Monday, April 06, 2009

Jundullah : Moga-Moga Itu Yang Diimpikan

BARU-BARU ini pada hari Jumaat ketika waktu malam selepas maghrib kami telah dibentangkan pengisian untuk nuqaba' dan naqibat oleh Al-Fadhil Ustaz Nazrul Nasir di Dewan Dar As-Salam. Pengisian kitab yang bertajuk JUNDULLAH THAQAFATAN WA AKHLAKAN (karangan Al-Imam Said Hawa) begitu bermakna buat kami khususnya nuqaba' dan naqibat. Lebih-lebih lagi, ianya juga sangat bermakna bagi mereka yang ingin mewakafkan diri dalam memperjuangkan Islam.

Walaubagaimanapun, pada malam tersebut al-Fadhil Ustaz Nazrul lebih banyak menyentuh isu sekitar mahasiswa di Mesir, berkaitan usrah, PMRAM dan beberapa isu-isu lain. Saya kira, pengisian beliau pada malam tersebut cukup lain berbanding dengan pengisian-pengisian sebelum ini. Pandangan beliau lebih terbuka daripada sebelum-sebelum ini. Namun, ianya banyak menyedarkan kami tentang hakikat keberadaan mahasiswa Islam di bumi Mesir. Sesuatu yang boleh saya kagumi dengan beliau, selain beliau hebat menyampaikan kepada kami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan turath, beliau juga tidak kurang hebatnya pada malam tersebut menyampaikan ilmu-ilmu kepada kami yang berkaitan dengan haraki dan ilmu perjuangan yang menjadi mutiara dan benih-benih jihad bagi mengisi jiwa para pekerja Islam.

Sebelum bermulanya pengajian pada malam tersebut, seluruh nuqaba' dan naqibat telah dipaparkan satu slide show yang berkaitan dengan seorang tokoh pemimpin gerakan Islam yang sudah 5 tahun syahid iaitu As-Syahid Dr Abd Aziz Ar-Rantisi (pemimpin gerakan Hamas). Dalam slide show tersebut dipaparkan bahawa sebelum As-Syahid berhadapan dengan maut beliau sempat mengungkapkan bahawa bila diberi pilihan samada ingin mati sakit jantung atau dibedil dengan apatche, as-Syahid lantas dengan yakin berkata "Saya akan memilih dibedil apatche". Usaha jihad dan pengorbanaan As-Syahid moga-moga menjadi inspirasi buat kami dalam ingin melihat Islam terus ditegakkan dimuka bumi ini.

Seperkara yang boleh saya simpulkan bagi pengajian pada malam tersebut bahawa Al-Fadhil Ustaz Nazrul banyak menekankan kepada kami supaya menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan pulang ke masyarakat suatu hari nanti boleh memberikan sumbangan yang besar kepada Islam di bumi Malaysia.

No comments:

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...