Wednesday, April 22, 2009

Nasihat Itu Melenturkan Jiwa Yang Kering



الدين النصيحة : قلنا لمن؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وإمامهم

“Ad-Deen itu adalah nasihat…” Sahabat bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Sabdanya: “Bagi Allah, Kitab, Rasul, dan Imam Muslimin serta umat Islam seluruhnya.”

AGAMA itu adalah nasihat. Itu indahnya agama Islam. Kita diperintah supaya berpesan-pesan kepada kebaikan dan kebenaran. Ingat-mengingati antara satu sama lain. Tegur-menegur jika ada yang terleka atau terlupa. Bukanlah tujuannya untuk menghentam atau mencari salah sesiapa tetapi tujuannya yang sebenar adalah untuk memperelok serta memperbaikkan hati. Namun, apabila hendak menegur biarlah kita mempunyai adabnya. Lebih-lebih lagi jika orang tersebut lebih tua daripada diri kita. Nasihatlah dengan berhikmah dan bijaksana.


Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
(Az-Zariyyat :55)

Sesungguhnya nasihat itu sangat berguna bagi orang mukmin. Hati manusia mesti dilentur dengan nasihat dan peringatan sentiasa. Usah merasa kepahitan dan kesakitan bila kita diberikan nasihat dan teguran. Lebih-lebih lagi jika orang yang memberi nasihat itu lebih muda daripada kita.

Hati yang tidak diberikan nasihat umpama hati yang berkarat. Ia mesti dijernihkan dengan nasihat dan peringatan lalu disuburkan dengan amalan-amalan yang mampu menghilangkan penyakit hati seperti zikir, wirid, solat taubat, solat-solat sunat lain dan sebagainya.

Dalam kita memberikan nasihat, ingatlah selalu bahawa hanya hati-hati yang tulus bersih sahaja mampu membersihkan hati-hati yang kotor. Dan hati-hati yang kotor tidak mampu untuk membersihkan hati-hati yang kotor dan hina. Maka, orang-orang yang ingin menerjunkan diri mereka ke medan dakwah perlu bersiap sedia dengan ilmu yang berkaitan dengan tazkiyatu nafs ataupun penyucian jiwa. Bagaimana dengan hati yang sakit mampu mengubat hati yang dilanda dengan penyakit hati.

Namun, ramai orang menganggap jika seseorang itu ingin mengajak orang lain kepada kebaikan mahupun ingin memberikan nasihat kepada orang lain, diri pengajak atau pendakwah dululah mesti sempurna sebelum mengajak atau memberikan nasihat kepada orang lain. Jika inilah mentaliti yang dipegang maka makin bertebaranlah kemungkaran dan kejahatan dimuka bumi ini kerana manusia sampai bila-bila pun tidak akan sempurna. Diri manusia biasa bukanlah maksum seperti para Nabi. Ketahuilah orang yang menyeru atau pendakwah bukanlah diri mereka sempurna.

Sabda Nabi SAW : “Baikilah diri kamu dan sampaikanlah (dakwah) kepada orang lain”

Dan orang yang menyeru kepada orang lain ke arah kebaikan perlu pegang sungguh-sungguh dengan firman Allah ini agar mereka tidak menjadi golongan yang dimurkai Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya disisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
(As-Saff : 2-3)

Nasihat dan peringatanlah mampu menyembuhkan hati yang lara,
Nasihat dan peringatanlah mampu menyembuhkan hati yang dilanda penyakit hati,
Nasihat dan peringatanlah mampu menyedarkan manusia tentang benarnya Al-Quran dan Sunnah,
Nasihat dan peringatanlah mampu menghapuskan kebatilan dan kemungkaran,
Nasihat dan peringatanlah mampu mengingatkan manusia kepada kematian,
Nasihat dan peringatanlah mampu mengingatkan manusia supaya solat di awal waktu dan berjemaah,
Nasihat dan peringatanlah mampu mengingatkan manusia supaya hidup berjemaah,
Nasihat dan peringatanlah mampu membangkitkan rasa rindu dan cinta kepada Allah dan RasulNya,
Nasihat dan peringatanlah mampu mengingatkan manusia akan tanggungjawab mereka sebenarnya,
Nasihat dan peringatanlah mampu menyedarkan manusia betapa lemahnya diri manusia,
Nasihat dan peringatanlah mampu menjadikan seseorang itu soleh lagi alim,
Nasihat dan peringatanlah mampu menjadikan seseorang itu ikhlas lagi bertaqwa,

Oleh itu, sedialah kita untuk menadah telinga bagi mendengar nasihat dari para alim ulama’ dan orang-orang soleh. Anggaplah sebarang teguran dan nasihat dari kawan-kawan disekeliling kita samada mereka muda atau tua daripada kita adalah sebagai satu proses tarbiyah untuk melatih kita menjadi mukmin yang benar-benar sejati.

Salam Perjuangan,
Mujahid Fillah...
Mohd Faizzudin Ghazali

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...