tidak bukan terutamanya adalah untuk meyatukan suara anak-anak Melayu yang tinggal di Republik Arab Mesir. PMRAM bukanlah satu organisasi yang bersikap memilih tetapi menerima siapa sahaja yang ingin berada dibawah naungannya.

PMRAM adalah persatuan induk yang cukup terkenal sama ada di Mesir ataupun di Malaysia amnya. Hak keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Mesir ke atas PMRAM tidak boleh disangkal dan dinafikan.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora. Menjadi asam garam dalam perjuangan PMRAM dengan mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran. Di sepanjang kehidupan PMRAM telah menjadi kelaziman menghadapi segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan. Beberapa isu yang berlaku baru-baru ini dan tahun lepas masih lagi terasa bahang kepanasannya dan berlegar-legar di kotak pemikiran ahli - ahli PMRAM. Antaranya :

1) Isu Qiraat - berlaku sekitar bulan April tahun ini, berkenaan nama-nama pelajar yang tidak naik menyebabkan ramai tidak dapat menjalani peperiksaan seperti yang dijadualkan.

2) Fitnah Pegawai JPMK terhadap Pengerusi DPMT yang kononnya mendakwa sebagai wakil kedutaan kepada pihak Keselamatan Mesir.


3) Isu Kutub Sittah - menghalang program dengan memfitnah
PMRAM sebagai pembangkang

4) Isu pemusatan mahasiswa - tiada pentauzikan pelajar baru ke muhafazah menyebabkan permasalahan sara hidup, penempatan dan sebagainya.


5) Masalah integriti dan salah laku beberapa orang pegawai negeri – ugut zakat dan menghalau dari asrama pelajar.


6) Tindakan Pengarah JPMK yang menandatangai surat sokongan bagi penubuhan 'Academy Center' di Tanta merupakan tindakan yang tidak profesional.

7) Tindakan Pegawai Atase Pendidikan JPMK mengedar borang Kelab UMNO ketika taklimat biasiswa.


8) Isu hak mahasiswa yang dinafikan - penggunaan ARMA dengan keberadaan pelajar menetap di sana.


9) Sikap pegawai JPMK yang tidak profesional lebih-lebih lagi terhadap mahasiswa yang melibatkan diri dengan PMRAM


10) Isu Imtihan Qabul - Bermula tahun 2009 yang menjadi kejutan bagi pelajar STAM dan tahun ini ramai tidak lulus secara mendadak.

11) Isu kebajikan mahasiswa diabaikan oleh beberapa pihak.

Walaubagaimanapun perkara ini tidak sekali-kali melemahkan hati dan meruntuhkan jiwa pendukung-pendukung PMRAM, malah PMRAM terus bangkit kehadapan dan menjadi semakin matang dalam menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku.

Sebagai sebuah gerakan mahasiswa PMRAM telah menyediakan pelbagai agenda untuk ahli - ahlinya iaitu yang berbentuk tarbiah dan dakwah, pengajian dan tafaqquh, program bermasyarakat, rehlah dan ziarah, mengajak ahli mendepani isu semasa dan berkebajikan.


Kebanyakan mahasiswa yang menggabungkan diri dengan PMRAM tidak akan jemu dan menyesal kerana dasar Islam yang dibawakan oleh PMRAM. Bahkan dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah mengukuhkan lagi kepercayaan mereka ini untuk terus bersama PMRAM.

Apatah lagi aktivis-aktivis yang lahir daripada didikan PMRAM telah banyak bergiat dan memberikan sumbangan kepada agama. Mereka ini sepatutnya mesti dicontohi oleh generasi mahasiswa sebagai pelapis yang mana Ulama’ itulah pewaris kepada Nabi-Nabi.

Selagimana Islam yang dijulangkan oleh PMRAM dalam setiap agendanya, selagi itulah Allah akan menjaga dan memelihara PMRAM . Oleh kerana keyakinan pengerak-pengerak PMRAM itulah yang menyebabkan PMRAM sehingga ke hari ini masih bertahan dengan usia yang mencecah 80 tahun.

Berderau hati mereka apabila mendengar laungan ini, “Hidup-hidup..hidup Islam, bangkit-bangkit.. bangkit mahasiswa”, slogan yang dilaungkan oleh ahli PMRAM pada malam penerangan isu-isu semasa baru-baru ini jelas membuktikan kekuatan PMRAM masih kukuh dengan sokongan yang diberikan oleh ahli. Tiada siapa akan menduga ahli - ahli PMRAM sehingga kini masih lagi setia bersama PMRAM, kerana disebabkan kefahaman dan kesedaran mereka akan perjuangan yang dijulangkan oleh PMRAM.

Keberhasilan tema yang digarapkan pada tahun ini “Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah” jelas berjaya disemaikan ke dalam hati ahli - ahli yang menyintai PMRAM. Tema yang diterapkan ini adalah kesinambungan daripada tahun - tahun sebelum ini dan natijahnya terserlah kini.

PMRAM satu dalam seribu, tidak terdapat di tempat - tempat yang lain.

PMRAM akan terus bertahan dan mengorak langkah demi mengukuhkan kedudukannya di mata masyarakat rakyat Malaysia di sini. PMRAM diteguh, ISLAM tertegak.

Disediakan oleh,

Urus Setia Penerangan Umum (UPU),
Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM dan
Unit Penerangan & Penerbitan HEWI PMRAM


Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...