Tuesday, August 31, 2010

PMRAM Dirai Dalam Majlis Berbuka Puasa Anjuran WAAG


KAHERAH, 30 Ogos – Jalinan hubungan PMRAM dan WAAG terus diperkukuhkan pada hari ini apabila The World Association for Al-Azhar Graduates (WAAG) menjemput PMRAM untuk menghadiri majlis berbuka puasa anjurannya.

Majlis berbuka puasa tersebut telah diadakan di Azhar Conference Center (ACC) yang terletak berhampiran Kuliah Banat, Hayyu Sabie’.

PMRAM yang diwakili oleh Saudara Abdul Aziz bin Ali, Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa dan Saudara Mohd Faizzuddin bin Ghazali, Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM 2010 serta beberapa orang kepimpinan HEWI PMRAM yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM 2010, Saudari Norhafiza binti Abdul Wahab disambut oleh pihak penganjur sebaik sahaja tiba di ACC.

Turut hadir dalam majlis itu beberapa orang wakil persatuan pelajar-pelajar antarabangsa yang lain yang turut menerima undangan daripada WAAG seperti Indonesia, India, Turkistan, Nigeria, Afrika Selatan, Thailand, Mali, China dan lain-lain lagi.

Majlis berbuka puasa itu diserikan lagi dengan kehadiran Rektor Universiti al-Azhar, Dr Abdullah al-Husaini dan beberapa orang tetamu kehormat yang lain.

Turut hadir dalam majlis itu juga bekas Datuk Duta Malaysia, Datuk Zainal Abidin Abd Kadir yang juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa dalam WAAG.

Wakil Badan Pengurus PMRAM sempat bergambar kenangan bersama Ketua Universiti al-Azhar dan bekas Datuk Duta Malaysia sejurus selesai melaksanakan solat maghrib.

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

PMRAM Wadah Perjuangan Utama Mahasiswa Islam Mesir

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menyeru kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi khususnya buat aktivis dan ahli PMRAM yang berada di Mesir agar dapat menghayati dan memahami sepenuhnya Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010 dengan tema “Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiah”

Tema ini dipilih demi untuk menjana, membina dan seterusnya memantapkan fikrah ahli kearah membentuk daya pemikiran mahasiswa kelas pertama dengan menggabungjalinkan ilmu fundamental (turathi) dan kontemporari(mu’asarah)

Dalam Ucapan Dasar Presiden PMRAM 2010, Saudara Shahrizan Mohd Hazime di dalam Muktamar Sanawi PMRAM kali ke 77 yang lalu sangat menekankan konsep fikrah tanpa mengabaikan ilmu dan thaqafah dalam menjatidirikan mahasiswa Islam yang sebenar.

Justeru elemen-elemen inilah yang perlu dijadikan senjata utama untuk memastikan tema dan pembawakan tahun ini berjaya serta memastikan kelangsungan dakwah menjadi satu gelombang yang mampu memukau hati masyarakat.

Maka subtema daripada Ucapan Dasar Presiden ini perlu dihayati dan difahami bersama:-

1) Satu Fikrah Satu Amal
2) Muzakarah Berkelompok Pemangkin Kemantapan Fikrah

3) Penghayatan Ilmu Pencernaan Minda
4) Ke Arah Menyediakan Aktivis Islam

5) Mengembalikan Identiti Akhlak Islamiah

6) Tarbiyah Pemangkin Mahasiswa Bertaqwa
7) Gembleng Kekuatan Ekonomi

8) Kebajikan Untuk Semua

9) Kecemerlangan Akademik Sebagai Senjata Utama

10) Pembinaan Generasi Pelapis
11) Kita PMRAM


Menyedari tentang peranan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dalam memikul amanah ini, gerak kerja bersama perlu digerakkan dengan usaha yang gigih di setiap peringkat PMRAM Pusat dan Cawangan untuk menjadikan PMRAM sebagai platform utama dan wadah perjuangan mahasiswa di Mesir.

Akhirnya, jadikan Ucapan Dasar Presiden PMRAM ini satu panduan dalam melaksanakan misi dan visi PMRAM. Islam tidak akan tertegak dengan kata-kata, akan tetapi tertegaknya Islam itu dengan bekerja. Selamat menjayakan misi dan visi ini.

Mohd Faizzudin bin Ghazali,
Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM 2010


Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Monday, August 30, 2010

Minda Ulama' Jiwa Daie


KAHERAH, 29 Ogos - Unit Sambutan Mahasiswa Baru, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) sesi 2009/2010 telah mengadakan satu program penutupan bagi mahasiswa dan mahasiswi baru setelah lima hari program ini berlangsung yang bermula dari awal kedatangan mahasiswa dan mahasiswi ini lagi.

Dalam program ini, satu Forum Mahasiswa yang bertajuk "Minda Ulama' Jiwa Da'ie" telah dikendalikan oleh Saudara Jamal Najmuddin bin Sulaiman dan disampaikan oleh tiga orang ahli panel jemputan.

Ahli panel yang pertama Saudara Norhalif bin Mohd Nor, merupakan bekas Yang Dipertua KPKM sesi 2008/2009 dan dua orang ahli panel lagi telah menampilkan Ketua Badan dan Unit Penerangan dan Penerbitan PMRAM 2010 iaitu Saudara Mohd Faizzudin bin Ghazali dan Saudari Noor Akmaizan binti Yusof.

Antara kupasan yang diutarakan oleh ketiga-tiga panel iaitu apabila dikatakan dengan ulama' maka Azharila yang berperanan memainkan watak ulama' tersebut. Peranan Azhari sebagai penuntut ilmu agama perlu mempergunakan ilmunya dalam menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat.

Namun dilema dan permasalan diri yang melanda azhari dan azhariah pada masa kini antaranya ialah tidak fasih dalam penggunaan bahasa arab, banyak tidur dan tiada perseimbangan dengan ilmu fundamental dan kontemporari.

Manakala, bagi azhariah sendiri pula sukar untuk keluar mencari ilmu kerana mereka lebih menerima daripada mencari dan tumpuannya lebih kepada pengajian di kuliah semata-mata.

Untuk mengatasi masalah ini, satu soft skill telah diberikan bagi menaikkan kembali peranan azhari dan azhariah dalam mempersiapkan diri sebagai seorang da'ie yang mana memerlukan kepada pembinaan jati diri dengan mengikuti usrah, persiapan fikrah dan persiapan gerakan iaitu sebagai mahasiswa penggerak utama dalam persatuan khususnya PMRAM sendiri.

Sepanjang forum berlangsung, mahasiswa baru yang terdiri seramai 107 orang dan mahasiswi baru seramai 39 orang ini telah memberikan respon yang baik dan mereka memahami akan kepentingan ulama’ keluaran azhar semestinya menjadi da’ie kepada masyarakat.

Forum yang bermula pada jam 10 pagi ini telah berakhir pada jam 12.30 tengahari.

Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

Friday, August 27, 2010

Tuhan Gantikan Dengan Pelangi Cantik

Bersama seorang tokoh hebat, merupakan seorang Badan Pengurus PMRAM antara tahun 1965-1974. Juga merupakan seorang YDP Persatuan Ulama Malaysia (1999-2003). Kini merupakan Ketua Lajnah IT PAS. Juga merupakan Presiden Sekretariat Himpunan Ulama' Rantau Asia (SHURA)


Sekian lama tidak menulis di catatan blog. Alhamdulillah, kini dapat juga menulis sesuatu walaupun hanya sekadar catatan biasa sahaja.

Jika 7 bulan sebelum ini, kalau hendak menaip, buat kerja dan sebagainya saya hanya memakai laptop kawan-kawan dan komputer di Pejabat PMRAM. Dan ada juga sebelum ini, ada hamba Allah yang baik hati memberi pinjam laptop peribadi untuk digunakan oleh saya selama 2-3 bulan. Saya hendak ucapkan terima kasih pada semua.

Jazakumullah khaitran kathira.

Namun, Alhamdulillah kelmarin dapat juga beli laptop baru. Malah laptop baru ini lebih tinggi sedikit harganya dan lebih canggih dari sebelum ini. Semua ini pemberian dariNya. Syukur Alhamdulillah atas kurniaanNya. Semoga selepas ini lebih mudah untuk bergerak dengan adanya laptop baru.

Beberapa pengajaran daripada kisah kehilangan laptop:-

1) Hendak mengajar kepada kita tentang erti syukur dan menghargai sesuatu pemberian orang lain. (laptop lama adalah hadiah daripada ibunda tersayang)

2) Kita akan kenal siapa kawan semasa kita senang dan susah. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang banyak membantu dan menghulurkan sumbangan. Memang cukup terharu.

3) Ada yang sanggup berkorban untuk orang lain hanya kerana untuk sesuatu yang terbaik.

4) Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya.

5) Jangan terlalu mudah percaya kepada orang lain khusus kepada orang Arab yang bertalam 2 muka.

6) Redha dan tawakkal kepada Allah.

7) Bersabar atas ujian yang menimpa.

8) Percayalah setiap kehilangan sesuatu yang kita sayang, Allah akan gantikan dengan yang terbaik atau lebih baik daripadanya. (Tetapi, orang yang kita sayang tiada siapa yang boleh menggantinya)

9) Menyuruh kita buat kerja walau sesukar mana pun ujian yang kita peroleh.

Moga-moga dengan ada laptop baru, bertambah semangat untuk buat kerja yang kian berlambak ini.

Tetapi, laptop baru ni tak dapat nak lawan laptop Ustaz Abd Ghani Shamsuddin (Core i7). Rasa tercabar nak beli HP Core i7, hanya mampu beli HP Core i3 sahaja.

Kagum dan hebat melihat Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, meskipun beliau seorang ulama’ hebat beliau banyak tahu tentang bidang ICT. Celik komputer.

Sama-sama kita membudayakan ICT dalam kehidupan. Khusus untuk para ulama’ dan bakal ulama’. Mari kita kuasai media. Jika kita lambat, kita akan ketinggalan.

Saturday, August 07, 2010

PMRAM Telah Banyak Membantu Mempertahankan Kemerdekaan Negara


KAHERAH, 2 Ogos - Majlis Perasmian Karnival Kenangan 80 Tahun PMRAM telah dirasmikan oleh Kuasa Usaha Sementara, En Shaiful Anuar Muhammad. Beliau yang hadir bersama isteri telah merasmikan program Karnival itu Dataran Hayyu Asyir.

"Persekutuan Melayu Repuplik Arab Mesir (PMRAM) telah wujud sejak tahun 1930 lagi. Ini bermakna, sepanjang 80 tahun kehidupannya sehingga kini sudah tentu banyak asam garam PMRAM telah lalui. Evolusi penubuhan dan perkembangannya juga kita sedia maklum."

"Kita tidak dapat menafikan bahawa kewujudan PMRAM telah banyak membantu mempertahankan kemerdekaan negara kita." tambah beliau.

"Ramai pemimpin di kalangan kita adalah merupakan hasil didikan dan jasa PMRAM. Sumbangan semasa menuntut di Mesir suatu ketika dahulu."

"Saya percaya PMRAM akan terus memainkan peranannya dengan baik sejajar dengan perkembangan semasa. Budi yang ditaburkan oleh PMRAM amatlah banyak." ujarnya

"Saya ingin katakan dalam rangkap 4 kerat pantun berikut "Jauh sungguh pergi mandi, maksud hati hendak bertapa, berat sungguh menanggung budi, 80 tahun memang tak lupa" ujar beliau dengan tepukan gemuruh oleh hadirin yang hadir.

Program pembukaan itu telah dihadiri hampir 1000 orang mahasiswa membanjiri Dataran Hayyu Asyir. 20 PMRAM Cawangan mengambil bahagian di dalam perbarisan kontijen di Dataran tersebut.

Karnival kali ini menjadi satu sejarah buat PMRAM kerana usianya sudah menjangkaui 80 tahun.

Anda mungkin juga meminati

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...