Tuesday, May 31, 2011

PMRAM, Menekuni Latihan Diri


Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT kerana diberikan kekuatan untuk menulis semula di blog ini. Sekian lama rasanya tidak menulis di blog ini, banyak perkara yang terpaksa didahulukan berbanding blog peribadi iaitu web PMRAM, akan tetapi itu hanya sebelum ini ketika diamanahkan menjaga web PMRAM sepenuhnya.

Tetapi, tahun ini diberikan kesempatan dan peluang untuk berada di dalam dunia PMRAM pada tahun kedua, jika tahun 2010 di amanahkan sebagai Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM. Maka tahun 2011 pula dilantik serta diamanahkan untuk memegang Naib Presiden I merangkap Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM.

Dunia PMRAM memang cukup mencabar. Cabarannya cukup berbeza ketika mana diamanahkan menjadi Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig (DPMZ) pada tahun 2008/2009. Jika berada di cawangan, kita hanya akan memikirkan masalah di sekitar cawangan sahaja. Tetapi, bila diamanahkan di peringkat Pusat maka terlalu luas skop permasalahan yang perlu diketahui. Kita akan melihat terlalu hebat cabaran yang akan dilalui oleh PMRAM yang menaungi 12 buah Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan 8 buah Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM).

PMRAM telah banyak mendidik dan mentarbiyah diri yang kerdil ini. Cabaran dan tribulasi memang mencabar mental dan emosi. Dunia pelik ini sedikit sebanyak telah banyak memberikan kesan dalam diri saya. Tekanan dalam bekerja, sedikit sebanyak menggangu emosi. Namun, saat ini sebenarnya akan menguji ketahanan diri dalam menerima sebarang kritikan dan muhasabah. Maka, disaat ini perlu untuk berlapang dada dalam menerima sebarang kritikan juga teguran.

Pengalaman melalui PMRAM sebenarnya cukup mahal. Pengalaman dan ilmu ini juga banyak dicedok dari sahabat pimpinan. Barangkali inilah pengalaman yang perlu dilalui sebelum menempuh medan masyarakat di tanahair.

Harapan yang paling tinggi, semoga Allah terus memilih kita semua berada di dalam perjuangan Islam sehingga ke akhir hayat.

Inilah masanya untuk menekuni latihan diri dalam perjuangan Islam dalam pentas mahasiswa di Mesir iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Monday, May 30, 2011

29 Mei 1453M, Sejarah Dan Ibrah Pembukaan Konstantinople


Sabda Rasulullah SAW :
“Konstantinopel itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin (penawan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawannya)” (Hadis)

Detik 29 Mei 1453, seorang pemuda yang berumur 19 tahun sudah berjaya menawan Kota Konstantinapole. Kota yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW untuk dibebaskan daripada Kristian Ortodok dari Negara Rom.

Sultan Muhammad al-Fateh itulah pemuda yang dimaksudkan Nabi Muhammad SAW. 800 tahun selepas sabda Nabi, kota ini telah dibuka dan dibebaskan oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Baginda merupakan Khalifah Uthmaniyah yang ke-7.

Kempen untuk membebaskan Kota Konstantinopel telah di usaha semenjak zaman kerajaan Umayyah dan Abbasiyah lagi, namun kempen untuk membebaskannya tidak berjaya. Banyak percubaan untuk membebaskannya, 5 kempen di zaman kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman kerajaan Abbasiyyah dan 2 kempen di zaman kerajaan Uthmaniyyah.

Bahkan percubaan untuk membebaskan kota ini telah diusaha pada zaman sahabat lagi seperti Ali bin Abi Talib, Muawiyah bin Abi Sufiyan, dan Ayub al-Ansari. Pada zaman khalifah pula, Sulaiman bin Malik, Harun ar-Rasyid dan Jeneral al-Parslan. Semuanya menemui kegagalan.

Namun, takdir Allah SWT untuk membebaskan Kota Konstantinapole selepas 800 tahun sabda Nabi mengenainya. Peperangan untuk membebaskannya meletus selama 53 hari. Akhirnya, kota ini berjaya dibebaskan oleh seorang pahlawan muda agung iaitu Sultan Muhammad al-Fateh.

Ibrah Di Sebalik Pembukaan Kota Konstantinople

1. Sesungguhnya memang tidak dapat dinafikan, bahawasanya kekentalan Sultan Muhammad Al-Fateh dalam menghadapi musuh suatu cabaran yang hebat dan teguh. Selama 800 tahun, cubaan untuk menawan Kota tersebut tidak berjaya, akan tetapi ketika zaman Uthmaniyyah kejayaan untuk menawan Kota tersebut telah jatuh di tangan seorang pemimpin yang dijanjikan Nabi iaitu “Sebaik-baik pemimpin……” Sultan Muhammad Al-Fateh.

2. Optimisnya umat terdahulu, walaupun terpaksa menunggu ratusan tahun, begitu juga dengan kita perlu optimis dengan kemenangan Islam dan kembalinya Baitul Maqdis di tangan umat Islam suatu hari nanti. Ini adalah janji Nabi yang perlu kita optimis dengan syarat kita perlu bekerja demi mencapai sebuah kemenangan, dan tidak boleh hanya menunggu sahaja tanpa bekerja.

3. Qiyamulail, solat sunat rawatib, solat fardhu berjemaah adalah sumber kekuatan umat Islam. Ini terbukti ketika mana Sultan Muhammad Al-Fateh bertanyakan kepada tentera-tenteranya yang layak untuk menjadi Imam dalam Solat Jumaat setelah mana Kota Konstantinople ditawan. Kita perlu bertindak laksana abid di malam hari dan laksana pejuang di siang hari. Ini semua memerlukan kesabaran, kecekalan dan semangat jihad.

4. Perancangan strategik : dalam setiap perkara untuk membuahkan hasil yang cukup hebat, maka perlu kepada perancangan yang strategik serta optimum. Prof Dr Yusof Qardhawi menyatakan, “Semangat zaman kita ini ialah semangat perancangan. Kita tidak boleh membina segala gerakan berdasarkan emosi dan lantunan perasaan yang dibawa”. Maka, janganlah kita tergesa-gesa untuk mencapai sebuah matlamatyang diperjuangkan dan cuba memetik hasilnya sebelum tiba masanya.

Wahai pemuda, bangkitkan semangatmu dengan membina kefahaman yang cukup mendalam demi untuk mencapai sebuah kemenangan. Ketahuilah, golongan mudalah yang banyak membantu perjuangan dakwah. Maka, persiapan kearah itu perlu diperkemaskan dan disusun dengan baik agar hasilnya menatijahkan kejayaan yang cemerlang.

Disediakan oleh,
MOHD FAIZZUDIN BIN GHAZALI
NAIB PRESIDEN I,
KETUA LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN PMRAM 2011

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Friday, May 20, 2011

"Realiti Gelombang Aura Mahasiswa & Hak Kita : ARMA"


Judul Buku : "Realiti Gelombang Aura Mahasiswa & Hak Kita : ARMA"

Terbitan : Urusetia Penerangan Umum & Unit Panitia ARMA
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Muka surat : 75

Harga : LE 12

Sinopsis

Buku ini merupakan penerbitan terulung bagi PMRAM sesi 2010. Buku ini mengandungi coretan perjuangan 80 tahun PMRAM membawa ideologi Islam dalam kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir. 80 tahun merupakan sebuah usia panjang yang sukar dicapai oleh mana-mana persatuan mahasiswa di dunia. Hubungan PMRAM dengan kerajaan Mesir, rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Mesir juga dikupas melalui penulisan ini.

Antara perkara penting yang dikupas melalui buku ini ialah pendedahan isu panas mengenai penindasan terhadap mahasiswa kita yang dinafikan hak mereka seperti ancaman sekatan zakat dan bantuan kepada mahasiswa seperti yang berlaku kepada mahasiswa Terengganu dan Perak dan juga membongkar konspirasi untuk melumpuhkan kekuatan PMRAM melalui pemansuhan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) seperti Badan Kebajikan Anak Negeri Selangor (BKASM) dan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM).

Selain itu, antara elemen penting yang menjadikan buku ini terhangat di pasaran ialah hak PMRAM yang dinafikan iaitu pemilikan sebuah pejabat di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA), demonstrasi ribuan mahasiswa pada 1992 untuk mempertahankan kesatuan mahasiswa di bawah naungan PMRAM serta cubaan pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan PMRAM dengan menubuhkan Malaysia Students Association (MSA@PPMM). Kesemua elemen ini menjadikan buku ini harus dimiliki oleh seluruh mahasiswa di Mesir sebagai bukti PMRAM terus membela nasib mahasiswa tertindas. Milikilah buku edisi terhad ini sementara stok masih ada.

HAMAS: Ucapan Dasar Obama Gagal, Kami Tidak Akan Iktiraf Israel


GAZA - Gerakan HAMAS (حركة المقاومة الإسلامية) menyifatkan ucapan dasar Obama, Presiden Amerika Syarikat terhadap Timur Tengah gagal. Nyata lagi, masyarakat timur tengah tidak perlu kepada tunjuk ajar Obama berhubung demokrasi, bahkan beliau yang lebih utama diberi tunjuk ajar berikutan sokongan mutlak beliau terhadap jenayah-jenayah yang dilakukan rejim zionis. Kenyataan-kenyataan Obama yang membantah jenayah zionis pula hanyalah semata-mata kecaman.

Menjawab ucapan Obama, jurucakap gerakan HAMAS, Sami Abu Zuhri berkata, "hanya semata-mata slogan-slogan yang berulang, tidak mengandungi apa-apa dan ia tidak ada makna," tambah beliau, hal ini akan mempercepatkan lagi proses persetujuan baik pulih dalaman Palestin dan pembentukan Kerajaan.

Beliau turut mengesahkan bahawa HAMAS membantah kecaman Obama terhadap baik pulih hubungan dalaman Palestin, katanya lagi, "sedemikian itu, kami menganggap kecaman Obama terhadap baik pulih hubungan Palestin seolah-olah mahu campur tangan dalam hal dalaman Palestin."

Abu Zuhri turut menegaskan bahawa HAMAS, 'sekalipun apa jua keadaan, kami tidak akan mengiktiraf penjajahan rejim zionis.'

Sementara itu, Presiden Palestin di Ramallah(Tebing Barat), Mahmoud Abbas memanggil barisan pemimpin Palestin di Ramallah untuk perjumpaan tergempar bagi meneliti ucapan dasar Obama.

Pada waktu yang sama, pegawai perunding selaku anggota Jawatankuasa Pusat gerakan FATAH, Saeb Areqat menyatakan Pemerintah Palestin Ramallah patuh kepada perjanjian damai 'road-map' dan inisiatif perdamaian Arab. Beliau berharap Israel juga bertindak sedemikian.

Ucapan dasar Obama turut menyentuh mengenai revolusi-revolusi Arab dan pembunuhan Osama Ben Laden. Lebih menarik berhubung permasalahan Palestin yang disebut pada akhir ucapan, Obama menekankan untuk memastikan keamanan 'Israel' terjaga serta mengisyaratkan kebimbangan Amerika Syarikat terhadap persepakatan baik pulih hubungan dalaman Palestin, antara gerakan HAMAS dan FATAH.

Sumber 19/05/2011, web berita safa.ps

Sumber : Mini Pavilion PMRAM

Hisbah 2011 : Gempur Dakwah Di Setiap Peringkat

Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2011 dibawah Unit Hisbah PMRAM terus memperkasakan aktiviti "Amar Makruf Nahi Mungkar" pada tahun ini.

Meskipun ia tidak menjadi sebagai usul dalam Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-78 baru-baru ini, akan tetapi aktiviti gerak kerjanya tetap bergerak seperti biasa demi menjaga kelangsungan serta kesinambungan dalam menjayakan usul yang lepas.

Dalam Muktamar Sanawi kali ke-77 pada tahun 2010, usul Muktamar yang dibawa oleh mantan Presiden PMRAM 2010, Saudara Shahrizan Mohd Hazime berbunyi :- Menggempur gerak kerja Hisbah dalam membanteras gejala sosial dalam kalangan mahasiswa/wi di Mesir melalui tindakan berikut : 1. Menggesa pihak berwajib terutamanya JPMK dan KBMK untuk bertindak dengan lebih serius. 2. Menggempur skuad penguatkuasa Hisbah di setiap peringkat PMRAM Pusat dan cawangan.

Usul ini telah dipersetujui sebulat suara oleh seluruh ahli-ahli PMRAM yang menghadiri Muktamar Sanawi kali ke-77 di Nadi Riadhi ketika itu. Maka, gerak kerja yang dijalankan ini memerlukan komitmen dari semua ahli-ahli PMRAM dan mahasiswa di Mesir sendiri untuk sama-sama menyumbangkan masa dan tenaga.

Paling utama, ketika inilah para daie dapat mempraktikkan segala teori yang diperoleh untuk menjadi daie yang berhikmah.

Suasana dan biah solehah di kalangan mahasiswa di Mesir cukup penting, ianya sebagai kayu ukur seseorang itu ingin mengamalkan Islam dalam segenap kehidupan.

Revolusikan diri dengan menyahut seruan Amar Makruf Nahi Mungkar, lunaskan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

"Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah"

Mohd Faizzudin Ghazali
Naib Presiden I,

(Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM)

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Nakbah 63 : Kemenangan Semakin Hampir


Nakbah yang bermaksud malapetaka, kecelakaan atau bencana besar. Nakbah Palestin merujuk kepada Negara Haram Israel yang telah berjaya diumumkan sebagai sebuah Negara pada petang 14hb Mei 1948 serta diisytiharkan Negara Israel merdeka secara rasminya pada 15hb Mei 1948.

Nakbah Palestin juga merujuk kepada hari memperingati pencerobohan dan pemusnahan lebih 500 bandar dan kampung di Palestin oleh tentera Israel yang menyebabkan lebih 700,000 warga Palestin menjadi pelarian. Peristiwa ini juga berlaku setelah berlakunya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah penduduk Negara Palestin dengan bantuan British dan PBB.

Sebenarnya, untuk menjadi Palestin sebagai negara Yahudi sudah menjadi matlamat Zionis sejak akhir kurun ke-19 lagi. Selepas pengisytiharan Balfour, idea untuk melobi sokongan kuasa besar semakin kuat dan melalui pengisytiharan Balfour, kerajaan Britain berjanji untuk menyokong penubuhan negara Yahudi di Palestin.

Kini 63 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin. Namun rakyat dan Negara Palestin terus diganyang rejim Zionis sehinggakan lebih daripada 90% daripada tanah Palestin dikuasai Zionis. Masjid al-Aqsa yang diberkati terus dicabul kesuciannya. Ribuan rakyat berdosa merengkok di dalam penjara Israel, ekonomi dan bekalan asasi mereka disekat. Jutaan dikalangan mereka menjadi pelarian dan tragedi demi tragedi dilakukan dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin

Ketika Zionis erat bekerjasama dengan Amerika, British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara-Negara Arab dan Pertubuhan Negara-Negara Islam pula gagal untuk membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan kedaulatan Negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya.

Suasana Umat Islam Hari Ini

Umat Islam kini masih tercari-cari jawapan terhadap isu Palestin. Secara umumnya, umat Islam yang berjumlah 1.6 billion merupakan satu per empat dari penduduk dunia yang berjumlah 6.5 billion boleh dibahagikan kepada beberapa golongan.

1. Golongan majoriti yang tidak tahu langsung atau hampir tidak tahu mengenai isu Al-Aqsa dan Palestin.
2. Golongan yang telah putus asa dan tidak memberi harapan kepada Palestin.
3. Golongan yang meletakkan harapan kepada kuasa-kuasa besar dunia.
4. Golongan yang mengharapkan keajaiban tanpa usaha, lantas menantikan kedatangan penyelamat seperti Imam Mahdi dan Nabi Isa dan lain-lainnya.
5. Golongan yang meyakini bahawa kemenangan akan dimiliki semula dengan mencontohi perjuangan generasi sebelumnya.

Persediaan Yang Sempurna Dan Amat Mengambil Berat Isu Pembebasan Al-Aqsa

Salahuddin Ayyubi adalah seorang tokoh hebat yang mengambil berat isu pembebasan Al-Aqsa. Beliau menjalani hidup dengan penuh disiplin. Salahuddin mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Baitul Maqdis kerana beliau telah menjadikan isu ini sebagai agenda hidupnya. Pernah beliau ditanya akan kenapa beliau sentiasa kelihatan serius dan tidak pernah ketawa. Beliau menjawab, “Bagaimana mungkin untuk aku ketawa sedangkan Masjid al-Aqsa masih berada dibawah cengkaman musuh”.

Palestin, Antara Semalam Dan Hari Ini

Umar al-Khattab pernah berpesn kepada Saad bin Abi Waqas, “Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah kerana taqwa adalah sebaik-baik bekalan untuk menentang musuh. Aku menyeru kamu dan mereka yang bersama kamu supaya menjauhi maksiat kerana maksiat adalah kunci kemenangan musuh ke atas kita”.

Zionis hari ini bekerja di waktu siang dan malam untuk mengejar cita-cita mereka dan meluaskan empayar mereka dari Sungai Nil di Mesir sehingga ke Sungai Furat di Iraq.

Kebangkitan umat hanyalah dengan mencontohi generasi al-Quran. Ini adalah kunci kepada kemenangan yang sebenar. Kemenangan Salahuddin ke atas tentera Salib bukanlah disebabkan oleh kehebatan keperibadiannya semata-mata tetapi adalah kerana kecemerlangan generasi yang telah dibinanya, yang telah diasaskan oleh barisan pimpinan dan juga para ulama’ sebelumnya.

Intifadah palestin kini semakin menunjukkan tanda-tanda kemenangan umat di dalam agenda membela al-Aqsa lebih-lebih lagi setelah berlaku revolusi 25 Januari, Mesir. Kemenangan umat dan pembebasan al-Aqsa adalah sesuatu yang pasti, sebagaimana generasi sebelumnya. Persoalannya ialah, apakah persiapan dan sumbangan kita kearah kemenangan ini?

SEMOGA KITA BERTEMU LAGI, DI MASJID AL-AQSA…..


Artikel Risalah Dakwah Bilangan 5 (Jamadil Akhir 1432 H)
Lajnah (Unit) Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2011

Saturday, May 14, 2011

Himpunan Juta Di Tahrir Sokong Palestin











GAZA - Walaupun masyarakat Mesir kalut dengan hal dalamannya, namun Palestin tetap hadir di Dataran Tahrir(Medan Tahrir) hari ini. Sejuta penduduk Mesir yang berhimpun di sana bawah slogan 'Kesatuan Mesir bantuan kepada Palestin'.

Lapor Safa, penduduk Mesir meninggalkan rumah mereka demi mahu menyertai perhimpunan juta di Tahrir, malah kelihatan bendera-bendera Palestin berdiri seiring bendera Mesir.

Sumber dari web berita Al-Jazeerah menyatakan puluhan ribu penduduk Mesir berhimpun di himpunan juta Medan Tahrir.

Para demonstran membawa sepanduk, kain rentang dan banting yang melaungkan suara kesatuan sesama penduduk Mesir dan begitu juga terhadap Palestin. Mereka turut mendesak agar dibuka sempadan Rafah Mesir tanpa menetapkan tempoh. Ketika menunjuk perasaan, para demonstran membakar bendera Israel, di samping menuntut agar mengusir keluar duta Israel dan menyingkir kedutaannya dari tanah Mesir.

Sumber 13/05/2011, web berita safa.ps, berita Al-Jazeerah dan web berita Al-Jazeerah

Sumber : Mini Pavilion PMRAM

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...